PKP 3.0 : Industri Pelancongan Terima Kesan Teruk, Tujuh Hotel Di Langkawi ‘Bungkus’

Share

Niat untuk mengekang penularan wabak dilihat agak baik namun masa yang sama, ada banyak pihak yang terjejas teruk. Antaranya industri pelancongan apabila sekatan daerah dan negeri bagi Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dilaksanakan hampir sebulan lalu.

Antara yang menerima kesan hebat ini termasuk kawasan pelancongan popular seperti Langkawi yang memasuki fasa tenat apabila terdapat hotel yang ditutup sepenuhnya ekoran mengalami kerugian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir memberitahu, sebanyak tujuh pengusaha hotel yang bernaung di bawahnya ‘bungkus’ dengan kerugian dianggarkan bernilai RM25 juta dalam tempoh PKP ini.

Malah menurutnya, LTA turut melahirkan kebimbangan tentang masa depan pulau peranginan popular negara itu yang mungkin ‘hilang’ daripada radar sektor pelancongan negara.

Katanya, keadaan itu berlaku berikutan kehadiran pelancong ke pulau peranginan tersebut merosot ketika PKP 3.0.

“Ini membabitkan hotel di bawah LTA sahaja. Pengusaha hotel berkenaan tidak mahu tanggung kerugian berterusan memandangkan sektor pelancongan dijangka beroperasi sepenuhnya Disember ini atau Januari tahun depan.

“Tujuh hotel terbabit memang tutup terus. Ada akan dijual dan ada yang ditukarkan kepada rumah atau bilik sewa. Kita percaya lebih banyak pengusaha yang akan gulung tikar andai sektor pelancongan Langkawi tidak dibuka mengikut pelan pemulihannya pada September atau Oktober ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Pantai Chenang di sini juga mendapati kawasan tersebut yang sebelum ini dipenuhi pelancong kini lengang dan sunyi.


Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis, Eugene Dass, merayu agar kerajaan Pusat dan negeri mempertimbang insentif serta bantuan bagi membantu pengusaha hotel yang terpaksa menutup operasi mereka sepanjang PKP 3.0 ini.

“Ini adalah untuk kelangsungan pengusaha hotel. Kita minta kerajaan dan kerajaan negeri mempertimbangkan bantuan one off, pengecualian cukai pintu untuk tempoh tiga bulan ini dan diskaun tarif elektrik,” katanya.

Beliau juga berharap proses vaksinasi disegerakan dalam kalangan petugas hotel bagi memastikan pelan pemulihan sektor berkenaan berjalan lancar.

“Setakat ini MAH sudah menghantar 30,000 nama kepada Kementerian Kesihatan untuk divaksin tetapi belum ada maklum balas,” katanya.

Gambar : Suasana lengang dan suram di sekitar Pantai Chenang, Langkawi, Kedah, berikutan pelaksanaan PKP 3.0 sejak 1 Jun lalu. Sumber : Utusan Malaysia

Oleh
almaswa Haji Che Ros