Agoda dengan AirAsia.com, mesti ramai yang tahu kan? Ada pakej menarik bakal ditawarkan untuk yang suka bercuti tau..
AirAsia.com, platform e-dagang pelancongan dan gaya hidup berkembang pesat di ASEAN dan Agoda, platform pelancongan digital terkemuka dunia mengumumkan perkongsian strategik bagi merancakkan aktiviti pelancongan di Asia Tenggara dan mengukuhkan tawaran aplikasi Super AirAsia.
Inisiatif daripada kerjasama itu merangkumi perjalanan, keistimewaan keahlian serta pemasaran produk secara bersama-sama. Pelanggan AirAsia.com kini boleh menikmati pelbagai tawaran melibatkan lebih 600,000 hartanah Agoda beserta harga tambang AirAsia yang lebih bernilai dengan tempahan menerusi SNAP. Ia bakal menawarkan pakej penerbangan dan hotel dengan jaminan harga terbaik.
Perkongsian itu yang melibatkan penyedia perkhidmatan pelancongan dalam talian yang utama di rantau ini, akan memanfaatkan kekuatan bersinergi bagi kedua-dua platform digital berkenaan. Menerusi perkongsian inventori penerbangan dan hotel, pelancong akan mendapat akses pilihan kepada pelbagai produk yang lebih meluas, menikmati kemudahan dan manfaat nilai yang lebih tinggi.
Perkongsian dengan Agoda adalah sebahagian daripada strategi kumpulan itu untuk merancakkan kembali pelancongan dengan jangkaan pembukaan semula sempadan di Asia Tenggara dalam masa terdekat.