Piramid Senusret II yang dibina pada era pemerintahan Firaun Dinasti ke-12 buat pertama kali dibuka kepada pelawat. Majlis pembukaannya dirasmikan oleh Menteri Antikuiti Mesir Khaled Al-Anany pada minggu lalu
Dikenali sebagai Piramid El-Lahun, makam diraja itu wujud antara tahun 1897 sebelum masehi sehingga 1878, terletak di kawasan Faizal, 100 km dari barat daya ibu kota Kaherah.
Piramid itu dibina daripada bata tanah liat dan teras bongkah batu, panjang 106 meter dengan cerunnya kira-kira 42 darjah dan ketinggian 48.65 meter. Kaedah yang digunakan untuk membina piramid itu bertujuan bagi memastikan ia kekal kukuh.
Uniknya Piramid Senusret II, kebiasaannya pintu masuk piramid sering berada di bahagian utara berdasarkan kepercayaan kuno Mesir namun, pintu piramid ini terletak di sebelah selatan. Bagaimanapun, alasan bagaimana pintu masuk piramid Senusret II ditemui di bahagian selatan masih tidak diketahui, katanya.
Menurut setiausaha agung Majlis Tertinggi Antikuiti, Mostafa Waziri, piramid ditemui pada 1889 oleh ahli arkeologi British William Petrie. Kerja membaik pulih piramid dan kawasan sekitarnya bermula Ogos 2018.
Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pulau-Pulau Di Terengganu Dah Boleh Masuk. Jom la Perhentian Ke Redang Ke!
Setiap kali musim tengkujuh, pulau-pulau yang berada di sebelah pantai timur selalunya akan terkena tempias dengan cuaca yang kurang berapa baik dan tidak selamat untuk dikunjungi.
Disebabkan musim ini tidak dapat dijangka, maka pengusaha-pengusaha yang mengendalikan kemudahan penginapan atau pengangkutan di pulau-pulau sekitar Terengganu sepakat untuk menutup operasi selama 4 bulan sehingga keadaan terkawal berikutan musim tengkujuh
Bermula minggu lalu orang ramai yang ingin bercuti di pulau peranginan di Terengganu kini boleh merancang percutian mereka kerana pulau terbabit kembali dibuka kepada pelancong.
Walaupun cuaca dan keadaan ombak dilihat baik sejak bulan lalu, pengusaha resort dikatakan tidak terburu-buru untuk memulakan operasi. Mereka memanfaatkan tempoh penutupan pulau untuk membaik pulih infrastruktur di lokasi masing-masing.
Berdasarkan pengalaman lalu, ada beberapa pengusaha resort terpaksa menyediakan penginapan dan makan minum tambahan kepada pelancong yang terkandas di pulau akibat keadaan cuaca dan gelora ombak besar apabila resort dibuka awal sekitar Februari. Disebabkan itu, pengusaha resort menangguhkan operasi daripada Februari kepada bulan Mac bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelancong terjamin.
Bagaimanapun, pengusaha resort dan penginapan juga diingatkan supaya sentiasa peka dan mengemaskini keadaan cuaca semasa dengan Jabatan Laut bagi memastikan operasi mereka berjalan lancar.
Sumber: hmetro
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tahukah Nama Asal Selangor Ialah Se-Langau! Jom Jengah Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor
Namun tanpa sejarah juga kita tidak akan tahu asal usul sejarah bangsa. Di negeri Selangor, penuh kisah yang menarik untuk kita teroka khususnya Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor yang mana ia mengumpul sejarah mengenai negeri termaju di Malaysia ini.
Jom jengah Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor yang turut banyak menyimpan artifak lama serta sejarah negeri Selangor itu sendiri.
Muzium bersejarah ini terletak 53km dari Bandaraya Shah Alam dan lebih kurang 40km dari Bandar DiRaja, Klang. Bangunan muzium ini merupakan sebuah bangunan lama yang asalnya merupakan kediaman Rasmi Pegawai Daerah Kuala Selangor. Menyedari pentingnya sejarah Kuala Selangor untuk dikongsi bersama masyarakat, Lembaga Muzium Selangor mengambil inisiatif bersama kerajaan negeri untuk menubuhkan Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor di Bukit Malawati kepada umum.
Muzium ini menghimpunkan segala pensejarahan berhubung Kuala Selangor sebagai pusat pentadbiran Negeri Selangor terawal selain meyaksikan bermulanya Institusi Kesultanan Selangor yang diasaskan oleh Raja Lumu (Sultan Salehuddin) pada tahun 1766. Pameran di muzium ini yang berkonsepkan ‘mesra pengguna’ menyediakan tujuh seksyen yang menerangkan secara kronologi Sejarah Daerah Kuala Selangor. Teknik pameran yang interaktif dengan penggunaan info kiosk, diorama dan audio visual akan membantu para pengunjung memahami pameran dengan lebih mudah dan berkesan.
KUALA SELANGOR BANDAR BERSEJARAH
ASAL USUL NAMA KUALA SELANGOR
Antara cerita yang mengaitkan nama Selangor adalah daripada sejenis binatang yang digelar ‘langau’. Seorang pahlawan yang sedang dalam perjalanan ke utara tewas oleh seekor langau yang menganggunya ketika berehat di tebing sungai. Akhirnya pahlawan tersebut telah meneroka kawasan tersebut dan dijadikan penempatan yang diberi nama Se-Langau dan akhirnya menjadi Selangor.
Kononnya juga nama Selangor berasal dari pokok Mentangau yang banyak terdapat di kawasan pinggir sungai. Pohonnya besar dan rimbun dan boleh dilihat dari laut. Ada di antara pedagang mengatakan ‘aku singgah di Kuala Sungai Mentangau’ seterusnya berkembang kepada Kuala Selangau dan akhirnya menjadi Kuala Selangor. Pendapat lain ada menyatakan Selangor berasal dari perkataan ‘salang’ dan ‘jemur’. Dikatakan Kuala Selangor menjadi tempat penyeksaan para penderhaka dengan cara disalang dan dijemur sehingga mati. Dua perkataan salang dan jemur dicantumkan menjadi ‘selangur’.
Kota Bukit Selangor atau Kota Malawati
Kota ini dibina dengan batu pejal yang tersusun rapat dan diletakkan beberapa pucuk meriam Pokok Jati dan Sena ditanam selang 10 kaki untuk mengelakkannya runtuh. Semasa Belanda menduduki Kuala Selangor kota ini diubah suai dengan menambah beberapa pucuk meriam dan dinamakan Fort Altingburg. Mempunyai keluasan kira-kira 500 x 300 ela persegi. Mengandungi 3 tingkat iaitu:
Paling tinggi merupakan tapak istana (sekarang Rumah kediaman Pegawai Daerah )
Tingkat kedua merupakan Balai DiRaja (semasa penjajahan British dijadikan gelanggang tenis)
Tanah lapang dan rata sebagai tempat perhimpunan tentera.Kota ini dibina di zaman pemerintahan Sultan Ibrahim untuk mempertahankan diri dari serangan musuh khususnya
Belanda Batu Hampar
Terletak di halaman Istana Sultan di suatu kawasan tanah lapang sambil menuruni tiga mata anak tangga menghala ke matahari terbit terdapat seketul batu pejal empat persegi 5x5x11 kaki padu. Batu ini beralaskan longgokan tanah pasir sebagai kakinya. Batu ini dinamakan batu hampar dan setengahnya menamakan sebagai batu pemancung.
Busut Malawati
Kira-kira 120 meter dari batu hampar, arah ke timur lagi sambil menuruni beberapa anak tangga, jika mengarah pandangan ke hadapan akan tertumpu pemandangan ke sebuah busut di bina dari tanah seluas 20X20 kaki persegi dan tingginya melebihi 15 kaki. Pembinaannya sezaman dengan pemerintahan Sultan Ibrahim. Ada 2 tujuan dibina iaitu sebagai tempat sultan berehat-rehat dengan raja-raja dari negeri lain yang datang melawat ke Kuala Selangor sambil menyaksikan laga ayam dan sebagai gedung menyimpan harta-harta kerajaan pada masa itu.
Makam Diraja
Terdiri daripada sebuah bangunan kira-kira 40 x 30 kaki persegi. Di sinilah bersemadinya tiga pusara Almarhum Sultan Selangor yang awal iaitu: Al Marhum Sultan Salehuddin, Al Marhum Sultan Ibrahim dan Al Marhum Sultan Muhammad.
Telaga Tujuh
Ada pendapat mengatakan dahulu di sini wujudnya tujuh buah telaga. Pendapat lain mengatakan bukannya tujuh buah telaga tetapi tujuh pancutan mata airnya ada dalam sebuah telaga. Air di telaga ini dikatakan tidak pernah kering walaupun di musim kemarau dan tidak pernah susut walaupun beribu gelen air dikeluarkan dari perutnya.
Tangga Seratus
Tangga yang disusun dengan batu-batu pejal sebanyak seratus keping hinggalah bertemu ke penjuru Busut Malawati. Tangga ini digunakan oleh pedagang untuk ke istana Sultan di Bukit Selangor setelah menambat perahu, sampan dan bahtera mereka di Pangkalan Batu Buruk .
Kota Bukit Tanjung
Kota ini sebahagian besarnya dibina daripada tanah. Puncak Bukit Tanjung ditebuk sedalam 10 kaki sementara di sekelilingnya tanah setebal 8 kaki. Di atas tembok tersebut ditanam pepohon besar dan beberapa pucuk meriam.
Keramat Anak Dara
Keramat Anak Dara atau Keramat Rubiah Terletak di hujung jalan ke Tanjung Keramat kira-kira sebatu dari bandar Kuala Selangor. Berada di atas bukit keramat setinggi 100 kaki dari aras laut di pinggir Tasik Shina.
Rumah Api Kota Malawati
Rumah Api Kota Malawati dibina pada tahun 1907 oleh penjajah British. Tingginya 83 kaki dari dasar laut dan 27 kaki dari darat rumah api ini mempunyai tiga bahagian iaitu bawah, tengah dan atas.
Bukit Raja
Bukit Raja merupakan Kubu Pertahanan Raja Muda Nala Ibni Almarhum Sultan Salehuddin (1784-1795) sewaktu terjadinya peperangan pada tahun 1785 untuk menawan semula Bukit Malawati dari pihak Belanda. Peperangan tersebut berkesudahan dengan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Salehuddin dan pengikutnya dari dari negeri Selangor dan Pahang berjaya menawan semula Bukit Malawati dari pihak Belanda. Di bukit ini juga terdapat beberapa makam yang dipercayai makam kerabat DiRaja Negeri Selangor.
Untuk keterangan lanjut, boleh ke :-
MUZIUM SEJARAH DAERAH KUALA SELANGOR
No 1, Puncak Bukit Malawati,
45000 Kuala Selangor.
SELANGOR DARUL EHSAN.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bercuti Ke Jepun Tanpa Pemandu Pelancong Mulai 7 September, Had Harian Pelawat Dinaikkan Kepada 50 Ribu Sehari!
Kalau ada yang rindu untuk bercuti ke negara matahari terbit, dah boleh mula merancang kerana kerajaan Jepun sudah mula melonggarkan kawalan sempadan untuk pelawat asing masuk ke negara mereka bermula 7 September ini.
Menurut laporan portal Mediacorp Singapura, Pelawat asing boleh mengunjungi Jepun mulai esok mengikut pakej lawatan tanpa diiringi pemandu pelancong.
Mulai 7 September, Jepun juga menaikkan had harian jumlah pelawat yang dibenarkan memasuki negara itu kepada 50,000.
Jepun telah melaksanakan sekatan sempadan yang ketat lebih lama berbanding negara lain, dan hanya pada Jun, negara itu mula membenarkan pelawat asing memasuki Jepun dengan syarat mereka mengikut pakej lawatan dan diiringi pemandu pelancong.
“Sedang pertukaran antarabangsa menjadi semakin aktif di seluruh dunia, Jepun akan turut serta dalam pergerakan ini – juga dari sudut pandangan untuk memanfaatkan yen yang murah,” kata Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida pada Rabu lalu.
“Mulai 7 September juga, kami akan membenarkan pelawat dari semua negara untuk memasuki Jepun mengikut pakej lawatan tanpa pemandu pelancong, dan kami akan terus memastikan prosedur pelepasan di lapangan terbang berjalan dengan lebih lancar,” tambah Kishida.
Namun, langkah-langkah itu tidak bererti pembukaan semula negara tersebut sepenuhnya dan pelawat masih dikehendaki membuat tempahan bagi lawatan mereka menerusi ejen dan mendapatkan visa.
Penyiar awam NHK dan media tempatan lain turut melaporkan bahawa pelawat asing perlu mematuhi garis panduan pengasingan diri jika diuji positif COVID-19 di Jepun.
Kishida berkata beliau berharap untuk melonggarkan lagi sekatan sempadan, dengan para pegawai industri berminat untuk melihat pelaksanaan semula program yang membenarkan pelawat dari kebanyakan negara dunia untuk melawat tanpa visa.
Negara tersebut tidak pernah mengenakan perintah berkurung yang ketat, dan ia mencatatkan sekitar 39,000 kematian disebabkan COVID-19 – lebih rendah berbanding banyak lagi negara.
Kredit: berita.mediacorp.sg
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI