Selain dikenali sebagai sebuah negeri pelancongan, Melaka juga terkenal dengan masyarakat pelbagai kaum yang tinggal serumpun tetapi mengamalkan budaya dan adat masing-masing dalam suasana harmoni.
Kewujudan bangsa Melayu yang menjadi teras kepada komuniti lain termasuk peranakan Cina atau lebih dikenali dengan panggilan Baba Nyonya, Ceti dan Portugis melihatkan perkongsian pelbagai pengaruh dan budaya masyarakat Portugis, Belanda dan Inggeris. Mengenai masyarakat Portugis, satu-satunya tempat yang paling ramai bilangan masyarakat ini pastinya Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka
Tidak sukar untuk menjejaki Perkampungan Portugis di Ujung Pasir, satu daripada tarikan bagi para pengunjung ke negeri Melaka bersejarah. Mudah untuk mengecam komuniti Portugis ini, wajah mereka seperti orang Melayu. Cuma raut wajah boleh nampak mereka itu adalah individu daripada perkahwinan campur.
Perkampungan yang terletak di persisiran Selat Melaka ini dikatakan wujud sejak lebih 500 tahun lalu. Sehingga kini, penduduknya dianggarkan seramai 1200 hingga 2000 orang termasuk sebahagian kecil yang tinggal di beberapa kawasan lain di Melaka.
Antara kawasan lain di Melaka yang menjadi penempatan kecil masyarakat yang terkenal dengan lagu Jingli Nona ini ialah di Tengkera, Kubu, Lorong Pantai dan Banda Hilir.
Namun, Perkampungan Portugis dikatakan merupakan satu-satunya penempatan masyarakat Serani terbesar di negara ini. Selain budayanya, masakan tradisional masyarakat ini juga menjadi satu daripada tarikan pelancong ke Melaka.
Harmoni
Komuniti ini terjadi setelah mereka berkahwin dengan semua bangsa yang terdapat di negara ini seperti Melayu, Cina, India, Serani, dan juga bangsa asing. Atas sebab perkahwinan campur itu juga, komuniti ini sangat menjaga sensitiviti dan sentimen semua kaum.
Mereka sangat mementingkan erti toleransi beragama dan batas dalam menerima kaum lain dalam kalangan keluarga masing-masing. Secara amnya komuniti Portugis bertutur tiga bahasa, iaitu bahasa Portugis lama yang dipanggil ‘Kristang’, Bahasa Melayu dan Inggeris.
Justeru, tidak hairanlah, mengapa lokasi ini dipilih untuk menjadi tempat bagi sambutan Rumah Terbuka Krismas Peringkat Kebangsaan beberapa tahun. Perkampungan ini sering menjadi tumpuan pelancong termasuk dari luar negara bagi melihat keunikan budaya hidup keturunan Eropah mengamalkan kehidupan tempatan ini.
Sejarah
Menyingkap sejarah Perkampungan Portugis, ia dikatakan bermula sebagai sebuah kampung nelayan yang kemudiannya berkembang menjadi penempatan penduduk yang besar sehingga ke hari ini. Dari segi budaya, cara hidup masyarakat Portugis tidak banyak bezanya dengan masyarakat lain di Malaysia kerana nenek moyang mereka juga berkahwin dengan orang tempatan.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI