Selangor memang tidak pernah kalah dalam menawarkan destinasi pelancongan tumpuan pelancong. Daripada alam semula jadinya yang indah, aktiviti riadah sehinggalah pusat rekreasi yang meriangkan, Selangor ada segalanya!
Pulau Ketam yang terletak di Klang merupakan destinasi yang menarik untuk dikunjungi yang mana pengunjung dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga atau rakan-rakan di sini sambil menikmati suasana pantai yang nyaman dan mendamaikan.
Kawasan ini merupakan perkampungan nelayan yang didiami oleh masyakarat Cina. Pulau Ketam merupakan antara destinasi pelancongan utama Selangor terletak di Klang yang menjadi tarikan pelancong. Kedudukan Pulau Ketam sangat strategik dikelilingi tiga pelabuhan utama yang menjadi laluan masuk laut ke negara ini iaitu Pelabuhan Barat, Pelabuhan Selatan dan Pelabuhan Utara.
Pengangkutan utama ke pulau ini adalah feri atau bot laju melalui Terminal Penumpang Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang, Selangor. Seawal jam 8.30 pagi, feri pertama memulakan perjalanan ke pulau itu yang mengambil masa sekitar 40 minit. Untuk sampai ke Pulau Ketam, anda perlu menaiki feri (RM14 dua hala) seorang atau bot laju (RM20 dua hala) seorang. Selain itu, Jeti Pulau Ketam turut menjadi pintu masuk warganegara asing yang menggunakan perkhidmatan feri ke negara seperti Indonesia.
Di Pulau Ketam, tidak ada penggunaan kenderaan lain seperti kereta kecuali basikal, skuter elektrik atau motosikal. Perhubungan antara Pulau Ketam dengan bandar Klang hanya dengan bot atau feri. Menangkap hasil laut adalah pekerjaan utama namun, terdapat sebilangan penduduk menjalankan perniagaan seperti membuka kedai runcit, restoran dan homestay.
Foto: Google Image