Rakyat Singapura Dibelasah Di London Kerana Dianggap Pembawa COVID-19

Share

Dunia semakin gusar terhadap penularan wabak COVID-19 dan menjadi kebimbangan serta fobia kepada sesetengah pihak.

Ada yang mudah panik apabila duduk berdekatan dengan individu yang berasal dari negara yang terjejas wabak tersebut terutama rakyat Wuhan. Mereka beranggapan semua individu dari ‘China’ adalah pembawa wabak tersebut.

Disebabkan itu seorang pelajar kelahiran Singapura yang kini belajar di London menjadi mangsa serangan individu tidak dikenali. Kecewa akan nasib yang menimpanya, Jonathan Mok nekad membuat satu hantaran di akaun Facebook selepas diserang sekumpulan pemuda. Serangan tersebut dianggap ‘berbau perkauman’!

Jonathan mendakwa dipukul dan ditumbuk sehingga matanya lebam ketika bersiar-siar di Oxford Street. sambil diherdik dengan cacian berbaur perkauman. Dia mengalami beberapa retakan pada tulang muka dan mungkin akan menjalani pembedahan.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 malam itu, Jonathan mengaku dia tidak dapat mendengar dengan pasti kata-kata yang dilontar kerana loghat yang digunakan, namun dia dapat meneka cacian mereka yang menyebut ‘koronavirus’.

‘Saya tidak mahu koronavirus kamu dalam negara saya,” kata salah seorang pemuda lelaki yang menyerangnya sepertimana dipetik daripada catatan Jonathan di Facebook.

Jonathan  yang sudah berada di tahun kedua pengajiannya sebelum ini difahamkan pernah berdepan dengan insiden seperti berbaur perkauman ini yang juga dikaitkan dengan COVID-19.

Difahamkan, polis tiba sejurus sekumpulan penyerang itu meninggalkan tempat kejadian. Sekumpulan pemuda tersebut kini diburu polis selepas beberapa imej di CCTV berdekatan dapat merakam kejadian tersebut.

Sumber: astroawani

Oleh
Husna