Pergi Kajang Bukan Sekadar Makan Satay, Jom Explore Kajang Heritage Walk. Ini Tempat Menarik Korang Boleh Terjah, Nak OOTD Pun Onz!

Share

Bandar Kajang memang terkenal dengan sate, tapi selain itu Kajang juga sebenarnya destinasi yang kaya dengan warisan sejarah.

Telah wujud sejak lebih 150 tahun yang lalu, 4 lokasi yang ada di Kajang ini korang kena singgah. Bukan sahaja menceritakan tentang sejarah keberadaan tempat yang diberi nama Kajang ini, malah ia juga dapat mengembalikan nostalgia anda tentang warisan dan juga susur galur tempat ini.

Selain mendapatkan maklumat tentang sejarah Kajang, korang juga boleh berkunjung ke sini dan mengabadikan gambar kenang-kenangan, letak di Instagram atau Tiktok, mesti ramai yang teruja nak tahu di mana.

Ini empat tempat kat Kajang korang patut singgah, tempatnya menarik, kaya dengan warisan dan juga Onz untuk korang OOTD!

  1. Kajang Heritage Centre

Terletak bersebelahan Tokong Shen Sze She Yar, masuk sahaja ke sini seakan berada di zaman silam. Beberapa artifak dan barangan di Heritage Centre mempunyai penceritaan yang tersendiri.

Barang yang ada di sini kebanyakkan disumbangkan oleh orang ramai dan juga melalui simpanan peribadi pihak pengurusan Heritage Centre itu sendiri. Kalau sampai ke sini hujung minggu memang sesuai kerana ia dibuka pada hari Sabtu sahaja.

Sambil lihat barangan dan artifak yang dipaparkan, boleh korang bergambar kat sana. Memang syok!

  1. Tokong Shen Sze She Yar

Tokong yang telah dibina sejak tahun 1898 ini terletak di tengah-tengah Bandar Kajang dan menghadap Sungai Langat. Senibina asal masih dikekalkan di tokong ini yang pada asalnya terletak di Jalan Reko.

Tokong ini turut menyimpan beberapa khazanah lama dan artifak bersejarah yang berharga untuk tatapan umum. terletak tak jauh dari Kajang Heritage Centre, dah sampai sana jangan lupa untuk singgah di Tokong Shen Sze She Yar.

Loke Yew dan Kapitan Kwan Seng antara orang kenamaan yang menjadi penyumbang dalam pembinaan tokong ini.

  1. Satay Putera Kajang

Sebut nama Kajang mesti orang teringat Satay. Satay Putera Kajang merupakan salah satu kedai yang menawarkan pelanggan dengan satay yang berkualiti tinggi dimana daging-daging yang digunakan adalah daripada India dan Australia. Rempah yang digunakan sebagai bumbu juga dibuat sendiri dengan mengekalkan resepi warisan lama dan sedikit olahan tersendiri.

Bukan hanya menghidangkan satay, kedai ini juga turut menyediakan makanan tiga etnik iaitu, Melayu, Cina dan India. Lagi menarik, konsep yang ada dikedai ini sangat instagrammable. Lepas makan boleh bergambar banyak-banyak.

  1. Kedai Biskut Timbang

Terletak bersebelahan perhentian bas bandar Kajang, korang dulu selalu beli biskut mesti teruja nak masuk. Aneka pilihan biskut boleh korang beli kat sini. kalau nak tahu kedai di sini ada yang telah berusia 120 tahun dan diwarisi daripada nenek moyang pemilik yang terdahulu.

Tak perlu dekorasi yang fancy dan cantik, mengekalkan susun atur seperti kedai zaman dahulu, selain singgah untuk membeli, jangan lupa juga untuk abadikan kenangan dengan bergambar di sini. sangat menarik!

Selain empat lokasi ini, sebenarnya banyak lagi tempat menarik yang kaya dengan warisan dan sejarah yang korang boleh jejak. Antaranya adalah Pejabat Pos Kajang, Masjid Jamek Kajang dan banyak lagi.

Alang-alang dah ke Kajang nak makan satay, jangan lupa singgah ke tempat-tempat tadi ya, memang best dan menarik!

 

Oleh
SAHR