Aktiviti menunggang motosikal secara berkonvoi memang menyeronokkan apatah lagi bersama rakan yang ‘satu kepala’. Biasanya aktiviti ini dilakukan bukan saja sebagai terapi ketenangan minda sambil menghayati keindahan pemandangan sepanjang perjalanan malah mengeratkan hubungan antara mereka.
Namun, aktiviti bulanan atau mungkin mingguan setengah-setengah ‘bikers’ terpaksa terhenti seketika dek perintah kawalan pergerakan demi mengekang penularan wabak COVID-19. Kini perjalanan rentas negeri kembali dibenarkan setelah hampir beberapa bulan tidak dibenarkan berbuat demikian. Ini lah masa terbaik untuk keluar melihat ‘dunia’ kembali, terutamanya buat geng bikers bertemu rakan taulan.
Tiada idea lokasi persinggahan kalian berhenti seketika? Nah! ini cadangan destinasi ‘pitstop’ buat anda:
Terasa lelah ketika berkonvoi, berhenti seketika membasah tekak dengan minuman kopi panas. Antara kopi yang terkenal sejak tahun 1957 dicadangkan untuk singgah adalah di Kopi Manshor Kuala Pilah pasti kena dengan citarasa anda! Ada hampir 25 pilihan minuman kopi ditawarkan, namun kopi yang paling istimewa di sini adalah ‘Kopi Power’ sudah berjaya menawan hati ramai.
Rupa kopi ini kelihatan sangat pekat, namun tidak pula pahit. Rasa manisnya juga tidak keterlaluan. Pendek kata, kopi yang melimpah luah hingga ke piring ini memang cukup sempurna. Di sini juga tersedia kemudahan kawasan parkir kenderaan yang luas dan selamat.
Sebut sahaja gulai tempoyak ikan patin, nama Kancil Raja Patin pasti menjadi kebanggaan masyarakat tempatan di daerah Temerloh, Pahang untuk menjamu selera. Kuah tempoyak berwarna kuning keemasan yang pekat dan isi daging ikan patin sangkar kampung menjadi pemikat kepada setiap pengunjung yang datang bukan sahaja dari Pahang tetapi juga serta negeri.
Kampung ini adalah tempat pertama ternakan patin sangkar di Pahang. Jadi jika anda mahukan yang terbaik memang kena datang ke sini. Lokasi kedai makan ini juga punya pemandangan yang agak menarik betul-betul di tepi sebatang sungai.
Gerai Mi Racun ini popular menjadi lokasi persinggahan kumpulan pemilik motosikal berkuasa tinggi yang berkunjung ke daerah Batu Pahat serta sekitarnya. Bukan itu sahaja, malah lokasi menjamu selera ini seringkali menerima pelanggan konvoi pemilik motosikal dari negara jiran Thailand dan Singapura. Mi Racun kedengaran agak ‘keras’, hidangan ini menjadi viral dek mampu meracuni selera pelanggan walaupun baru pertama kali merasainya.
Untuk merasai kelazatan mi ini boleh ke gerai gerai terletak di Taman Sri Jaya, Batu Pahat. Beroperasi setiap hari, kecuali pada Isnin minggu kedua dan keempat, perniagaan mi racun ini bermula pukul 4 petang sehingga 11 malam.
Jika anda dalam perjalanan ke utara, singgah sebentar menjamu selera di ‘Nasi Bamboo’ Sungkai, Perak. Lokasinya berhampiran destinasi pelancongan Sungai Klah. Menu isitimewa di sini berupa nasi yang dimasak dan dikukus dalam buluh dengan daun lirik atau lebih dikenali sebagai daun kalatia sebagai lapik berasnya. Konsep nasi bamboo ini ialah ia dimakan bersama lauk-pauk asli negeri Perak ketika ia masih panas.
Antara menu masakan tradisional yang disediakan seperti keli goreng panas, ayam kampung serabut, daging masak hitam, gulai kawah dan daging kambing salai. Masakan tradisional ini sememangnya sangat unik dan aromanya pasti membuka selera.
Jom cuti-cuti Malaysia~