Port healing dalam hutan di Belantara Resort Trong, Perak pemandangan di sini cukup indah. Yang suka ootd memang puas hati, banyak sudut instagramable.
Port Glamping di Perak
Cuma jalan masuk agak menyeramkan sebab lalu kawasan kampung, kebun getah, kebun kelapa sawit dan jalan berbatu yang belum ditar. Tetapi jangan risau, jalan dia cantik dan kereta biasa pun boleh masuk.
Kalau sudah sampai, boleh terus bawa anak anak mandi mini theme park. Mini theme park sini sesuai untuk anak-anak sebab tak dalam sangat. Mak-mak boleh menyembang di tepi sambil anak-anak bermain.
Bab Makanan Jangan Risau
Makan malam dan breakfast disediakan. Termasuk dalam pakej penginapan. Makanan buffet yang bagi saya agak banyak pilihan. Yang paling best, makanan sedap.
Makan malam – sate gemok, ayam bakar, spagetti bolognese, nasi, lauk ayam, kuey teow goreng dan banyak lagi.
Breakfast- nasi hujan panas, soto, cereal, teh panas, kopi dan macam-macam lagi.
Selain dari theme park, ada playground, sungai, tempat main bola tampar dan lapangan memanah.
Owh ya, kalau nak kayuh basikal atau naik atv pun boleh tapi yang ni ada caj tambahan.
Untuk khemah yang kami duduk, tandas di luar. Tapi tak jauh sangat. Tandas pun bersih dan selesa. Kalau ambil chalet, ada tandas di dalam.
Yang paling penting ada line dekat sini, internet laju. Anda yang jenis buat kerja online tak perlu risau.
Kalau nak pergi, boleh search Belantara resort. Kena guna google maps, Waze tak detect.
Lokasi:
Belantara Resort Kg. Sungai Lubok, Trong, Perak.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mandi Kolam Air Panas, Lepak Makan ‘Nasi Bamboo’. Benda Wajib Try Di Sungkai,Perak
Jika anda bercadang untuk bercuti atau dalam perjalanan ke utara, singgah sebentar di daerah Sungkai, Perak menjamu selera di ‘Nasi Bamboo’ Sungkai, Perak. Lokasinya berhampiran destinasi pelancongan Sungai Klah.
Menu isitimewa di sini berupaa nasi yang dimasak dan dikukus dalam buluh dengan daun lirik atau lebih dikenali sebagai daun kalatia sebagai lapik berasnya. Konsep nasi bamboo ini ialah ia dimakan bersama lauk-pauk asli negeri Perak ketika ia masih panas.
Antara menu masakan tradisional yang disediakan seperti keli goreng panas, ayam kampung serabut, daging masak hitam, gulai kawah dan daging kambing salai. Masakan tradisional ini sememangnya sangat unik dan aromanya pasti membuka selera.
Sungkai sangat sinonim dengan nama Taman Rekreasi Air Sg. Klah. Dek kerana kawasan ini adalah dibawah Felda Residence Hot Springs, ianya dikelilingi oleh pokok kelapa sawit dan pemandangan itu membuatkan lokasi ini nyaman kerana banyak tumbuh-tumbuhan semula jadi yang menghijau hidup di situ.
Kalau anda hanya ingin mandi air panas, anda boleh berbuat sedemikian dan usah khuatir kerana di sini juga ada kolam biasa untuk anda yang datang saja-saja nak main air selain air panas. Boleh pilih antara dua, sama ada nak mandi di kolam terbuka atau mandi kolam privasi.
Yang pasti, kena datang awal sebab ramai orang yang berkunjung ke sini terutamanya pada hujung minggu atau cuti umum.Untuk anda yang nak bermalam di sini, penginapan di Felda Residence menyediakan pelbagai pilihan untuk anda dan boleh ke laman sesawang Felda Residence untuk membuat tempahan.
Jom cuti-cuti di Perak~
Foto: FB Orang Perak
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lapan Lokasi Menarik Untuk Dikunjungi Sekitar Perak
Ketika diundang ke Perak bersama media lain sempena promosi Tahun Melawat Perak, hati berbaur suka untuk melihat tarikan dan keistimewaan yang ada di negeri ini. Biarpun penulis berasal dari Perak namun masih banyak lokasi yang belum diterokai. Kembara kali ini memberi pengalaman baru untuk mengintai lokasi pelancongan popular dan jadi tarikan.
Stesen Kereta api Ipoh
Stesen Kereta api Ipoh yang dibina pada 1914 ini masih utuh bukan sahaja sebagai bangunan bersejarah, tetapi juga bangunan yang berfungsi menerima kereta api elektrik untuk bandar ini.
Digelar sebagai Taj Mahal Ipoh, bangunan putih ini dibina oleh AB Hubback , arkitek sama yang membina bangunan stesen Kereta api Kuala Lumpur. Ia sepatutnya digunakan sebagai hospital, tetapi akhirnya diubah menjadi stesen kereta api yang menempatkan kafe kecil dan hotel 21 bilik (kini ditutup).
Jika ke kawasan dataran di hadapan stesen, anda akan dapat melihat tugu kenangan yang dibina bagi memperingati mereka yang meninggal dunia akibat kerahan tenaga kejam di zaman penjajahan Jepun ini.
Ipoh Town Hall
Ia merupakan sebuah bangunan yang bergaya Neoklasik yang direka oleh AB Hubback yang juga membina Stesyen Kereta Api Ipoh. Dahulu Ipoh Town Hall digunakan sebagai pejabat pos dan telegraf, namun kini ia menjadi lokasi untuk mengadakan majlis perkahwinan, konsert dan acara rasmi yang lain. Ia menjadi salah satu destinasi yang wajib anda kunjungi.
Concubine Lane
Membawa anda ke tahun 1892 di mana pekan lama Ipoh dibina semula pada tahun 1892 selepas hangus terbakar. Concubine Lane terdiri daripada beberapa lorong kedai yang masih mengekalkan seni bina dan kenangan terdahulu. Hari minggu meriah di Concubine Lane di mana anda boleh membeli pelbagai cenderamata, makanan, ais kepal, tau fu fah, gula kapas dan sebagainya. Di kawasan ini juga terletak banyak kafe-kafe hipster tumpuan muda mudi serta butik hotel dengan rekaan tersendiri.
Kinta Riverfront
Mini I-City ini juga terletak di tengah-tengah pusat bandar Ipoh. Bukan sahaja dilimpahi cahaya berwarna-warni lampu LED, Kinta Riverfront terletak di persisiran Sungai Kinta dan menjadi destinasi keluarga dan muda-mudi menghabiskan malam mereka. Penat berjalan, anda boleh cuba aktiviti berbasikal di sekitar kawasan Kinda Riverfront dan Taman DR Seenivasagam.
Lukisan Mural
Ipoh juga popular dengan tarikan terbarunya iaitu Street Art atau Seni Lukis Jalanan yang terdapat pada dinding bangunan sekitar Ipoh. Pelbagai lukis dinding jalanan atau mural anda dapat lihat di dinding bangunan di Ipoh.
Masjid Ubudiah
Masjid Ubudiah terletak di Bukit Chandan Kuala Kangsar . Direka oleh AB Hubback iaitu arkitek sama yang mereka Stesen Keretapi Ipoh dan Kuala Lumpur, masjid ini dibina dengan menggunakan batu marmar yang diimport khas dari Itali. Ia dibangunkan pada tahun 1913, tetapi pembinaannya tergendala dan hanya disiapkan pada 1917. Ini kerana marmar import itu lewat tiba kerana tercetusnya Perang Dunia Pertama.
Galeri Sultan Azlan Shah
Di sini anda bukan sahaja boleh melihat barangan peribadi pemerintah, tetapi belajar sejarah kehidupan mantan sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Di dalam bangunan yang merupakan bekas istana ini, anda dapat melihat pelbagai koleksi dan sejarah berkenaan Sultan Azlan. Ia bermula daripada waktu persekolahannya, karier beliau sebagai pengamal undang-undang serta minat mendalam beliau terhadap sukan hoki.
Anda juga dapat melihat cop mohor sultan, alat kebesaran seperti koleksi keris sehinggalah kereta diraja dan kereta peronda yang digunakan dalam gerombolan beliau.
Istana Kenangan
Istana Kenangan yang terletak di Kuala Kangsar tidak jauh dari Galeri Sultan Azlan Shah. Dibina pada tahun 1926 untuk Sultan Iskandar Syah oleh seorang tukang kayu Melayu yang bernama Encik Sepian, istana ini juga dikenali sebagai Istana Lembah disebabkan oleh lokasinya.
Menjadi kediaman rasmi sementara bagi keluarga diraja Perak dari 1931 sehingga 1933, sementara menanti Istana Iskandariah siap.Mulai tahun 1986, fungsi istana ini telah ditukar dari istana kepada muzium diRaja Perak.
Istana ini dibina tanpa menggunakan sebarang paku. Dindingnya diperbuat daripada tepas dan atapnya diperbuat dari kayu papan. Jika dilihat dari atas, bangunan ini akan kelihatan seperti sebilah keris yang tersimpan dalam sarungnya,sesuai dengan fungsinya sebagai istana diRaja.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kisah Kehilangan Misteri Pada 1967. Satu Dunia Kenal Nama Cameron Highlands!
Cameron Highland merupakan destinasi percutian tanah tinggi terkenal di negara kita. Cuacanya yang segar dan sejuk menjadi pilihan ramai pelancong domestik untuk menjejak destinasi tersebut.
Disebalik terkenal ladang teh dan tanaman strawberi, Cameron Highlands juga punya kisah lagenda misteri yang tersendiri telah lama disimpan sehingga pernah menjadi ‘popular’ meniti dibibir ramai penduduk dunia.
Misteri kehilangan Jim Thompson telah menyebabkan Cameron Highlands menjadi tempat yang terkenal di dunia. Bukan sedikit pasukan mencari yang dikerah dan yang turun membantu untuk mencari Thompson sejurus selepas kehilangannya pada 1967 itu. Misteri kehilangan warga Amerika Syarikat itu masih kekal membelenggu tanah tinggi itu sehingga hari ini.
Siapakah Jim Thompson? Pernah atau tidak melihat butik mewah di negara kita menjual hasil sutera dengan jenama Jim Thompson?
Jim Thompson atau nama penuhnya James Harrison Wilson Thompson merupakan seorang ahli perniagaan warga Amerika Syarikat. Walaupun dia memiliki empayar kain sutera Thai di Bangkok. Dia yang turut mendapat gelaran Raja Sutera Thai membantu menggiatkan semula perniagaan tekstil dan sutera Thai lewat tahun 1950an dan 1960an membantu ekonomi penduduk. Jim Thompson menumpukan sepenuhnya untuk menggiatkan semula industri kecil menenun sutera menggunakan tangan, yang merupakan kemahiran yang diwarisi oleh wanita Thailand selama berkurun bagaimanapun ia sudah tidak lagi popular.
Jim Thompson juga dikatakan gemar membantu beribu-ribu penduduk miskin Thailand keluar daripada belenggu kemiskinan. Dia dikatakan memberikan sebahagian daripada saham-sahamnya dalam Thai Silk Company kepada penduduk-penduduk miskin ini. Jim Thompson dilahirkan di Greenville, Delaware, Amerika Syarikat pada 21 Mac 1906 dan dikatakan pernah berkhidmat dengan Tentera Amerika Syarikat dalam bidang perisikan ketenteraan.
Maka tidak hairan, sehingga hari ini masih ramai pelancong yang obses mengenai misteri itu datang ke Moonlight Bungalow kini dikenali sebagai Jim Thompson Cottage (Sunlight Suite S/B Cameron Highlands) untuk melihat sendiri tempat terakhir Thompson dilaporkan dilihat sebelum dia hilang.
Bilik terakhir sebelum Jim Thompson hilang ketika menginap di banglo ini adalah di bilik ketiga yang bersebelahan tangga ke ruang atas. Kali terakhir dia dilihat sebelum hilang tanpa jejak kira-kira pukul 4 petang pada 26 Mac 1967. Keadaan bilik masih tidak berubah kecuali perabot yang telah ditukar untuk dijadikan penginapan tetamu.
Jim Thompson datang ke Cameron Highlands bersama Constance Mangskau pada 24 Mac 1967 dan menginap di Moonlight Bungalow bersama-sama pemilik, Dr. Ling Tien Gi dan isteri, Helen Ling rakyat Singapura. Terdapat dua laluan yang dikatakan telah dilalui Thompson sebelum dia hilang di dalam hutan berdekatan. Ada yang kata semasa sedang treking, Thompson menuju ke Lutheran Mission Bungalow. Selepas dilihat berada di situ, Thompson tidak lagi kelihatan selepas itu.
Berpuluh-puluh teori timbul ekoran kehilangan Thompson pada petang 26 Mac 1967. Namun, ramai penduduk Cameron Highlands lebih percaya bahawa Thompson sebenarnya menghilangkan diri dan menukar identitinya agar tidak dikenali dan kemudian pulang ke Amerika Syarikat. Jika dia mati di dalam hutan, mustahil tiada satupun cebisan mayat dijumpai sedangkan ribuan orang telah mencarinya pada masa dia dilaporkan hilang. Ada juga laporan yang mengatakan orang awam telah ternampak kelibat Thompson di Amerika Syarikat selepas dia dilaporkan hilang di Cameron Highlands. Namun tiada pengesahan dibuat sehingga kini
Foto:sunlightsuite.com | pixels.com| google image | thepatrionts
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI