Perjalanan Ke Ranu Kumbolo Bukan Mudah, Namun Sangat Berbaloi

Share

Pernah dengar tentang Ranu Kumbolo? Jika anda seorang pendaki tegar pasti anda tahu tentang Gunung Semeru yang terletak di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur, Indonesia. Ranu Kumbolo menjadi bualan ramai pendaki yang dalam perjalanan ke puncak Semeru, mahupun di kalangan mereka yang gemarkan aktiviti lasak.

Jadi untuk berkenalan dengan Ranu yang membawa maksud tasik atau danau ini, ia memerlukan perancangan bijak. Bukan main redah sahaja kerana perjalanan ke Ranu Kumbolo sangat menguji ketahanan mental dan fizikal. Tak kiralah sama ada kaki gim atau sebaliknya, kalau persiapan tidak kena cara, pasti mengundang insiden tidak diduga. Terletak di ketinggian 2400 meter daripada paras laut, perjalanan ke Ranu Kumbolo mengambil masa kira-kira lima jam waktu trekking.

Sejujurnya, perjalanan menuju ke Ranu Kumbolo bukanlah perjalanan yang mudah, namun berbaloi kerana kanvas alam yang menanti memukau pancaindera. Sukar dilafazkan dengan kata-kata. Cukup indah ditambah suasana hening yang mendamaikan fikiran. Satu perkara yang diidamkan oleh setiap pendaki apabila menjejak kaki sini ialah menyaksikan keindahan mentari di saat ia menyapa pagi.

Biarpun badan terasa penat, otot-otot mula sakit-sakit, jangan sesekali lepaskan saat-saat indah ini.  Pengalaman menyaksikan sang mentari terbit dari balik dua bukit di pinggiran tasik, pasti sukar dilupuskan daripada ingatan. Biarpun cuaca sejuk mencengkam tubuh badan, namun cetusan rasa kepuasan mengatasi segalanya. Indah bumi ciptaan tuhan!

Teruja sepanjang perjalanan ke Ranu Kumbolo

Keterujaan ke lokasi perkhemahan ini sebenarnya bermula seawal perjalanan, iaitu ketika menaiki jip untuk ke Ranu Pani, pos pendaftaran dan gerbang ke Taman Nasional Bromo Tengger Semeru. Sebelum memulakan pendakian, anda perlu mendengar taklimat keselamatan terlebih dahulu. Seronok mendengar kisah-kisah yang dikongsi oleh renjer hutan. Banyak juga info berguna untuk dijadikan panduan.

Dari pos Ranu Pani ini anda perlu berjalan kaki sejauh lima sampai tujuh kilometer menyusuri lereng bukit yang ditumbuhi dengan Bunga Edelweis. Kemudian anda akan tiba di Watu Rejeng. Dari sini anda sudah boleh melihat pemandangan lembah dan bukit yang ditumbuhi pohon cemara dan pines.

Semakin tinggi pendakian, semakin sejuk cuaca, jadi pakai pakaian yang sesuai jika tidak mahu menggigil kesejukan. Sepanjang perjalanan, terdapat empat pos rehat yang membolehkan anda melepaskan lelah. Ada gerai-gerai kecil yang menjual minuman, buah-buahan, makanan ringan dan juga madu. 

Setibanya di Ranu Kumbolo, carilah tempat atau tapak yang dirasakan ideal untuk mendirikan khemah. Kalau gunakan khidmat porter, tak perlu susah-payah sebab mereka yang akan lakukan semua. Sambil menunggu, bolehlah melihat ribuan bintang menghiasi langit.

 Selamat bereksplorasi!

Oleh: Putri Adila

Oleh
Husna