Di Jepun, selain terdapat ‘pulau dihuni ratusan ekor kucing, di sini juga terdapat sebuah pulau digelar ‘pulau arnab’. Pulau Okunoshima menjadi habitat haiwan comel itu dengan jumlah yang sangat banyak dan diiktiraf antara pulau terpelik di dunia.
Pulau Okunoshima hanya mempunyai keluasan 70 hektar mempunyai pantai yang cantik, taman dan juga muzium. Dianggarkan terdapat kira-kira lebih 1000 ekor arnab yang hidup dan bergerak bebas disini. Arnab di pulau ini hanya mempunyai jangka hayat untuk hidup sekitar 2 tahun sahaja.
Kini setiap tahun hampir ratusan ribu orang pelancong datang ke sini dan kebiasaannya para pelancong akan membawa makanan untuk diberikan kepada arnab-arnab yang hidup di sini. Arnab-arnab ini hanya bergantung pada sayur kobis yang tidak berapa bagus untuk arnab dan makanan yang diberikan oleh pelancong sahaja untuk terus hidup.
Bagaimana wujudnya arnab tersebut dengan begitu banyak di pulau ini? Ada beberapa cerita dan teori yang diceritakan dari mulut ke mulut. Antaranya:
- Menurut portal iluminasi, sebelum peperangan Jepun-Russia satu ketika dahulu, pulau ini adalah kawasan pertanian yang hanya didiami 3 buah keluarga besar. Selain bercucuk tanam, penduduk yang tinggal disini juga menjalankan aktiviti perikanan. Pada tahun 1925, Institut Sains dan Teknologi Tentera Jepun telah mengumumkan satu misi sulit untuk menghasilkan senjata kimia. Kerajaan tentera Jepun memilih Pulau Okunoshima kerana kedudukannya yang jauh daripada Tokyo dan bandar-bandar besar lain yang mempunyai penduduk yang padat. Pada tahun 1927, pembinaan kilang-kilang dan makmal bagi menghasilkan senjata kimia ini dimulakan. Arnab digunakan sebagai bahan uji kaji makmal untuk senjata kimia. Arnab-arnab yang terselamat membiak dan telah menguasai keseluruhan pulau itu. Pada tahun 1988, Muzium Gas Beracun Okunoshima telah dibuka sebagai mengingati kewujudan kilang menghasilkan senjata kimia di pulau ini.
Walau bagaimanapun, Ellis Krauss, seorang professor dan pakar dalam bidang politik Jepun dari University of California San Diego menyatakan bahawa kesemua arnab yang hidup telah dibunuh setelah tentera Perikatan menawan pulau ini kerana menyedari risiko penyebaran penyakit oleh arnab-arnab ini.
- Sehingga kini, tiada bukti kukuh yang dapat membukti kewujudan populasi arnab yang banyak ini. Walau bagaimanapun, terdapat teori lain mendakwa terdapat pihak yang mendakwa arnab-arnab ini telah dibawa masuk ke pulau ini sewaktu pihak tentera menghasilkan senjata kimia di pulau ini.
- Teori lain pula mengatakan bahawa pada tahun 1971, sekumpulan kanak-kanak sekolah telah membawa dan meninggalkan 8 ekor arnab di pulau ini. Kerana ketiadaan pemangsa seperti anjing dan haiwan berbahaya yang lain, maka arnab-arnab ini telah membiak dengan begitu cepat sekali.
Kalau anda suka dengan si comel ini, bolehla rancang untuk melawat ke pulau ini.