Langkawi yang terdiri daripada 99 buah pulau tropika merupakan permata negeri Kedah yang sangat berharga. Pulau Langkawi sarat dengan kekayaan pusaka merangkumi seribu lagenda diangkat sebagai salah sebuah pulau yang tercantik di Malaysia.
Namun begitu, tidak ramai yang mengetahui kewujudan sebuah pulau dikenali sebagai Pulau Tuba yang tidak kurang menariknya yang mesti dikunjungi jika berada di Langkawi.
Berlandskap indah, berpasir putih dan pulau disimbah cahaya mentari, Pulau Tuba sememangnya menjanjikan ketenangan sebagai destinasi percutian idaman. Di samping terkenal dengan pulau yang masih dara, di sini bermulanya kedamaian buat pengunjung yang sukakan percutian privasi jauh dari gangguan. Pulau Tuba merupakan pulau kedua paling ramai didiami oleh penduduk yang majoriti berbangsa Melayu selepas tanah besar Pulau Langkawi dan diikuti Pulau Dayang Bunting.
Pulau Tuba hanya boleh diakses menerusi jalan laut terletak kira-kira 5km dari Jeti Kuah, pengunjung yang ingin ke Pulau Tuba perlu menaiki bot yang mengambil masa perjalan sekitar 15 hingga 20 minit bergantung kepada cuaca. Biarpun sedikit terpencil, Pulau Tuba mempunyai kemudahan asas yang mencukupi seperti bekalan elektrik, telefon, mesin ATM, air dari sumber semula jadi, kedai runcit, dewan orang ramai, masjid, sekolah, balai polis dan resort penginapan. Kedamaian sudah pasti menjadi satu kelebihan di sini.
Aktiviti Di Pulau Tuba, Langkawi
- Keistimewaan Pulau Tuba juga dikenali sebagai lubuk ikan dengan sumber laut yang kaya dengan spesies bernilai komersil seperti jenahak, kerapu, siakap, ketam, dan sotong. Maka, tidak mustahil aktiviti yang wajib dilakukan di sini adalah memancing. Anda pasti tidak akan dikecewakan dan mampu memperoleh pelbagai hasil laut segar.
- Pulau Tuba barangkali antara pulau semula jadi unik di Malaysia. Kaya dengan flora dan fauna, pulau ini dipisahkan dengan beberapa pulau berdekatan seperti Pulau Dayang Bunting dan Pulau Lima. Pengunjung yang mengunjungi Pulau Tuba turut akan dibawa ke beberapa destinasi menarik disekitarnya seperti Gua Kelawar yang terletak berhampiran Pulau Lima.
- Selain itu pengunjung boleh berkelah dan mandi-manda di sebuah pulau yang terpencil daripada penempatan manusia. Pantai putih bersih dengan air laut begitu jernih sehingga kelihatan batu karang.
- Satu lagi aktiviti yang paling menarik boleh dilakukan di Pulau Tuba adalah berbasikal mengelilingi keseluruhan pulau ini. Bukan sahaja dapat menikmati permandangan indah ketika menunggang, anda juga boleh berhenti singgah di perkampungan ini untuk melihat sendiri penduduk pulau melakukan aktiviti harian. Paling istimewa, layanan penduduk di sini begitu baik dan ramah mesra.
Istimewa Pulau Tuba!
- Jika berada di Pulau Tuba, jangan lupa untuk mencuba merasai kelazatan Kerabu Brunok iaitu makanan tradisi penduduk di sini. Brunok merupakan sejenis spesies keluarga timun laut seakan gamat.
- Antara bulan November hingga Januari adalah masa yang paling sesuai untuk melihat burung Wak-wak. Pada waktu ini, pengunjung pasti dapat melihat deretan jaring yang dipasang dipesisiran pantai oleh penduduk tempatan untuk menangkap burung ini.
- Jika tiba pada waktu bulan gelap, pengunjung berkesempatan melihat koloni kelip-kelip yang cuma berada kira-kira 100 meter dari pekan Tuba.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI