Perhentian Kecil Hanya Untuk Si Bujang? No! No! Ini Tip Bawa Keluarga Bercuti Sambil ‘Bermimpi’ Di Perhentian Kecil

Share

Waktu yang ideal untuk kembali masuk ke pulau-pulau sekitar Terengganu adalah dari bulan Mac hingga Oktober setiap tahun. Pulau-pulau disekitar Terengganu boleh dilabelkan antara yang paling indah dan menarik di negara ini. Apa lagi, anda boleh mula merancang awal untuk ke pulau-pulau sekitar Terengganu ini dengan segera.

Terletak 21 km dari pesisir pantai Terengganu anda boleh memilih untuk bercuti ke Pulau Perhentian yang terbahagi kepada dua bahagaian pulau iaitu Perhentian Kecil dan Perhentian Besar. Perhentian Kecil lebih digemari oleh ‘orang bujang’ kerana lokasinya yang lebih seronok untuk berhibur. Tetapi jika anda ingin membawa keluarga bercuti di Perhentian Kecil, tidak menjadi satu masalah. Ini perkongsian daripada Azwandi Kamarudin yang membawa keluarganya menginap di Perhentian Kecil.

Meh saya ceritakan sedikit pengalaman ke Pulau Perhentian selepas PKP/B berakhir ni.

JETI KUALA BESUT
Pulau Perhentian terletak di Kuala Besut, Terengganu yang bersempadan dengan Pasir Puteh, Kelantan. Nak ke Jeti Kuala Besut, boleh naik flight ke Kota Bharu. Dari Airport KB, boleh ambil teksi/grab ke Jeti Kuala Besut. 1 jam perjalanan sahaja. Untuk trip kali ini, saya bersama keluarga bergerak dari kampung halaman saya di Pengkalan Kubor menuju ke Jeti Kuala Besut selama 1jam setengah. Negara dunia dah jejak, Perhentian yang dekat tu juga belum pernah pergi. Akhirnya…

BOAT TRANSFER
Setakat yang saya cari, harga biasa boat transfer untuk pergi balik ialah RM70/orang. Kalau ramai, mungkin boleh dapat RM60/orang. Beberapa hari lepas saya ada terbaca kisah seorang akak ni dapat harga RM50/orang boat transfer. Terus saya guna servis speedboat ni yang diuruskan oleh Awatif Cafe.
Waktu operasi bot yang diuruskan Awatif Cafe seperti berikut ;

  • Pergi : Bila-bila masa bermula jam 9am hingga 3.30pm.
  • Balik : Hanya tiga masa yang telah ditetapkan sahaja iaitu jam 8am, 12pm dan 4pm.
  • Deposit : RM20/orang dibayar sebelum tarikh pergi.
  • Perjalanan mengambil masa 30-45minit.

Tips tambahan :

  • Untuk anak muda yang berjiwa kental, tak ada masalah untuk naik speedboat. Kalau untuk orang tua, kena berhati-hati juga sebab kelajuan speedboat ni boleh tahan. Tercabut pinggang.
  • Kalau takut dengan hempasan bot, sila duduk dekat dengan pemandu bot. Kalau duduk di hujung bot, boleh sakit pinggang terutamanya untuk orang-orang tua. Lambungan botnya macam naik spaceshot.

PENGINAPAN
Pulau Perhentian ni terbahagi kepada dua, Perhentian Kecil dan Perhentian Besar. Kebiasaannya, Perhentian Besar sangat sesuai untuk famili kerana lebih tenang manakala Perhentian Kecil untuk muda-mudi. Untuk trip kali ini, saya datang dengan famili tetapi memandangkan pelancong tak ramai musim Covid19 ni, saya memilih untuk menginap di Perhentian Kecil. Di Perhentian Kecil pula, ada beberapa kawasan penginapan. Anda boleh pilih nak menginap di Long Beach atau Coral Bay. Kami sekeluarga memilih untuk menginap di Mimpi Perhentian Resort, Long Beach.

Kenapa?

  • Resort ini baru dibuka.
  • Lokasinya paling dekat dengan jeti Long Beach.
  • Family friendly.
  • Kemudahan yang lengkap dengan kolam renang.
  • Ada bilik mengadap laut.
  • Bilik berhawa dingin.

Mahal? Ya, agak mahal. Menurut pekerja di resort tersebut, resort ini kebiasaannya pilihan pelancong asing. Harganya boleh mencecah ribuan ringgit. Tetapi impak Covid19, resort ini ditutup kepada pengunjung sejak PKP dan resort memberikan harga promo kepada tetamunya. Kesemua bilik berhawa dingin dan ada dua pilihan bilik iaitu Ocean View atau Hill View. Semestinya kadar bilik Ocean View lebih mahal. Ketika PKPP ini, tiada buffet breakfast disediakan tetapi resort akan meminta kita memilih menu pilihan yang telah disediakan.

MAKANAN
Di sepanjang Long Beach, terdapat banyak gerai makan dibuka. Harga mungkin dua kali ganda dari harga di tanah besar. Maklumlah, nak bawa semua bahan mentah ke pulau ini, bukannya senang. Saya ambil contoh, nasi goreng berharga dari RM10-RM20. Yang mahu menikmati bbq, kebanyakan gerai menyediakan bbq pada waktu malam.

AKTIVITI
Seperti kebiasaan pulau, pasti ada pakej snorkeling, island hopping dan sebagainya. Pulau Perhentian sangat terkenal dengan aktiviti menyelam. Memandangkan ini trip dengan famili untuk santai-santai sahaja, kami tak ambil pun pakej tersebut. Cukuplah dengan mandi laut di hadapan resort dan dapat melihat ikan yang sangat banyak berdekatan jeti.
Aktiviti lain yang kami lakukan:

  • TREKKING KE CORAL BAY – Mengambil masa dalam 15-20 minit ke Coral Bay untuk melihat sunset. Namun sayang, sewaktu kami pergi, awan tebal menutupi sang matahari.
  • HIKING KE KINCIR ANGIN – Untuk orang biasa macam kami, pendakian mengambil masa 20 minit. Hanya 5 minit pertama perlu lebih-lebih berhati-hati kerana sedikit curam. Namun pendakian seterusnya sangat mudah kerana sedikit landai. Pakailah kasut yang sesuai. Setibanya di sana, anda boleh melihat pemandangan yang sangat cantik dan perlu menuruni tangga besi. Tapi sayang, tempat yang boleh dijadikan tarikan pengunjung tidak diselenggara dengan baik dan boleh menyebabkan kemalangan. Isu keselamatan perlu dititikberatkan oleh pihak berwajib. Banyak tangga yang sudah berkarat dan tidak diganti. Namun, anda tidak perlu sampai ke tangga ini untuk menikmati kecantikan pulau. Cukuplah sampai ke kincir angin tersebut.
Oleh
Husna