Jambatan Victoria (juga dikenali sebagai Jambatan Enggor) adalah sebuah jambatan kereta api yang terletak di Pekan Karai, Kuala Kangsar, Perak. Jambatan yang merentangi Sungai Perak (sungai kedua terpanjang di semenanjung) ini mula dibina pada tahun 1897 dan siap pada 1900.
Ia merupakan jambatan kereta api tertua di Malaysia. Usia jambatan ini sehingga artikel ini ditulis, ialah 122 tahun.
Paparan 360 darjah Jambatan Victoria
Perasmian jambatan tersebut dihadiri oleh Sultan Perak, Sultan Idris Mursyidul Azam Shah dan Raja Perempuan Perak, Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Sir Frank Swettenham, Residen Perak, J.P. Rodger dan isteri, serta orang-orang kenamaan pada tahun 1900.
Pembinaan jambatan ini melengkapkan laluan keretapi dari Enggor ke Kuala Kangsar. Dalam tahun 1910, jambatan ini telah digunakan sepenuhnya untuk laluan keretapi dari Perai ke Johor Bahru. Jurutera yang bertanggungjawab terhadap pembinaan jambatan ini ialah G.W. Fryer, Jurutera Divisyen dan C.R Hanson dan disiapkan oleh Perak Goverment Railway bagi memudahkan proses mengambil timah dan pengangkutan awam. Nama jambatan ini diambil sempena Ratu Victoria yang memerintah England pada ketika itu. Dianggarkan panjang jambatan ini sekitar +- 600.
Mengikut cerita penduduk tempatan, pembinaan jambatan ini sedikit tertangguh oleh banjir besar di Sg Perak waktu itu. Air naik sehingga 17 meter dari paras air biasa iaitu + – 6 meter.
Seperti jambatan keretapi lain yang dibina British, jambatan dibina menggunakan besi padu (yang dilombong dari Tanah Melayu) dan disalut cat hitam tebal, seni reka tetulang bersilang yang kukuh, dan penggunaan bata merah yang tahan lasak. Enam tiang pasak yang besar dibina menampung landasan besi padu ini.
Kesemua enam tiang ini dibina menggunakan bata merah yang memang kita pun tahu lasak dan kukuh. Tiang pasak ini ditanam pada kedalaman lebih enam meter dari dasar (kedalaman Sungai Perak +- enam meter). Jambatan ini juga pernah dimusnahkan sendiri oleh British ketika Jepun mara. Namun ia dibina pulih sementara oleh Jepun dan penduduk setempat.
Menariknya, plak asal pembinaan, disimpan baik oleh individu yang tidak mahu dikenali selama 7 tahun, dan diserahkan semula pada pihak pengurusan jambatan. (Lihat video)
Jambatan ini diguna pakai sehingga tahun 2002. Di sebelah jambatan ini dibina jambatan konkrit baru yang lebih lebar dan mengambil alih laluan keretapi.
Kini jambatan ini masih diguna pakai pejalan kaki dan motosikal untuk menyeberang dan menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara. GALLERY VICTORIA BRIDGE juga telah dibuka bagi memberi maklumat informasi tentang sejarah jambatan tersebut.
Jambatan Victoria ini juga pernah menjadi lokasi penggambaran filem terkenal, Zombi Kampung Pisang pada 2007 yang diarahkan oleh anak jati Perak sendiri, Mamat Khalid.