Seekor anak ikan paus dipercayai spesies Humpback ditemukan di perairan Batu Malang, Teluk Senangin minggu lalu. Melalui video yang tular itu, ikan itu mirip spesies 'humpback whale' atau nama saintifiknya ‘megaptera novaeangliae’ dan dianggarkan usianya di bawah satu tahun dengan anggaran panjang lima ke lapan meter.
Ikan spesies ini habitat asal sepatutnya berada di perairan Hawaii, New Zealand, atau di Lautan Pasifik dipercayai terpisah daripada ibunya.
Spesies ikan paus tersebut merupakan yang pertama ditemui di perairan Semenanjung Malaysia dan kemungkinan sesat berikutan faktor pasang surut air selain faktor makanan. Ikan paus selalunya hidup secara berkumpulan, sering berhijrah ke satu tempat yang lain untuk makanan. Ia boleh menyesuaikan diri sebab laut di Semenanjung Malaysia adalah laut tropika cuma apabila perubahan iklim, ia menjadi faktor ikan paus sakit atau mati.
Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mamalia itu kira-kira pukul 8 pagi pada hari kejadian daripada nelayan mengenai kehadiran ikan paus itu di perairan tersebut.
Pihaknya tidak akan menangkap ikan tersebut sebaliknya melakukan pemantauan berkala bagi memastikan ia tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Cuma apa yang membimbangkan anak ikan ini berisiko besar untuk terperangkap memandangkan kawasan ia berlegar merupakan kawasan menangkap ikan.
Sehingga hari ini, maklumat diterima ikan tersebut masih berlegar-legar di kawasan perairan dari Pulau Pangkor ke Teluk Senangin. Nelayan diingatkan supaya tidak mendekati atau cuba menangkap ikan tersebut.
Klik untuk lihat video FB Perak Gazette