Berada di muzium mampu memberi perspektif berbeza ketika mengembara.Di sebalik perubahan dimensi tamadun masyarakat, pengalaman silam menjadi teladan dan tidak boleh dilupuskan begitu saja kerana ia penting untuk diingati terutama sebagai pengajaran dan pembelajaran khususnya pada generasi muda.
Alang-alang bercuti di pantai peranginan Port Dickson, jangan lepaskan peluang untuk ke Muzium Luku yang memaparkan informasi menarik berkenaan Kota Lukut dan sejarah penceritaan era perlombongan bijih timah di negara ini. Muzium Lukut memaparkan sejarah Lukut bermula daripada awal kurun ke-19 Masihi hinggalah Lukut dimasukkan ke dalam Daerah Sungai Ujung pada 1880.
- Terdapat empat galeri utama di sini iaitu Galeri Sejarah Lukut, Galeri Nassau, Galeri Negeri Sembilan Negeri Beradat dan Galeri Teknologi Pembuatan Masyarakat Tradisional.Pelbagai koleksi dan bahan pameran yang berkaitan dengan sejarah kegemilangan Lukut dijelmakan kembali dalam bentuk ilustrasi, gambar, artifak dan sebagainya tatapan pengunjung.
- Muzium ini menyimpan 200 artifak antaranya koleksi barangan peribadi Raja Juma’at dan peralatan senjata digunakan pada awal kurun ke-19 Masihi selain galeri yang mempunyai beberapa segmen yang memaparkan sejarah Lukut dan kebudayaan Negeri Sembilan.
- Pengunjung yang datang ke Muzium Lukut akan didedahkan dengan sejarah Kota Lukut yang pernah mencapai zaman kegemilangannya bermula daripada pemerintahan Raja Juma’at Bin Raja Jaafar (1847-1864). Kota Lukut telah dibina oleh Raja Jumaat bin Raja Jaafar kira-kira pada tahun 1847 terletak di atas bukit yang bernama Bukit Gajah Mati atau disebut Bukit Raja. Kota ini berbentuk empat segi dan dikelilingi parit dan parit ini dipasang ranjau (benda tajam) untuk menghalang musuh daripada menyerang kota tersebut.
- Pemimpin Terbilang – Raja Juma’at merupakan seorang putera Bugis yang menjadikan Lukut pusat perdagangan yang berjaya pada masa pemerintahannya. Tetapi orang pertama yang buka Lukut adalah Raja Busu, salah seorang kerabat Diraja di Selangor, dan diakhiri pemerintahan pada zaman Raja Bot, anak kepada Raja Juma’at, yang gagal meneruskan pemerintahan ayahandanya. Setelah kematian Raja Juma’at, termeterainya Perjanjian Persempadanan Selangor-Sungai Ujong pada 31 Julai 1880, menandakan berakhirnya era pemerintahan Raja di Lukut.
- Perigi Beracun – Pengunjung juga boleh melawat tapak tinggalan sejarah Kota Lukut berhampiran dengan muzium yang dibina pada 1840-an dengan ukuran 607 kaki panjang, 505 kaki lebar dengan parit di sekitar sedalam 15 kaki, di dalamnya didirikan sebuah istana dan dua buah perigi. Sebuah di bahagian luar dikenali sebagai Perigi Beracun. Perigi Beracun digunakan untuk menghukum pesalah berat dan juga Perigi Raja di tengah-tengah kota Lukut khusus untuk raja dan permaisuri sahaja.
Pastinya sejarah kegemilangan Lukut akan terus diingati dan dikenang dalam sejarah negara. Ia dibuka pada 1999 dan dibina sebagai satu tanggungjawab menyebarkan maklumat sejarah serta budaya di Negeri Sembilan sebagai tatapan masyarakat tempatan, pelajar, penyelidik sejarah dan pelancong asing.
Jom cuti-cuti Malaysia
image via google