Pulau Pangkor Sepanjang Tahun Boleh Datang Bercuti Walaupun Musim Tengkujuh

Share

Pulau Pangkor terletak  di perairan Selat Melaka di Perak merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia. Pulau Pangkor cukup strategik buat mereka yang ingin bercuti ke pulau walaupun pada musim tengkujuh. Pulau Pangkor dikatakan berasal daripada bahasa Siam iaitu Pang Koh bermakna ‘pulau yang cantik’.

Dengan jarak perjalanan hanya sekitar tiga jam dari Kuala Lumpur, Pulau Pangkor, Perak pastinya lokasi paling strategik sekiranya anda hanya mempunyai tempoh yang pendek untuk bercuti merehatkan diri. Untuk ke Pulau Pangkor, ada dua lokasi pangkalan bot menyediakan perkhidmatan bot iaitu jeti Lumut atau jeti Pangkor dengan kadar tambang berbeza dikenakan.

Pulau ini kecil sahaja, malah pengunjung sebenarnya boleh melawat ke semua tarikan Pangkor dalam masa setengah hari sahaja. Destinasi ini boleh dijelajahi dengan berjalan kaki atau menggunakan kenderaan.

Tempat-tempat menarik untuk dikunjungi :

  • Pasir Bogak
  • Teluk Nipah
  • Pangkor Laut
  • Kota Belanda
  • Batu Bersurat
  • Masjid Terapung
  • Kilang ikan bilis
  • perkampungan nelayan dan membina bot nelayan

Masjid Terapung Ikon Pangkor

Masjid Al-Badr Seribu Selawat terletak di Pulau Pangkor menjadi masjid terapung pertama di Perak. Bukan sahaja fungsi utamanya sebagai tempat beribadat dan majlis ilmu, ia turut menjadi salah satu lokasi wajib dilawati apabila berkunjung ke Pulau Pangkor. Malah, tidak keterlaluan jika ia diibaratkan sebagai ikon Pulau Pangkor dan Perak kerana Masjid Al- Badr Seribu Selawat menampilkan kelainan dengan dipenuhi selawat di setiap ruangnya.Masjid itu juga menunjukkan konsep mirip masjid di Turki dan Timur Tengah melalui kubah dan seni binanya.

Hasil Laut Segar

Hasil ikan segar dari Pangkor telah terkenal antara kualiti terbaik yang dipasarkan ke bandar-bandar luar. Meskipun industri perikanan adalah sumber ekonomi utama Pangkor yang secara majoriti dimonopoli oleh kaum China, masih terdapat golongan nelayan tradisional Melayu yang tertumpu di Kampung Teluk Dalam. Sementara itu, Kampung Sungai Pinang Kecil adalah lokasi utama yang menempatkan beberapa kilang memproses makanan laut kering.

Jangan lupa singgah ke salah satu kilang tersebut dan dapatkan hasil penting pulau ini seperti sotong kering, udang kering, ikan masin, sate ikan dan pelbagai jenis ikan bilis dengan harga istimewa.

Tidak jauh dari kampung itu, pelawat boleh melihat kawasan yang popular dengan industri pembinaan bot tradisional iaitu Kampung Sungai Pinang Besar. Di sini, tukang kayu tempatan mengambil masa berbulan-bulan malah mungkin mencecah hingga setahun untuk membina sebuah bot besar yang berharga ribuan ringgit.

Menariknya Pangkor!

Antara keistimewaan lain Pangkor ialah jumlah burung enggang yang banyak dan mudah dilihat berterbangan terutama di kawasan hutan berhampiran dengan laut. Malah burung-burung itu cukup jinak untuk mendekati pengunjung.

Oleh
Admin