Pelbagai cara dan ikhtiar yang dilakukan oleh pasangan yang tidak mempunyai anak agar senang mendapat zuriat antaranya mengunjungi beberapa lokasi ‘ajaib’ yang telah diberitahu dari mulut ke mulut kononya mampu membantu mendapatkan anak. Seperti di negara kita sendiri, Tasik Dayang Bunting menjadi bualan ramai lokasi yang sering ‘makbulkan’ permintaan pasangan yang belum memiliki zuriat menjadi kenyataan.
Percutian ke Pulau Langkawi dikatakan tidak lengkap jika tidak menikmati panorama Tasik Dayang Bunting yang indah dan mendamaikan dengan menaiki bot laju hampir 30 minit. Perjalanan menempuh ombak begitu berbaloi apabila disajikan pemandangan semula jadi yang begitu memukau dan cantik. Biarpun hampir dengan laut, air di tasik ini tidak masin dan menjadi tumpuan pelancong melakukan pelbagai aktiviti air. Pengunjung diberi peringatan agar menggunakan jaket keselamatan apabila berada dalam air kerana tasik ini mempunyai kedalaman 10 meter.
Tasik Dayang Bunting mendapat pengiktirafan UNESCO dan dikategorikan sebagai salah satu geopark di Langkawi. Semasa dalam perjalanan, anda dapat melihat bentuk muka bumi pulau seakan-akan seperti wanita yang sedang hamil sedang berbaring dan dari situlah pulau ini mendapat nama.
Terdapat mitos mengatakan wanita yang sukar hamil, jika meminum air tasik di sini akan dikurniakan anak. Tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenarannya. Tetapi mengikut kata penduduk tempatan Langkawi, kemungkinan ada wanita yang senang hamil selepas minum air tasik ini kerana khasiat yang terdapat dalam air tersebut. Ia seakan membantu tubuh berkerja dengan lebih baik dan tiada kena mengena dengan mitos karut.
Kisah Lagenda Tasik Dayang Bunting
Pada zaman silam, ia mengisahkan perkahwinan seorang puteri kayangan dengan seorang putera raja kerajaan di bumi. Anak yang lahir dari perkahwinan campur mereka ini dikatakan telah mangkat sebaik sahaja dilahirkan. Oleh kerana sang puteri sangat sedih dan kecewa, dia telah semadikan mayat anaknya di dalam air tasik ini. Lalu telah meninggalkan bumi dan kembali pulang ke kayangan. Kerana kasih kepada anaknya, dia telah menjampi air tasik tersebut sebagai penawar kepada pasangan yang tidak dapat melahirkan anak.