Pulau Hashima terletak kira-kira 15 kilometer dari daerah Nagasaki di Jepun merupakan pulau kecil yang ditinggalkan dan tidak berpenghuni. Pulau ini digelar dengan nama Gunkanjima yang bermaksud ‘Pulau Kapal Perang’ sesuai dengan bentuknya seakan kapal perang.
Sekitar tahun 1890, pulau ini telah dibeli oleh syarikat Mitsubishi bagi tujuan perlombongan arang batu di bawah laut.Pulau itu mencapai kemuncak penduduk tertinggi pada tahun 1959 dengan penduduk seramai 5,259 orang dan dianggap sebagai kepadatan penduduk tertinggi dunia yang pernah dicatatkan.
Dibina pada tahun 1887, pulau ini mempunyai sebuah apartment 10 tingkat bagi menampung pekerjanya yang ramai. Selain itu, terdapat juga sekolah, restoran, kolam renang dan banyak lagi bagi para pekerja menjalani kehidupan normal seperti berada di tanah besar.
Ketika Perang Dunia Kedua meletus, tahanan perang Jepun menjadi buruh paksa di hantar ke pulau ini dan dikerah untuk mencari arang batu bagi keperluan perang Jepun. Ramai tahanan perang yang mati di sini kerana keletihan melampau, kebuluran dan wabak penyakit. Kebanyakkan tahanan perang adalah rakyat Korea Selatan dan China. Disebabkan itu, sewaktu UNESCO mengishitharkan Pulau Hashima sebagai tapak warisan dunia pada tahun 2015, kontroversi meletus. Negara Korea Selatan dan China membantah dengan status tersebut.
Namun zaman kegemilangan pulau ini tidak bertahan lama kerana kehabisan sumber arang batu. Pulau ini hanya mampu bertahan sekitar seabad sahaja sebelum ditinggalkan kosong begitu sahaja. Pulau Hashima turut digelar Pulau Berhantu kerana banyak peristiwa-peristiwa ganjil berlaku di sini.
Pada tahun 2009 Pulau Hashima dibuka kembali untuk tujuan pelancongan. Pengunjung masih boleh melihat bangunan-bangunan lama yang masih berdiri megah, sekolah, kolam mandi air panas, kedai gunting rambut dan kemudahan-kemudahan yang lain. Terdapat juga barang-barang kepunyaan penduduk yang masih tertinggal di sana seperti televisyen, buku, rangka katil, komik dan kerusi. Pulau ini masih berada dalam keadaan yang sama seperti ia ditinggalkan lebih berpuluh tahun lalu.
Kebanyakkan pengujung yang melawat ke sini berasa kagum dengan infrastruktur pembangunan di sini. Mana tidaknya, berpuluh tahun yang lepas pulau ini seperti sudah membangun dengan bangunan-bangunan yang tinggi dan kemudahan yang serba moden. Itu la kelebihan negara Jepun yang maju berpuluh tahun dari negara-negara lain.
Disebabkan keunikan Pulau Hashima ini, banyak produksi filem menjadikan pulau ini sebagai set penggambaran. Antaranya filem James Bond – Skyfall.
Sumber: thevocket iluminasi Sumber Foto: marchandmeffre
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Trip Si Kaki Travel Ke Lahaul, India Melawat Keluarga Suami. Bestnya Kawasan Rumah Mertua Dia!
Siapa kata waktu travel tak boleh jumpa jodoh? Artikel ni Syu Azis membuktikan cinta tak kenal backpackers tau. Sudahlah dapat husband oversea, rumah mertua dia best pulak. Argh! Geram.
okay takpa-takpa. Apa-apa pun, kita baca kisah Syu Azis ni first time ke rumah mertua beliau di Lahaul, India.
Ada info dan tips juga yang beliau kongsikan
Selamat membaca
Salam semua.. Saya nak share trip bulan 10 tahun lepas ke rumah mentua saya di Lahaul, Himachal Pradesh, India. Ini first time post dekat group di media social, segan sikit rasanya
Terletak di daerah Gondhla & ini kali pertama saya kesana walaupun dah hampir setahun berkahwin. Bagi yang tahu Lahaul Spiti, mesti dapat agak tempat dia macam mana. Saya share sedikit gambar-gambar yang bagi saya in real tersangatlah indah. Sedikit cerita seperti berikut ya, maaflah kalau panjang sangat :
Bahasa Lahauli:
- Ding antanchi, di jaga nishi tochi (i dekat hujung tu tak bunyi)
- Jemput datang, tempat ini sangat cantik
Dari mata turun ke hati
Sedikit coretan macam mana saya kenal husband. Saya jumpa dia pada tahun 2015, trip kedua saya ke India, half solo half with geng, Iena & Raha.
Saya jumpa dia sebab charger saya hilang. Dan kedai dia dekat main road, dia ada kedai phone & accessories di Manali Mall Road.
Saya mulanya tak suka dia sebab dia cas saya mahal, yela saya kan tourist. Masa tu dia tak pandang saya, busy kemas kedai tertonggeng tonggeng, pagi sangat time tu.
Cousin dia yang handle saya. Lepas dia pandang, adoi saya pulak yang terkesima jadi tak tentu arah. Sampailah phone saya pulak buat hal, tinggal kedai dia.
And lepas handphone elok saya dapat Whatssap dari dia say hi.. Rupanya dia ambik nombor saya masa phone rosak. Saya tak layan tapi lepas tu jadi kawan baik.
Sampailah dia propose kahwin. Walaupun ramai girl termasuk foreigner taruh hati pada dia, tapi dia pilih saya dan walaupun saya gemuk masa tu sekarang kecik sikitlah, dia sayang terlampau sayang. Bangga kejap ?
Buka tingkap nampak gunung, tutup tingkap nampak cinta ?
Rumah mertua berhadapan dengan beberapa ketul gunung ganang yang cantik gila. Bukak pintu rumah or dari dalam bilik kami nampak gah sangat. Seriously terpegun & takjub dengan kuasa Allah SWT.
Rumah mentua juga sangat bersih dan terjaga, tersusun. Sejenis saya yang suka benda kemas ni memang happy lah. Hari hari depa sapu, mop lantai especially dapur.
Sudah masuk winter jadinya tanah, gunung botak tapi sangat cantik dengan autumn yang hampir ke penghujung nampak lawa semuanya. In summer memang hijau, tersangat cantik dan kurang sejuk.
Walaupun saya dan suami menetap di Manali, gunung jugak tapi tak sama dengan Lahaul. Tiada pencemaran langsung, bersih, jalan raya berturap cantik, penduduk tak ramai, sunyi, selamat sampaikan masa reach Lahaul ni terpesona sekejap, semacam datang je dunia lain aje, rare.
Seronoknya kehidupan tenang macam ni
Low crime rate disini atau boleh katakan tiada langsung.
Tiada line telefon, kalau ada pun Telco BSNL yang ada 2G je. Maybe next year akan ada 3G, 4G dan lain lain telco like Airtel, Jio dan Idea pulak. Takde line pun saya rasa okay sebab sini tenang, damai walaupun kekadang tu pishang ?.
Air percuma, klinik kerajaan pun percuma kos rawatan & ubat ubatan.
Air minum fresh, sumber dari glasier atas gunung sedap sangat-sangat dan minum terus aje, tak perlu masak.
Dari atas bukit rumah mentua boleh nampak sungai jernih warna biru hijau bak mata Missworld 1994 Aishwarya Rai ? yang mengalir dari sungai Chandra dari asalnya Chandratal Lake mengalir ke utara.
Tak banyak kenderaan atas jalan raya, bunyi horn juga hampir tiada. Privacy at its best.
Nak makan apa-apa, cabut sendiri dari tanah
Emak, ayah mertua & adik ipar perempuan petani, jadi keliling rumah penuhlah dengan pokok sayur macam salad hijau, salad kuning & purple, kobis hijau & purple, carrot, brokoli, kentang merah, tomato, cauliflower, bawang besar, epal, pokok bunga lily, gardenia, rose etc.
Agak agak nak makan, pergi cabut salad & carrot makan gitu je sedap sungguh sebab tak gunakan racun perosak. Bawang besar semua size gedabak. Katanya bawang jenis hybrid, patut ler besar pun. Masa nak balik Manali, berguni guni kami dapat bekalan stok sayur, bawang, kentang, butter, ghee, gandum.
Susu nak minum perah sendiri. Minum susu fresh setiap hari. Butter dan ghee pun mentua buat sendiri. Thanks to lembu comel 4 ekor kesemuanya ?
Mertua sekeluarga cakap bahasa dialek Lahauli, jadinya memang saya blur kejap bila depa sembang. Tapi depa tahu hindi so dekat situ bolehlah sembang jugak sebab saya boleh lah jugak cakap hindi. Blur kalau hari hari dengar zong seng toch noch macam bahasa Korea pun ada, cina pun ada, Russia pun ada ?.
Diorang amalkan gaya hidup sihat
Kehidupan mereka sederhana & sihat walafiat. Nenek mentua yang saya panggil Dadi masih sihat, tiada penyakit, tak bertongkat, tak pakai spek mata mcm saya walaupun umur nak cecah 90 tahun. Sekali Dadi cengkam tangan saya adoi kuat betul dia ni, agaknya sekali dia lesing berpusing kau ?.
Dadi sangat manja dan selalu usik saya. Dia perfectionist and tak boleh tengok pinggan mangkuk lama dok atas meja, sure dia ambik & basuh. Tu belum tengok dia siapkan tempat tido (winter depa tido dapur sebab ada tandoor heater tu).
Walaupun berbeza agama, adat tradisi, fahaman dan sebagainya saya sangat hormati & sayangkan mereka. Bab makan juga Alhamdulillah kena dengan selera saya walaupun makan sayur saja. Sedap, simple dan tak terlalu berempah macam tempat lain di India.
Sedapnya makanan lokal diorang ?
Mereka banyak makan sup, dhaal, momo (sejenis macam dimsum inti sayur atau ayam/mutton), sayuran hasil tanaman sendiri & roti yang dibuat sendiri. Makan kentang rebus pun dah sedap bagi tekak saya.
Air teh tempatan depa panggil ‘Namkeen Tea’ yang diperbuat dari kayu apa saya tak sure, rebus campur dengan susu, butter & garam. Walaupun dengarnya pelik kan tapi rasa dia sedap. Mentua kalau bagi minum sampai 4-5 gelas sampai kembung perut ni.
Sini memang kampung habis. Orang perempuannya memang duduk rumah saja dan tak kemana mana melainkan kawasan rumah, tanah sendiri or jalan utama saja. Saya ni excited, so jalan-jalanlah kerumah jiran nak explore siap sembang bagai nak rak. Dah adik ipar kejar suruh balik dan dia kata jangan suka suka pergi rumah orang. Nanti jadi gossip sebab sini kampung ?.
Kaum perempuannya dididik dengan sangat baik. Hormat orang tua, rajin yang amat rajin, sopan santun, pandai masak, pandai mengait, pandai bertani, kemas rumah dan sentiasa memuliakan tetamu. Mereka jugak tak boleh tergedik gedik depan orang yang tak dikenali apatah lagi orang lelaki asing. Ni baru contoh hantaran tinggi melangit kan ooppsss ?.
Siapa nak datang sini jangan datang time winter ☃️
Dekat sini angin tiup macam duduk tepi laut tapi tahulah kan sejuknya macam mana. Suhu winter boleh cecah ke -17. Access road ditutup dari November to April coz snow tebal boleh cecah 6 ft. Kalau bukan winter saya dah stay sebulan dua dekat sini, tapi
InsyaAllah next year in summer saya nak duduk sini. Boleh tolong mentua bercucuk tanam, masak & perah susu lembu ke. Summer adalah busy time bagi depa. Time tu lah upah pekerja untuk bercucuk tanam sayur, so pagi-pagi lagi dah kena masak capati beratus keping nak bagi makan pekerja.
Mentua sangat-sangat rajin, buat kerja dari pagi sampai malam, sebab tu fit dan kuat. Walaupun mereka tua, rasa malu sebab tenaga mereka hebat. Ayah mentua pemalu, emak pula tak tahu nak sembang apa tapi dia cukup suka kalau tengok saya berhias. Lepas mandi tengok saya sikat rambut nanti dia puji lawa, kemas. Tak kemas nanti dia tegurlah. Saudara mara datang pun kena tengok saya dah lawa ke belum, then baru lepaskan saya jumpa ?.
First time diorang jumpa orang gemuk ?
First time jumpa saya, emak & adik ipar terkejut sebab saya gemuk. Belum pernah dalam sejarah keturunan depa ada yang gemuk. Tersentap sekejap! ? Atas nasihat diorang yang cakap dengan penuh berhemah, kita pun ambil inisiatif untuk turunkan berat badan. Padahal time tu dah lost 12kg kot. Skang total weight lost dah 28kg. Berhasil kau??. Nasihat yang berguna saya ambil. Lagipun sekarang banyak faedahnya saya dapat bila makin mengecil.
Amalan bersila pulak amalan kaum diorang so aku duduk bersimpuh aje lah dah bersila tak boleh hahaha lantakkan ?. Yelah peha besar dulu mana boleh nak bersila bagai, bersimpuh pun sopan apa? ? Sekarang alhamdulillah boleh bersila dengan sempurna.
Jom melancong ke sini 2020
Tahun ini or 2020 tunnel akan dibuka dari Solang Valley terus ke Lahaul. Memudahkan kami lawat family mentua dan memandangkan tunnel hampir siap, ramai penduduk tempatan yang balik semula ke Lahaul kerana daerah ini akan membangun dan jadi golden area untuk tourist.
Mereka akan start buat guesthouse dan husband mungkin akan komersialkan tempat ni dengan buat homestay rumahnya sendiri InsyaAllah. Husband jugak dalam plan nak tambah beli tanah di daerah ini. Menariknya, orang luar yang bukan penduduk asal Lahaul tidak boleh beli tanah di sini.
Budaya di sini berbeza, disebabkan depa dari suku kaum yang lain. Pakaian pun berbeza. Dengar kata saya kena pakai baju tradisional depa kalau majlis resepsi belah husband jadi buat, buat saya senyum aje. Tapi atas dasar hormat, pakailah juga kot nanti. Sopan je pun. Orang perempuan ada pakai tudung jugak tau jenis ikat macam orang zaman dulu, boleh tengok gambar.
Dari sampai rumah mertua, saya dihidangkan dengan makanan tradisi diorang yang macam rasa kuih tiram kita, cuma tak ada gula. Sedap sangat sampai habis kena buat lagi. Bertuah punya menantu. Nama kuih tu marchu. Saya pun belajar buat, bawak balik Manali.
Chai, susu segar dan namkeen chai
Sebelum sarapan wajib minum 3 gelas chai (teh susu), lepas tu 3 gelas susu segar, petang pulak namkeen chai 4-5 cawan cina kecil. Memang ulang alik ke toilet selalu ?
Masakan, okay seingat saya lah kan, depa masak guna bawang putih, bawang merah, kunyit dan garam sahaja untuk dhaal, sayur. Tapi sedap, simple. Stor simpanan makanan berpeti peti, size gedabak pulak tu macam untuk setahun. Rupanya untuk 6 bulan winter saja, perghhh.
Masa waktu makan, emak mertua & adik ipar akan hidangkan kami makan macam tuan, puan besar. Berhidang setiap seorang, selagi kami makan tak kenyang selagi tu depa tak makan. Makan pulak dalam pinggan macam emas, harganya mahal! Sebiji pinggan cecah RM50.00. Tapi hanya akan hidang makan dalam pinggan tu sahaja. Berat pulak tu.
Husband tak pernah cerita lebih-lebih pasal tempat dia dibesarkan ni. In fact dia tanya suka tak? Dia takut bini dia tak suka. Apa hilang akal ke punya lah cantik tempat ni sampai aku berlari lari dengan bawak backpacknya, berat pun beratlah masa tu dah sampai rumah mentua. Sebab teruja. ?
Lupa saya nak tambah. Mentua saya dan adik ipar saya tidak pernah keluar dari Himachal Pradesh dan tidak pernah ke Delhi. In fact, diorang pun tak suka tempat yang sesak, kotor dan udara tidak sihat. Banyak jugalah diorang tanya saya Delhi tu macam mana? Hehe siapa yang asal India sebenarnya ni? ?
Akhir kata, dari nak stay 3 hari aje dekat sini, terlajak ke 16 hari. Sampaikan mama dekat Malaysia jatuh sakit menangis setiap hari dok kenang manalah anaknya ni? Risau dia. Yelah line takde nak call lagu mana habaq mai? Mama mertua pulak kalau dapat delay sehari ke sehari bukan main happy dia. Adoilah dedua mama aku ni
Terima kasih baca sampai habis.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Benda Boleh Honeymoon Sabah Buat Apa Pergi Tempat Lain! Pulau Mabul, Bohey Dulang, Mantabuan & Sibuan Memang Ohsem
Ada setengah orang sangat mengagungkan pulau-pulau di negara luar. Dia tak tahu dekat Malaysia, lagi-lagi di negeri Sabah banyak pulau-pulau yang turut tersenarai dalam pulau tercantik di dunia. Dunia tau, bukan peringkat daerah ke peringkat negeri.
Meleleh air liur kalau dapat jejak kaki di pulau negara kita ok! Cuba pusing semua pulau dekat dalam negara dulu, baru terjah pulau negara lain tau! Lepas itu anda buat perbandingan sendiri.
BOHEY DULANG
Sumber Foto: dphotographer
Antara cadangan pulau best yang anda boleh terjah adalah Pulau Bohey Dulang. Pulau ini terbentuk akibat kesan letusan gunung berapi jutaan tahun dahulu. Ia adalah sisa tinggalan gunung berapi seolah-olah kawah yang dibanjiri air laut lalu mewujudkan lagun besar. Kawasan lautnya pula berada pada kedudukan strategik iaitu berkongsi lautan dengan selatan Filipina dan utara Sulawesi.
Faktor itu menyebabkan Pulau Bohey Dulang ini mempunyai spesies karang yang pelbagai dan sangat menarik. Untuk kaki selam, memang syurga dasar laut lah kalau berada di sini. Buat pasangan yang mahu mengabadikan memori bulan madu berlatar pemandangan indah, pulau ini antara pilihan tepat kerana menawarkan percutian penuh romantik.
Selain dasar laut dan permukaan airnya yang mempesona, Pulau Bohey Dulang juga terkenal dengan pemandangan menarik dari bahagian atas puncaknya. Untuk menyaksikan keindahan itu, pengunjung perlu mendaki bukit tertinggi di pulau itu.
Sumber Foto: scubajeff | picssr | mohdrazali | trover | flickr
Jika keadaan trek tidak licin atau ramai orang, sekitar 30 hingga 45minit sahaja masa pendakian yang diperlukan. Untuk yang membawa anak kecil, cukup la sekadar bermain air di gigi pantai kerana kawasan pendakian ini agak mencabar untuk kanak-kanak.
Selain itu, snorkeling, selam skuba dan mandi-manda bersama pelbagai jenis ikan antara aktiviti wajib dilakukan saat bertandang ke sini. Pulau ini tidak menyediakan penginapan tetapi jaraknya yang dekat dengan tanah besar membolehkan pengunjung ke situ dalam satu hari.
PULAU MABUL
Sumber Foto: Hak Milik Libur | Ideaktiv
Pulau Mabul mempunyai komuniti masyarakatnya tersendiri. Pulau ini sesuai untuk sesiapa sahaja yang memilih untuk bercuti cara bajet hingga mewah kerana terdapat pelbagai pilihan penginapan dari status dorm hingga ke villa terapung.
Sumber Foto: Hak Milik Libur | Ideaktiv
Di Pulau ini juga mempunyai kemudahan agak baik kerana memiliki sebuah sekolah tadika, sekolah rendah, balai polis, surau, kedai menjual barang keperluan, kedai makan, gelanggang bola jaring dan perkampungan suku kaum bajau yang agak moden.
Pengunjung juga boleh memilih untuk berjalan atau menunggang basikal sewa dan bersiar-siar di sekitar Pulau Mabul ini untuk melihat dengan lebih dekat kawasan indah ini sambil menyaksikan matahari terbenam.
Sumber Foto: Hak Milik Libur | Ideaktiv
Anda juga boleh membeli hasil laut dari penduduk sekitar ini untuk dijadikan sajian makan tengah hari, makan malam atau untuk di bawa pulang ke rumah.
Sumber Foto: Hak Milik Libur | Ideaktiv
PULAU SIBUAN
Sumber Foto: Hak Milik Libur | Ideaktiv
Nama pulau ini sama seperti pulau yang terletak di Johor tetapi ia berbeza dari penghuni dan kawasan kelilingnya. Pulau ini diduduki oleh golongan etnik Bajau Laut. Pulau ini menjadi pilihan peminat selam skuba kerana lautnya yang sesuai untuk aktiviti tersebut. Selain itu, anda juga boleh melakukan aktiviti snorkel, berenang atau bersiar-siar sahaja di pulau ini sambil beramah mesra dengan masyarakat tempatan.
Sumber Foto: Hak Milik Libur | Ideaktiv
PULAU MANTABUAN
Sumber Foto: Hak Milik Libur | Ideaktiv
Pulau Mantabuan tidak kurang indahnya seperti pulau-pulau lain yang ada di sekitar ini. Air lautnya sangat jernih, pasir sangat memutih. Pulau Mantabuan tidak mempunyai sebarang fasiliti tempat penginapan, namun terdapat sebuah perkampungan suku Bajau Laut dengan kemudahan kedai runcit jika anda ingin ‘melepak’ minum sebentar sambil menyaksikan panorama indah.
Setiap pengunjung yang ingin singgah dan datang ke pulau-pulau ini perlu mengambil pakej yang telah disediakan oleh pengusaha bot untuk perjalanan sehari. Tidak perlu risau mengenai aspek keselamatan kerana pulau-pulau di sini sentiasa dikawal selia dengan baik oleh anggota keselamatan negara kita.
Sumber Foto: Hak Milik Libur | Ideaktiv
Cara Ke Pulau-Pulau Ini:
Terletak dalam zon Tawau di Pantai Timur Sabah, perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke pekan Semporna mengambil masa kira-kira sejam. Perjalanan menaiki bot laju dari jeti di pekan Semporna selama 30 minit hingga 1 jam 30 minit mengikut jarak pulau yang ingin ditujui. Perjalanan anda ke sini pula pasti tidak sia-sia kerana di sepanjang perjalanan mata anda bakal dijamu dengan keindahan laut yang membiru.
Apa lagi, cepat book tiket kapal terbang ke Sabah, kemudian terus ke Semporna sekarang ok! Jom cuti-cuti Malaysia.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Idea Raya Walaupun Berdepan PKP, Gamit Suasana Lebaran Di Negeri Selangor
Sedih kan bila fikir tak boleh balik Raya.
Namun apa kan daya. Kita harus akur dengan PKP.
Namun, ianya tidak menjadi penghalang buat umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini. LIBUR tertark dengan perkongsian Tourism Selangor yang menyenaraikan 7 idea untuk menyambut lebaran bersama orang tersayang.
Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa sedih tidak dapat pulang ke kampung halaman. Walaupun tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, namun kita masih boleh menyambut lebaran di lokasi masing-masing dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Inilah 7 idea terbaik untuk anda Pusing Selangor Dulu!
- Pengalaman di 16 Inap Desa berdaftar di Negeri Selangor
Meluangkan masa bersama keluarga di inap desa di Negeri Selangor semasa hari raya merupakan pilihan menarik untuk dilakukan. Pengalaman di inap desa boleh didefinisikan sebagai pengalaman tinggal sebagai tetamu dengan tuan rumah tempatan dalam komuniti kampung selama beberapa hari. Di Negeri Selangor, terdapat 16 inap desa yang berdaftar yang boleh dikunjungi dan dalam pada masa yang sama memberi ruang kepada penginap untuk mengenali budaya dan melakukan aktiviti yang menarik antaranya seperti di Homestay Banghuris, Homestay Kampung Sungai Sireh, Homestay Sungai Haji Dorani dan banyak lagi!
- OOTD sambil berbaju ‘Raya’ di Kawasan Kampung di Negeri Selangor
Terasa rindu pada pemandangan kampung halaman? Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor contohnya di Sekinchan, Sungai Besar dan Tanjong Karang mempunyai pemandangan sawah padi yang terbentang menghijau seluas pemandangan. Tambahan pula, Daerah-daerah ini mempunyai pelbagai tempat menarik untuk mengambil gambar dengan adanya kawasan kampung tradisi, sawah padi yang terbentang luas, rumah-rumah kampung tradisi, ladang buah-buahan, ladang kelapa dan bangunan bersejarah.
- Tenangkan Fikiran, Indahnya Suasana Pantai
Pasti ramai yang gemar menikmati suasana pantai dan pemandangan laut. Negeri Selangor mempunyai pantai yang cantik setanding dengan pantai-pantai di lokasi lain. Pantai juga merupakan lokasi yang sering dikunjungi pada sebelah petang di mana cuacanya lebih tenang diiringi langit yang indah membiru. Anda boleh berkunjung ke Pantai Morib dan Pantai Kelanang di Daerah Kuala Langat, Pantai Bagan Lalang di Daerah Sepang, Pantai Redang di Daerah Sabak Bernam dan banyak lagi untuk menikmati suasana pantai yang mengasyikkan!
- Rasai Pengalaman dan Aktiviti Agro-Pelancongan
Terdapat banyak taman agro yang boleh dilawati dan anda boleh mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan. Taman-taman agro ini menampilkan keindahan alam semula jadi yang sesuai dilawati oleh seisi keluarga, antaranya, MAEPS Agro Tourism Park, Selangor Fruit Valley, Kuan Wellness Eco Park, Kawasan Agro Tourism Kampung Johan Setia Sungai Kandis dan banyak lagi. Di sini turut disediakan pelbagai aktiviti yang menarik untuk anda rasai pengalaman sektor perladangan dan pertanian.
- Rasai Makanan Tradisi Negeri Selangor
Negeri Selangor merupakan negeri yang kaya dengan budaya serta pelbagai makanan tradisi. Terdapat pelbagai pilihan makanan yang telah menjadi tradisi sejak turun-menurun yang harus dicuba oleh orang ramai. Antara hidangan tradisi yang boleh anda dapatkan di Negeri ini ialah Nasi Ambeng, Sate, Lontong, Pecal, Sambal Taun dan banyak lagi! Makanan-makanan tradisi ini boleh didapati di sekitar Daerah Hulu Langat, Kuala Selangor, Klang, dan Sabak Bernam dari seleksi restoran serta kedai makan.
- Membeli-belah Produk-Produk IKS ‘Made in Selangor’!
Aneka kudapan dan kerepek merupakan produk IKS yang juga diminati oleh orang ramai di Malaysia. Kerepek juga menjadi hidangan kudapan ringan di rumah semasa musim perayaan kerana ianya enak dan senang dimakan. Anda boleh dapatkan kerepek-kerepek tersebut bagi juadah Hari Raya Aidilfitri di Pekan Banting Kuala Langat, dan Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor. Antara pengeluar produk IKS yang popular di Negeri Selangor adalah Ros Kerepek Banting, Bahulu Masri Sabak Bernam, Kerepek KunyaKunya Tanjong Karang dan Kerepek Jemirah Sepang.
- Raya Staycation-with-Style
Anda boleh menikmati penginapan serba selesa sempena cuti Hari Raya Aidilfitri di beberapa hotel di sekitar Negeri Selangor dan beberapa penginapan unik di sini. Antaranya seperti ‘The Sticks’ di Kuala Kubu Bharu yang sesuai dikunjungi bersama keluarga untuk menikmati suasana kehijauan dan jauh dari kesibukan kota. Selain itu, Sekeping Serendah Retreat juga menawarkan tempat penginapan yang dikelilingi kehijauan tetapi tetap mementingkan keselesaan. Manakala, Taman Eko Rimba Komenwel Resort juga menawarkan pengalaman ‘glamping’ untuk seisi keluarga anda. Untuk pengalaman ‘staycation’, terdapat pelbagai hotel di Negeri Selangor seperti New World Hotel Petaling Jaya, Concorde Hotel Shah Alam, One World Hotel , Petaling Jaya, dan banyak lagi.
Sambutan lebaran agak berbeza tahun ini kerana kebanyakan tidak dapat pulang beraya ke kampung halaman atas larangan rentas Daerah dan Negeri. Namun jangan risau, 7 idea menarik ini merupakan antara cadangan untuk anda bagi mengurangkan rasa kesedihan serta dapat menggamit suasana lebaran pada tahun ini walaupun dalam norma baharu. Disamping itu, adalah diingatkan kepada setiap pengunjung untuk mematuhi garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Pengunjung harus mendaftar melalui aplikasi mudah alih “SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat”, memastikan penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman secara berkala dan memakai pelitup muka pada setiap masa demi memastikan kesejahteraan para pengunjung terjamin.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI