Ramai yang lebih mengenali Pulau Aoshima selepas pulau itu dilandai taufan yang teruk dan paling malang, pulau itu dihuni oleh ratusan ekor kucing. Rata-rata simpati dengan nasib si bulus yang tidak pandai membuat persediaan untuk menyelamatkan diri. Namun sebenarnya, semua kucing dipulau tersebut telah berjaya di bawa pindah ke tempat lebih selamat dengan lebih awal.
Sebuah pulau terpencil di selatan Jepun, Pulau Aoshima menjadi antara lokasi pelancongan popular selepas dihuni beratus kucing liar. Kucing liar tersebut hidup bebas di pulau Aoshima dengan mendiami rumah terbiar dan merayau di kampung nelayan.
Sehingga kini populasi si bulus berkenaan mengatasi jumlah penduduk di situ dengan nisbah kemungkinan 1 manusia bersamaan 6 ke 10 ekor kucing. Disebabkan tiada haiwan pemangsa, kucing bebas berkeliaran di pulau berkenaan tanpa rasa takut.
Sejarah awal pulau kucing tersebut pada awalnya haiwan itu dibawa ke pulau Aoshima untuk mengatasi masalah tikus yang merosakkan bot nelayan dan peralatan menangkap ikan. Sejak itu jumlah kucing terus membiak berlipat kali ganda sehingga tidak terkawal.
Pulau ini kini hanya didiami berpuluh penduduk warga emas. Majoriti penduduk, termasuk golongan muda, berhijrah ke kawasan bandar untuk mencari pekerjaan dan hanya balik ke kampung halaman ketika musim cuti atau perayaan.
Pada 1945, seramai 900 penduduk yang majoritinya nelayan menetap di pulau itu yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan menaiki feri dari pantai wilayah Ehime. Kini satu-satunya tanda menunjukkan aktiviti manusia di pulau itu ialah bot dipenuhi pelancong harian dari tanah besar untuk melihat populasi kucing liar di situ.
Di sini tiada sebarang kafe atau kemudahan pelancongan disediakan. Penduduk pulau kucing cuma berharap pelancong yang datang ke sini tidak menganggu kehidupan mereka yang aman dan damai dengan sebarang masalah. Pelancong juga disarankan untuk membawa bekalan makanan untuk diberi kepada kucing sendiri dari tanah besar, ini kerana tiada satu kedai pun menjual makanan khas untuk kucing. Kucing-kucing di sini hanya diberi makan sumber dari nasi atau ikan sahaja.