Qatar pernah berdepan masalah, beberapa tahun lalu apabila Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik, pengangkutan serta perdagangan dengan Qatar. Mereka menuduh Qatar membiayai pengganas, dan telah dinafikan Qatar. Qatar kini terus bangkit untuk membuktikan masih teguh berdiri walaupun tanpa sokongan kuat.
Umum mengetahui negara Qatar dipilih sebagai tuan rumah dan penganjuran bagi Piala Dunia 2022 akan datang. Piala Dunia 2022 akan berlangsung pada November hingga Disember 2022 bagi mengelak suhu panas di negara teluk itu. Walaupun Qata sebuah negara kecil dan bersuhu tinggi mereka sedang mempersiapkan diri untuk melengkapkan beberapa stadium baru dan terkini menjelang 2020.
Logo rasmi Piala Dunia 2022 di Doha telah pun dirasmikan dan diperkenalkan di kotaraya utama seluruh dunia. Logo dengan rekaan selendang Arab berwarna merah hati dibentuk seperti nombor lapan yang membawa simbol infiniti dan dicetak perkataan ‘FIFA WORLD CUP Qatar 2022’. Rekaan logo ini diilhamkan daripada selendang tradisional warga tempatan yang lazim dipakai sepanjang musim sejuk.
Ia telah dilancarkan di perkarangan Bangunan Arkib Kebangsaan dekat Bandar Msheireb, di bahagian selatan lengkap dengan kawalan tentera berkuda sambil disaksikan ratusan hadirin.
Logo berkenaan turut dilancarkan di Kota Madrid, Buenos Aires dan Beirut serta beberapa kota raya utama dunia lain.
Pada Mei lalu, Qatar merasmikan Stadium al-Janoub dengan kapasiti 40,000 penonton dengan satu pertandingan Piala Emas dilangsungkan di situ. Arena stadium itu hasil rekaan arkitek kelahiran Britain-Iraq, Zaha Hadid dibina di pesisir pantai selatan Doha, dibina dengan harga AS$575 juta (RM2.4 bilion).
Pihak berkuasa juga membina rangkaian jalan raya baharu bagi melancarkan aliran trafik yang menghubungkannya dengan semua stadium, hub pengangkutan utama dan lokasi tumpuan pelancongan.