
Pasar terapung sangat sinonim dengan dengan negara Thailand.
Jangan ada tidak tahu, di negeri nun di Timur Semenanjung Malaysia, iaitu Negeri Kelantan turut mempunyai pasar terapungnya sendiri untuk dikunjungi. Pasar unik ini sudah mula beroperasi sejak tahun 2016 lagi.
Jika anda berkunjung ke Negeri Cik Siti Wan Kembang, jangan lepaskan peluang ke pasar terapung di Pulau Suri, Tumpat. Untuk ke Pulau Suri pengunjung perlu menaiki sampan atau bot yang disediakan pengusaha tempatan. Jika dari Jeti Kuala Besar, perjalanan menaiki bot atau sampan berenjin hanya mengambil masa sekitar 15 minit sahaja manakala jika dari jeti Kok Majid, ia mengambil masa hampir 40 minit.
Terdapat puluhan peniaga terdiri daripada penduduk tempatan yang menjual pelbagai jenis hidangan popular masyarakat Kelantan dalam suasana pasar atas air. Antaranya, lokan bakar, hidupan laut segar yang digoreng dan dibakar, ketupat sotong, kuih muih tradisi, jeli kelapa, gula melaka, madu, nasi berlauk pagi, aneka kuih tradisional dan kerabu nipah.
Selain daripada makanan yang dijual di dalam sampan, ada juga gerai kecil yang menjual pelbagai lagi barangan seperti buah-buahan, bahan mentah segar, kerepek dan tudung ditawarkan dengan harga yang murah dan berpatutan.
Sumber: | Foto: FB Pasar Terapung Pasar Suri | Tumpat Floating Market
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Puas Sangat! Trip Sehari Ke Gua Tempurung Dan Cuba Aktiviti White Water Rafting Berbaloi

Isi Kandungan
ToggleBentuk muka bumi di Perak memang sesuai untuk melakukan pelbagai aktiviti semulajadi. Boleh dikatakan kawasan sekeliling di Perak masih menghijau dan seronok untuk diterokai.
Antara destinasi dan lokasi menarik untuk lakukan aktiviti nature di Perak:
Meneroka Gua Tempurung
Berkunjunglah ke Gua batu kapur yang menjanjikan pengalaman eksplorasi gua dan riadah yang menyeronokan. Pengunjung bakal menyaksikan dengan jelas keindahan struktur batu-batu kapur yang membentuk lima kebuk gua sejak ribuan tahun dahulu, walau terpaksa membongkok dan merangkak untuk mengelakkan kepala terlanggar siling batu kapur dan stalaktit yang membentuk jeriji-jeriji batu sepanjang laluan kira-kira dua kilometer tersebut. Di mulut terowong ini, pengunjung dapat merasakan deruan angin yang menerobos masuk membuktikan terdapat satu lagi pintu di hujung gua tersebut.
Gua Tempurung yang dipercayai wujud sejak tahun 8,000 sebelum masihi ini sebenarnya mendapat nama dari rupa bentuknya yang menyerupai tempurung kelapa. Selain menjadi laluan dan tempat persembunyian komunis, gua ini dipercayai telah ditemui terlebih dahulu oleh seorang sami buddha yang menghuni kawasan tersebut sebagai tempat pertapaannya. Jejambat dan tangga yang dibina di dalam gua ini memudahkan pengunjung meneroka dengan selamat.
Jungle Trekking di Belum
Taman Negara Royal Belum merupakan khazanah yang tidak ternilai serta mempunyai
unsur-unsur kepelbagaian biologi yang begitu tinggi dan perlu dipelihara untuk generasi
akan datang. Di sini terdapat beberapa keunikan yang menjadi tarikan pelancong antaranya kewujudan habitat haiwan, bunga pakma atau rafflesia, perkampungan
orang asli, pelbagai spesies burung dan aktiviti jungle trekking.
Jika memilih untuk melakukan aktiviti jungle trekking di sini, masa yang diperuntukan oleh juru arah adalah sekitar enam jam perjalanan sahaja. Pengalaman melakukan aktiviti ini pasti meyeronokkan dan padat dengan info mengenai rahsia alam di Royl Belum.
Whitewater Rafting di Perak Rivers
Bagi pengunjung yang mengidamkan sedikit keseronokan dalam percutian mereka, apa kata mencuba aktiviti lasak Whitewater Rafting lagi menyeronokkan di sepanjang Sungai di Perak seperti Sungai Sungkai, Sungai Kampar dan Sungai Ulu Slim. Keselamatan anda ketika mencuba aktiviti ini tidak perlu diragui, kerana kelengkapan keselamatan telah tersedia seperti pakaian wetsuit penuh, booties, fin dan jaket keselamatan.
Off Road di Lasah
Kepada peminat aktiviti Off Road anda boleh mencuba menggunakan laluan yang ada di Perak, iaitu Lasah dan boleh terus memandu sehingga sepanjang jalan melalui Gua Musang di Kelantan serta Cameron Highlands di Pahang. Jika anda tidak mempunyai kenderaan sendiri, tetapi berminat untuk mencuba aktiviti ini, jangan risau kerana terdapat kemudahan kereta disediakan beserta pakar-pakar pengendali kenderaan ini yang berpengalaman menemani sepanjang pemanduan yang mencabar.
Masa terbaik untuk melakukan aktiviti ini di Perak ialah semasa musim kering antara Mac hingga Oktober. Tetapi bagi mereka yang ingin lebih cabaran, ada boleh mencuba aktiviti ini pada musim monsun iaitu nulan November hingga Februari.
Santuari Burung Kuala Gula
Kuala Gula merupakan sebuah perkampungan nelayan terletak di persisiran pantai utara negeri Perak, kira-kira 50 km dari barat laut Bandar Taiping. Ianya merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Paya Laut Matang yang terdiri daripada hutan bakau dan kawasan pantai berlumpur. Kawasan ini penting sebagai kawasan mencari makan untuk burung-burung berhijrah dan tempat bertelur untuk burung residen.
Kuala Gula telah terkenal di peringkat tempatan dan antarabangsa terutamanya kepada pemerhati burung kerana ianya amat signifikan dengan kewujudan burung air berhijrah. Ramai pelawat tempatan dan antarabangsa seperti Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Jepun dan negara lain datang ke Kuala Gula untuk melihat burung-burung ini.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kampung Kebudayaan Monsopiad Di Sabah Ni Sarat Lagenda Pemburu Kepala

Isi Kandungan
ToggleKampung Kebudayaan Monsopiad dibuka pada 1 Mei 1996 untuk memperingati kegagahan pahlawan Kadazan dan pemburu-pemburu kepala Monsopiad. Kampung tradisi tersebut merupakan tapak bersejarah yang dibina diatas tanah yang diduduki Monsopiad dan tempat Monsopiad menjalani kehidupan seharian sejak tiga abad yang lalu.
Kampung ini kini diangkat sebagai sebuah penempatan yang memberi sumber pengetahuan interaktif dan menyerikan kehidupan seharian kumpulan etnik yang terbesar di Sabah iaitu Orang Kadazan Dusun. Setiap hari tarian suku kaum Kadazan Dusun serta muzik tradisional dipersembahkan disini.
Mengimbau Nostalgia
Kampung Kebudayaan Monsopiad yang didirikan untuk mengenang jasa seorang pahlawan Kadazan yang agung dan juga merupakan seorang pemburu kepala (head-hunter) Monsopiad. Kampung Kebudayaan Monsopiad berazam menjadikannya sebagai sebuah destinasi atau muzium hidup, agar dapat memberi kesedaran kepada generasi muda tentang jasa nenek moyang suku kaum ini yang mempertahankan kaum Kadazan.
Sepanjang hidup Monsopiad, dia memburu 42 biji tengkorak kepala musuhnya sebagai bukti kegagahannya. Dikatakan tengkorak itu adalah hasil ‘buah tangan’ diperoleh Monsopiad ketika memerangi musuh dan penceroboh kampungnya, termasuk orang yang datang untuk mencabarnya.
Jumlah tengkorak dimiliki Monsopiad dikatakan paling banyak berbanding beberapa pemburu kepala lain di daerah ini, termasuk pencabar terdekatnya dikenali sebagai Gantang dari Kampung Minintod. Gantang dikatakan turut memiliki sejumlah tengkorak tetapi dia sendiri tumpas di tangan Monsopiad dan kepalanya adalah antara koleksi disimpan Monsopiad sebelum diambil waris keluarga Gantang dan diserahkan kepada muzium negeri.
Kini, baki tengorak-tengorak ini dijaga baik oleh anak cucunya yang memegang kuat dengan adat tradisi Kadazan. Pengunjung turut berpeluang dibawa kerumah mereka, iaitu tempat piala-piala pemburuan kepala Monsopiad dipamerkan dan dijaga dengan rapi. Terdapat pantang larang yang perlu dipatuhi pengunjung iaitu, mereka tidak boleh bercakap besar dan mengambil apa-apa barang yang terdapat di situ.
Di dalam rumah itu, selain tengkorak, beberapa barangan lama seperti tempayan, pedang dan aksesori bobohizan atau bomoh wanita Kadazandusun, gambar dan artikel berkaitan ritual penjagaan tengkorak turut dipamerkan sebagai maklumat tambahan buat pengunjung. Tengkorak yang disimpan di rumah itu dikatakan dijaga rapi sebagai warisan keluarga Monsopiad dan menjalani proses ritual penjagaan dikendalikan Bobohizan sejak lebih 300 tahun.
Keselamatan Dijaga Rapi
Mengimbas kembali zaman lampau, iaitu zaman pemburuan kepala dan pemujaan roh, ia diperintah oleh seorang Bobolizan iaitu dukun yang bertanggungjawab menjaga kesejahteraan kampung serta gangguan daripada anasir luar. Beliau memerintah kampung ini dan juga menjaga kesihatan fizikal dan jiwa kaumnya. Kini kampung ini tetap dikendalikan oleh orang keturunan Monsopiad.
Selain itu anda boleh merasai tapai, sejenis arak beras tempatan yang hasil dari proses penapaian dan menonton tarian tradisi yang disembahkan oleh komuniti tempatan yang bersemangat.
Info
Tapak peninggalan Monsopiad turut dianggap keramat kerana menempatkan sebiji batu monolit besar, dianggarkan seberat dua tan dan berketinggian empat meter dikenali sebagai Gintutun Do Mohoing. Ia dipercayai menjadi penjaga tempat berkenaan.
Di keliling batu itu, terpacak beberapa batang buluh yang hujungnya berbentuk seperti sarang ayam bertelur dipanggil `bangkahak’, dipercayai tempat Monsopiad mengeringkan kepala musuh yang dipenggalnya.
Walaupun disanjung sebagai pahlawan, Monsopiad dilihat menjadi ancaman kepada keselamatan penduduk kampung kerana kegilaannya memburu kepala walaupun tiada lagi musuh menceroboh. Ketika berada di kemuncaknya apabila menjadi orang yang digeruni pada masa itu, penduduk bimbang dia tidak dapat mengawal keinginannya untuk memenggal lebih banyak kepala apabila mula mencabar orang di sekeliling berlawan. Berikutan itu, penduduk kampung merancang membunuhnya dan pada satu ketika mendapat kesempatan tetapi Monsopiad hanya mengalami kecederaan kerana terkena buluh. Bagaimanapun, dia akhirnya mati apabila kecederaan itu gagal disembuhkan.
Sejak itu, kisah Monsopiad sebagai pemburu kepala paling digeruni di Penampang terus menjadi bualan penduduk dan diwarisi hingga ke hari ini.
Kampung Kebudayaan Monsopiad dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Terdapat empat sesi lawatan yang akan di bawa oleh pengiring iaitu pada pukul 10 pagi, 12 tengah hari, 3 dan 5 petang. Manakala tarian kebudayaan akan diadakan pada pukul 11 pagi, 2 dan 4 petang.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bahagian Tembok Besar China Yang Kita Tak Tahu

Tembok Besar China dahulunya menjadi ‘perisai’ Dinasti Ming untuk melindungi utara China daripada serangan puak Mongol dan Turki.
Secara asasnya, Panjang Tembok Besar China ini kira-kira 6,400km daripada Shanhaiguan sehingga ke Teluk Bohai di sebelah timur yang terletak berhampiran dengan sempadan China dan Manchuria, sehingga Lop Nur di sebelah tenggara wilayah Xinjiang.
Memetik sumber Wikipedia pula, pada 2009, satu tinjauan arkaeologi baharu menggunakan teknologi termaju melaporkan yang panjang keseluruhan tembok, dengan segala cabangnya, menjangkau 8,851.8km.
Namun adakah antara kita pernah mendengar tentang Tembok Besar Jiankou yang menjadi sebahagian daripada sejarah kemegahan Tembok Besar China?
Tembok Besar Jiankou

Tembok Besar Jiankou terletak kira-kira 30km dari Huairou, pinggir Beijing, di mana gunung-ganang di sekitarnya kelihatan agak berbeza antara satu sama lain.
Tidak seperti lokasi pelancongan Badaling Great Wall di Zhangjiakou yang sentiasa sesak kerana menjadi tumpuan ramai, Tembok Besar Jiankou adalah tembok besar di atas gunung yang curam dengan tebingnya yang lebih indah.
Tembok Besar Jiankou mendapat namanya kerana bentuknya yang seperti huruf W, ia sekali gus kelihatan seperti busur penuh lengkok anak panah.
Tembok Besar Jiankou adalah salah satu bahagian paling merbahaya dan paling tinggi di Tembok Besar China, namun ia bukan halangan kepada pendaki atau jurufoto untuk meneroka bahagian tersebut bagi mendapatkan sudut pandangan indah di puncak paling atas lokasi tersebut.
Di bahagian atas Tembok Besar Jiankou, pendaki boleh melihat Kolam Naga (Pool Dragon) dan runtuhan purba tembok besar yang berada di sekitar lokasi pendakian.
Laluan ke puncak Tembok Besar Jiankou adalah pendakian penuh curam di mana pendaki akan berdepan dengan beberapa seksyen pada sepanjang perjalanan sejauh 20km.
Antara seksyen yang terdapat di Tembok Besar Jiankou termasuk Titian ke Syurga (Tian Ti), Gerbang Neraka (Gui Men Guan), Menara Selatan (Nan Da Lou), Penjaga Pintu Gerbang General (Jiang Jun Shou Guan) dan bangunan Wangjing (Wangjing Building).
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI