Pelancongan, percutian dan alam semulajadi adalah perkara yang sinonim kepada diri kita. Masakan tidak, sekiranya apabila hendak bercuti sahaja, kita akan keluar daripada ‘hutan batu’ untuk pergi ke kawasan tumpuan pelancongan yang mesra alam semulajadi untuk merehatkan minda.
Apabila sebut sahaja berkenaan alam semulajadi, ia bukan sahaja merangkumi hidupan seperti flora sahaja. Malah fauna turut terkait sekali di dalam kehidupan alam semulajadi tersebut.
Antara lokasi paling popular untuk kita belajar mengenai fauna di negara ini sudah semestinya di Zoo Negara dan pembangunan dan tarikan terbaharu di sana akan siap untuk pengunjung yang datang tidak lama lagi dari sekarang.
Zoo Negara kini dalam peringkat akhir untuk menyiapkan satu pusat reptilia terbesar dan tercanggih di dunia yang dipanggil sebagai Rimba Reptilia Zoo Negara. Kini, pusat tersebut telahpun 96 peratus siap dan dijangka akan dibuka sewaktu musim cuti persekolahan pada bulan Disember nanti.
Sesuai dengan statusnya sebagai pusat reptilia terbesar dan tercanggih di dunia, Rimba Reptilia Zoo Negara yang berkeluasa 0.404 hektar ini akan menempatkan 38 spesis reptilia daripada pelbagai spesis seperti ular, kura-kura gergasi dan iguana.
Pusar Reptilia Zoo Negara sebelum ini dikenali dengan nama House of Reptile hanya menempatkan 18 spesis reptilia sahaja. Oleh sebab sekarang Zoo Negara mempunyai fasilitis yang baharu, maka pertambahan spesis fauna yang akan menjadi penghuni baru turut akan menambahkan lagi faktor tarikan di sini.
Memetik kata-kata daripada Pengarah Zoologi, Hospital Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr Mat Naim Ramli yang ditulis oleh Bernama dan disiarkan oleh Sinar Harian, beliau menjangkakan pembinaan pusat konservasi reptilia terbesar dunia itu akan siap sepenuhnya sekitar Jun ini dan mengambil masa sekurang-kurangnya empat ke enam bulan untuk menempatkan kesemua 38 reptilia tersebut.
Selain daripada spesis seperti ular, kura-kura gergasi dan iguana, pusat ini juga mempamerkan spesis reptilia albino seperti ulat, kura-kura dan cicak albino untuk tatapan pengunjung mendekati dan belajar mengenai spesis-spesis berkenaan.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Amat Lana bahawa pihak Zoo Negara kini sedang merancang untuk mempelbagaikan aktiviti dan program bagi memberi peluang kepada pengunjung mendekati dan memahami spesis reptilia yang ada di sini.
Zoo Negara akan memfokuskan kepada program dan aktiviti bersifat pendidikan berbanding persembahan seperti sebelum ini, sebagai contoh Zoo Negara akan mendedahkan kepada pengunjung spesis-spesis ular berbisa dan bagaimana menghadapi situasi dipatuk ular.
Jadi, semestinya program berunsurkan pendidikan ini lebih memberi manfaat terutamanya kepada kanak-kanak yang sukakan aktiviti lasak dan berkhemah. Kepada anda yang ingin melancong ke Zoo Negara bersama keluarga dan anak-anak, harga tiket yang ditetapkan adalah sebanyak RM45 seorang untuk dewasa manakala RM18 seorang untuk kanak-kanak.
Pastikan anda mempunyai cuti yang cukup untuk bawa anak-anak anda melawat Zoo Negara pada musim cuti sekolah hujung tahun ni ya!
Sumber: Sinar Harian.