Kelip-kelip adalah sejenis serangga dari kumpulan kumbang. Keunikan yang ada pada kelip-kelip ini adalah pada ekornya, yang mengeluarkan kelipan cahaya pada kadar tiga kelipan sesaat. Dalam ribuan kelip-kelip ini cahayanya bagaikan satu rentak yang bercahaya. Kelip-kelip jantan dikatakan mengeluarkan cahaya yang lebih terang untuk menarik perhatian kelip-kelip betina. Jangka hayat seekor kelip-kelip pula sekitar ialah 2 hingga 3 bulan sahaja.
Di negara kita terdapat banyak lokasi untuk melihat serangga ini dengan lebih dekat iaitu disekitar kawasan yang mempunyai pokok bakau seperti pokok berembang. Untuk hidup, kelip-kelip memerlukan keadaan cuaca yang lembap, persekitaran berpaya serta sumber makanan daripada pokok bakau. Pengunjung terutamanya pelancong ‘mat salleh’ kalau dapat peluang melawat port kelip-kelip ini memang mereka sangat teruja. Antara lokasi tumpuan ramai untuk melihat kelip-kelip adalah di:
Habitat kelip-kelip yang ada di Sungai Timun di Rembau, Negeri Sembilan antara lokasi menarik yang seharusnya diterokai oleh pencinta alam. Lokasi ini juga sangat dekat jika anda dari Port Dickson.
Untuk melihat kelip-kelip dengan jarak yang dekat pengunjung boleh menyusuri sepanjang sungai Timun sejauh tiga hingga lima kilometer dengan menyewa bot nelayan, di Jeti Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Timun. Apa yang menarik, kelip-kelip kawasan itu seperti sudah biasa dengan bunyi deruman enjin bot. Ia membuatkan serangga itu tidak lari walaupun dengan kehadiran bot yang membawa pengunjung. Namun, kelip-kelip ini kurang ketika bulan terang atau hujan.
Habitat kelip-kelip di Kampung Dew, Taiping Perak telah dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan unggul. Pengunjung yang datang dapat menikmati cahaya kelip-kelip di pokok berembang sepanjang 12 kilometer yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelip-Kelip.
Kelip-kelip Sungai Cherating memang terkenal sebagai lokasi untuk melihat keajaiban kelip-kelip bukan sahaja kepada pengunjung tempatan malah pelancong asing. Pengunjung akan menyusuri sungai sepanjang 2 kilometer untuk melihat keindahan cahaya genit si kelip-kelip di sekitar pokok paya bakau berhampiran.
Pengembaraaan kawasan kelip-kelip di Kg Kuantan bermula pada awal tahun 1970 oleh seorang pengusaha tempatan yang melihat potensi komersil keajaiban ini. Kini pengembaraan ini telah diamanahkan kepada Majlis Daerah Kuala Selangor dan ia telah berkembang dengan pesatnya dengan penambahan sebanyak 27 sampan yang disediakan untuk menampung pengunjung.
Kelip-Kelip Sungai Nanamun yang terletak di Kota Belud, Sabah menjadi lokasi ramai tumpuan pengunjung untuk melihat serangga itu dari jarak dekat. Kewujudan lokasi itu menyebabkan lebih ramai pelancong tempatan dan luar berkunjung dan menetap lebih lama di Kota Belud. Pengunjung disarankan untuk datang ke sini pada waktu senja untuk menikmati pemandangan indah sambil ditemani cahaya kelip-kelip.
Sumber Foto: Google image