‘Pramugari Viral’ Lari Saringan COVID-19 Di Perak, Mengalami Simptom Psikiatri

Share

Penduduk di Perak pada awal minggu ini gempar seketika dan berang apabila seorang wanita yang menjalani ujian saringan Covid-19 melarikan diri ketika di Hospital Parit Buntar.

Perbuatannya dianggap ‘pentingkan diri sendiri’. Dia bertindak melarikan diri dari Hospital Parit Buntar dan bersembunyi di sebuah rumah di Taman Panchor Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Foto: FB Perak Press

Dia dilaporkan sebelum ini merupakan seorang pramugari syarikat penerbangan di Singapura namun sebenarnya wanita itu hanya pernah mengikuti kursus pramugari selama sebulan di Sungai Besi pada November 2019. Dia belum ditauliahkan sebagai pramugari sebenar sebaliknya tidak berkerja dan perkara itu disahkan sendiri oleh bapanya, sewaktu siasatan dijalankan pihak polis.

Pada 24 Mac, wanita tersebut bersama rakan lelakinya menyerah diri di perkarangan Hospital Parit Buntar sebelum diserahkan kepada Hospital Taiping untuk tindakan lanjut. Lelaki tersebut turut diminta untuk membuat pemeriksaan ujian saringan kesihatan dan hasil pemeriksaan di Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang, mendapati lelaki itu negatif Covid-19.

Wanita tersebut kini dirawat di Hospital Taiping berikutan mengalami simptom Covid-19 turut disahkan mengalami simptom kurang waras dan perkara itu disahkan sendiri oleh doktor psikiatri yang merawatnya. Kes wanita terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 22 (B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Sumber: HMetro Online

Foto: shuttersctock

Menerusi portal mStar, susulan tular kes pramugari yang mempunyai simptom Covid-19 melarikan diri, wanita tersebut memberi penjelasan berhubung perkara itu. Mitchell Adriyana Abdul Malik menjelaskan kes tersebut sebenarnya sudah selesai. Dia mengakui melarikan diri dengan bantuan abang angkatnya kerana mendakwa tidak diberi makanan dan minuman sepanjang berada di bilik isolasi untuk saringan. Malah dia turut menafikan laporan tular yang menyatakan dirinya seorang pramugari, sebaliknya sedang menjalani latihan kru kabin.

“Bagi saya kes dah selesai. Tapi saya terkilan kenapa nak viralkan saya sedangkan saya dah call pihak hospital maklumkan nak datang hari ini (Selasa). Sekarang saya dah kat hospital dan sedang dirawat. Memang saya mengaku saya lari. Saya dah tak tahan duduk situ, tanpa makan dan minum. Saya pun menangis dekat abang angkat saya cakap nak makan apa semua. Tak apalah abang angkat saya pun bawa saya pergi makan. Lepas tu saya tak larat balik hospital, jadi saya baliklah rumah family abang angkat saya. Sebenarnya ada timbul salah faham. Saya dah call pihak polis dan pihak hospital semalam, beritahu saya akan datang hari ini (Selasa). Kalau nak saya datang semalam memang saya tak larat,”.

Menerusi posting di media sosialnya, dia memohon maaf atas tindakannya.

“Hari Ahad saya datang nak check demam sebab saya dah demam banyak hari. Tunggu dari pukul 8 malam sampai 1 pagi tapi tak ada result apa-apa. Mereka hantar surat kat saya cakap nak transfer ke Hospital Taiping. Lepas tu mereka cakap saya boleh balik rumah kuarantin. Esok (Isnin) pagi mereka cakap Hospital Taiping dah full… lepas tu tolak pergi Hospital Ipoh. Jururawat suruh saya tunggu lagi dari pukul 3 petang tanpa makan minum. Saya mestilah lapar… dahaga lagi. Nak pergi toilet pun tak bagi.

Saya belum disahkan positif. Pihak hospital tak cakap result saya, darah saya pun mereka tak ambil. Saya tak pergi mana-mana pun. Kawan-kawan saya pun tak ada yang demam.”

“Yana minta maaf menyusahkan orang ramai. Terima kasih yang doakan Yana. Doakan Yana cepat sembuh.”

Oleh
Husna