Berita

Pulau-Pulau Di Terengganu Dah Boleh Masuk. Jom la Perhentian Ke Redang Ke!

Share

Setiap kali musim tengkujuh, pulau-pulau yang berada di sebelah pantai timur selalunya akan terkena tempias dengan cuaca yang kurang berapa baik dan tidak selamat untuk dikunjungi.

Disebabkan musim ini tidak dapat dijangka, maka pengusaha-pengusaha yang mengendalikan kemudahan penginapan atau pengangkutan di pulau-pulau sekitar Terengganu sepakat untuk menutup operasi selama 4 bulan sehingga keadaan terkawal berikutan musim tengkujuh

Bermula minggu lalu orang ramai yang ingin bercuti di pulau peranginan di Terengganu kini boleh merancang percutian mereka kerana pulau terbabit kembali dibuka kepada pelancong.

Walaupun cuaca dan keadaan ombak dilihat baik sejak bulan lalu, pengusaha resort dikatakan tidak terburu-buru untuk memulakan operasi. Mereka memanfaatkan tempoh penutupan pulau untuk membaik pulih infrastruktur di lokasi masing-masing.

Berdasarkan pengalaman lalu, ada beberapa pengusaha resort terpaksa menyediakan penginapan dan makan minum tambahan kepada pelancong yang terkandas di pulau akibat keadaan cuaca dan gelora ombak besar apabila resort dibuka awal sekitar Februari. Disebabkan itu, pengusaha resort menangguhkan operasi daripada Februari kepada bulan Mac bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelancong terjamin.

Bagaimanapun, pengusaha resort dan penginapan juga diingatkan supaya sentiasa peka dan mengemaskini keadaan cuaca semasa dengan Jabatan Laut bagi memastikan operasi mereka berjalan lancar.

Sumber: hmetro

Oleh
Husna