Rakyat Malaysia Boleh Mula Mandi Kolam Renang Hotel & Menonton Wayang Bermula 1 Julai 2020

Share

Bagi 'kaki wayang' dan penggemar filem tempatan, mahupun antarabangsa, pengumuman kerajaan semalam untuk membenarkan pawagam kembali beroperasi bermula 1 Julai 2020, sudah tentu merupakan satu perkhabaran gembira.




Selepas hampir tiga bulan terpaksa menonton 'layar kecil' di rumah, kelonggaran yang diberikan ini amat ditunggu-tunggu. Antara filem yang dijadual untuk ditayangkan di pawagam adalah filem perisikan British terkenal, 'James Bond: No Time To Die', yang sepatutnya ditayangkan pada April lepas, namun terpaksa ditunda berikutan penularan wabak COVID-19. Turut 'beratur' menunggu giliran untuk ditayangkan termasuk filem francais Marvel 'Black Widow'; filem keluaran Walt Disney Pictures 'Mulan', serta filem seram 'Antlers' dan 'Antebellum'.

Bukan sahaja dapat menonton wayang, kerajaan turut memutuskan untuk riadah kolam renang di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar dan kolam renang persendirian. Ini la waktu yang sesuai untuk membawa anak-anak keluar bercuti setelah lama berkurung ketika perintah kawalan pergerakan dan menginap di hotel atau resort yang ada menyediakan kemudahan kolam renang.




Kebenaran yang sama juga diberikan terhadap penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan serta membenarkan aktiviti teater dan 'live event'. Namun dalam keghairahan terhadap kelonggaran demi kelonggaran yang diberikan, aspek kawalan kendiri serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan oleh kerajaan perlu terus diutamakan.

Sumber: Bernama

Oleh
Husna