Berita

Pulau Songsong Terima Tukun Tiruan Ciptaan Mahasiswa UTM

Share

Seramai 40 bakal guru dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah merekacipta dan melakukan pemasangan tiga tukun tiruan dan pelampung boya di Pulau Songsong, Kedah.

Melalui program ‘Kembara Kelestarian Kehidupan Marin’, mahasiswa tahun akhir ini turut membina fasiliti asas seperti tandas, tempat mandi serta papan info berkenaan hidupan marin yang terdapat di Pulau Songsong kepada pelancong.

Penambahbaikan fasiliti ini dilihat membantu menarik lebih ramai pelancong dan memberi keselesaan kepada mereka untuk datang menikmati keindahan Pulau Songsong.

Pemasangan tukun tiruan serta penambahbaikan fasiliti kepada pelancong di Pulau Songsong ini turut mendapat kerjasama Komuniti Bot Songsong.

Inisiatif program ini timbul daripada kesedaran ancaman yang berlaku terhadap terumbu karang dan keperluan untuk menjaga serta melindungi terumbu karang disamping habitat yang hidup di sekitarnya.

Menurut Pengarah program Keyong Liau, menjadi tanggungjawab bakal pendidik untuk mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang sebagai persediaan mendidik murid-murid pada masa akan datang.

“Bakal pendidik perlu menambah pengetahuan daripada pelbagai bidang seperti pengetahuan mengenai penjagaan alam sekitar untuk menyediakan diri dalam kepelbagaian kemahiran seterusnya memantapkan kemahiran insaniah mereka,” ujar beliau.

Usaha penjagaan alam sekitar terutama daripada kalangan mahasiswa mampu meningkatkan kesedaran belia terhadap kepentingan alam sekitar seterusnya melahirkan pemuda yang peka terhadap keadaan sekeliling.

Oleh
Epul