Sistem air ini dibina oleh British, kemungkinan sekitar 100 tahun dahulu. Ia jelas dilihat dari jenis batu dan rekaannya. Binaan ini untuk menyokong perlombongan industri tin waktu itu dan mengawal banjir yang mudah berlaku di Serendah.
Video pendek Perigi Tujuh Serendah
Serendah mendapat nama kerana kawasan ini ialah lembah rendah yang dikelilingi kawasan bukit tinggi dan Sungai Serendah yang mengalir di tengah kerap melimpah keluar serta membanjiri kawasan di sini terutamanya selepas hujan.
Biasanya selepas hujan, jumlah air menjadi banyak. Perigi tujuh ini bertujuan mengawal jumlah air mengalir. Pada hari biasa, mungkin 1-2 perigi sahaja yang akan dilalui air, telaga lain pula mungkin tidak. Namun apabila jumlah air banyak, semua telaga akan menyalurkan air keluar.
Air yang jatuh ke bawah tanah ini disalur lebih kurang 5 meter ke bawah seterusnya melalui lorong pintu dan ke kolam sebelum mengalir semula seperti biasa.
Kawasan ini dilarang mandi dikhuatiri tersedut masuk ke dalam lubang pergi. Di sebelah bawah, kolam akan menjadi dalam apabila jumlah air banyak. Waktu ini memang bahaya bagi orang ramai.
Kawasan ini diselia oleh Jabatan Pengairan & Saliran Daerah Hulu Selangor. Kawasan ini terbuka untuk orang awam datang berkunjung dan tidak dikenakan sebarang bayaran untuk masuk. Sesuai bagi mereka yang sukakan alam semulajadi dan mungkin kaki pancing.
Selain Perigi Tujuh, satu lagi lokasi berhampiran untuk dikunjungi adalah Air Terjun Serendah yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kampung Dato’ Harun. Anda mungkin juga mahu ke Sekeping Serendah dan bermalam disitu.