Pasar harian, pasar malam atau bazar merupakan aktiviti kegemaran rakyat Malaysia lakukan untuk membeli-belah.
Disebabkan pandemik COVID-19, semua aktiviti ini perlu dihentikan seketika. Terkini, kerajaan sudah memberi kebenaran peniagaan ini kembali beroprasi. Beberapa negeri, antaranya Johor, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan turut mengambil langkah yang sama memberi kebenaran berniaga dan orang ramai kembali berkunjung ke tapak pasar tersebut beroperasi secara berperingkat mengikut SOP yang ditetapkan. Namun tidak bagi penduduk negeri Perlis dan Johor buat masa ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan semua pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi bermula 15 Jun 2020, tertakluk kepada SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Perlis
Majlis Perbandaran Kangar menangguhkan kebenaran operasi pasar malam dan pasar sehari di seluruh negeri Perlis sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan kemudian. Ia selaras dengan keperluan bagi memastikan penganjuran aktiviti itu dapat dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Majlis Perbandaran Kangar sedang memperhalusi kaedah penganjuran aktiviti penjajaan pasar malam dan pasar sehari yang dapat menepati SOP itu.
Sebagai alternatif, Majlis Perbandaran Kangar sedang merancang untuk menganjurkan Bazar Penjaja Terkawal (BPT) di lokasi-lokasi terpilih, dan perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Johor
Semua bazar di 16 kawasan pihak berkuasa tempatan Johor tidak akan dibuka buat masa ini meskipun pasar pagi dan pasar malam dibenarkan beroperasi mulai 15 Jun. Kesemua PBT bersetuju untuk tidak membuka bazar seperti Pasar Karat Johor Bahru sehingga tempoh dimaklumkan kelak. Tindakan ini diambil kerana penganjuran bazar dilihat merupakan acara himpunan awam, mempunyai kunjungan orang ramai yang lebih tinggi dan melibatkan ramai peniaga. PBT mahu menilai dahulu tahap kawalan dan pelaksanaan semua pasar pagi dan pasar malam sebelum membuat keputusan membuka bazar.