
Pulau Nami tidak kira musim apa sekalipun, pulau itu pasti dipenuhi dengan pelancong dari pelbagai negara dan tidak juga penduduk tempatan.
Pulau ini terkenal selepas menjadi lokasi penggambaran drama popular yang mencetuskan fenomena luar biasa dan menjadi perintis drama Korea diminati ramai di seluruh dunia iaitu Winter Sonata. Pastinya ramai akan berkunjung ke Nami Island, untuk melihat sendiri suasana lokasi penggambaran drama Winter Sonata lakonan Bae Yong Joon dan Choi Ji Woo pada tahun 1992 yang begitu cantik.
Pulau tersebut berkeluasan 430,000 meter persegi. Untuk ke Pulau Nami, pengunjung boleh menaiki subway dengan 17 perhentian dan kemudian menaiki feri. Jika dapat menjejakkan kaki di sini, pengunjung pasti bersetuju dengan cakap-cakap orang mengenai keindahannya. Memang benar, pulau itu sangat cantik sama seperti diperkatakan ramai.
Tidak hairanlah ada pelancong yang sanggup ke Pulau Nami sehingga empat kali untuk merasai pengalaman bersiar-siar di Pulau Nami pada empat musim yang berbeza. Apabila musim bunga, pengunjung bakal dijanjikan dengan keindahan bunga-bunga yang sedang berkembang, dan panoramanya sangat indah sekali.
Pada musim panas pula pengunjung berpeluang melihat keindahan pepohon yang menghijau yang pastinya dapat menggamit pandangan.
Pada musim luruh rasai suasana yang dingin dan romantis untuk dinikmati bersama yang tersayang.
Ketika musim sejuk pula, ketika itu keindahan pulau ini boleh dikatakan sama dengan babak-babak romantis yang ada dalam setiap drama romantis seperti Winter Sonata.
Ketika berjalan disekitar pulau ini jangan lupa untuk singgah di pasar Namdeamun yang menjual pelbagai barangan cenderahati, seluar jeans, baju sejuk, kasut dan beg yang menarik perhatian. Harga di pasar ini lebih murah dan kita juga boleh tawar menawar untuk mendapatkan harga lebih murah berbanding tempat lain.
Ramai beranggapan percutian ke Korea adalah mahal, namun jika membuat persediaan lebih awal boleh katakan Korea adalah destinasi bajet yang berbaloi buat mereka yang memasang impian ke negara ini. Yang pasti percutian di Korea menjanjikan pengalaman berharga, selain dapat menikmati suasana nyaman yang mengujakan sepanjang berada di negara itu.
Tip
Jangan lupa untuk singgah melawat istana lama, Gyeongbokgung yang menonjolkan sejarah lama Korea sebelum ke Pulau Nami. Di sini juga seringkali menjadi lokasi drama atau filem terkenal Korea.
Ada lima istana menarik di Seoul iaitu Gyeongbok, Changdeok, Changgyeong, Gyeonghui dan Deoksu. Namun, istana paling popular perlu kunjungi adalah Gyeonbok. Istana paling besar ini dibina pada 1395 dan menjadi istana utama Dinasti Joseon. Pengunjung pasti tertarik dengan keindahan corak dan seni bangunan istana lama yang dikunjungi ramai pelancong asing ini.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Pulau Cantik Di Sabah Wajib Korang Jejak Sekali Seumur Hidup, View Setanding Oversea!

Isi Kandungan
ToggleApabila waktu percutian sudah hampir pasti ramai antara kita tidak tahu dimanakah tempat yang menarik untuk kita bawa keluarga atau teman bercuti. Nak keluar ke luar negara tapi tidak mampu kerana kos yang tinggi dan banyak dokumen perlu lakukan seperti passport dan visa.
Apa kata cuba teroka dalam negara sendiri dahulu. Kali ini pihak Libur kongsikan 7 pulau yang menarik yang terdapat di Sabah tetapi terasa seperti luar negara apabila berada disitu. Jom lihat keindahan pulau-pulau ini. Jangan lupa simpan duit untuk melancong!
1. Pulau Kapalai, Semporna, Sabah
Pulau ini terletak lebih kurang 15 kilometer dari Pulau Sipadan dan ia amat terkenal bagi pengemar sukan Skuba dan Snorkeling. Pulau ini turut menjadi pilihan sebagai destinasi bulan madu bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.

2. Pulau Banggi, Kudat, Sabah
Pulau ini merupakan pulau terbesar di Malaysia dan ia lebih besar dari Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.

3. Pulau Bohey Dulang, Semporna, Sabah
Pulau ini dikenali sebagai Pulau Bohaydulong atau Pulau Bohidulong di mana jarak perjalanan dari bandar Semporna mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja dengan menaiki bot.

4. Pulau Mataking, Semporna, Sabah
Kalau lihat pada gambar seperti pulau di luar negara tetapi hakikatnya ia di Sabah! Pulau ini amat terkenal bagi pelancong yang melancong ke Sabah kerana ia tidak lengkap percutian kamu jika tidak datang ke pulau ini. Harus cuba!

5. Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah
Pulau ini terletak berhampiran dengan perairan Semporna, Kunak dan Lahad Datu. Saiz pulau ini lebih kurang sebesar Singapura. Pulau ini terkenal dengan airnya yang bersih (cyrstal clear).

6. Pulau Sibuan, Semporna, Sabah
Nama pulau ini sama seperti pulau yang terletak di Johor tetapi ia berbeza dari penghuni dan kawasan kelilingnya. Pulau ini diduduki oleh golongan etnik Bajau Laut. Pulau ini menjadi pilihan peminat diver kerana lautnya yang sesuai untuk aktiviti tersebut.
Pulau Timba Timba, Semporna, Sabah
Pulau ini ramai yang tidak tahu kerana jarang pelancong berkongsikan pulau ini. Jika kamu cari pada Google pasti kamu akan kecewa untuk melihat pulau ini. Tetapi nasib baik ada yang sudi berkongsi bersama Libur untuk melihat keindahan pulau ini.

Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jelajah Kota Melbourne, Banyak Aktiviti Menarik Nak Buat Kat Sini!

Pernah berkunjung ke Melbourne sebelum ini, memenuhi jemputan AirAsia X Rediscover Melbourne 2022 memberikan peluang kepada saya untuk sekali lagi menjejakkan kaki ke negara kangaroo ini. Jika sebelum ini saya ada berkongsi tentang tempat-tempat yang saya dan team media lain kunjungi, ini pula sambungan ke destinasi lain yang tak kurang hebatnya.
Baca: Melbourne Yang Penuh Mengujakan. Terbang Bercuti Bersama AirAsiaX & Visit Victoria
SARAPAN DAN KE QUEENSCLIFF
Hari kedua sudah mula, kami bersarapan di kafe berhadpan hotel. Cafe’Go menyajikan hidangan sarapan ‘mat saleh’ yang tidak asing bagi orang Malaysia. Laju sahaja masing-masing membuat pesanan.
Dan kerana kami akan memulakan perjalanan yang agak jauh jadi setelah bersarapan kami bergerak untuk menaiki cruise menuju Seorrento.
Queenscliff-Sorrento Feri
Perjalanan selama 35 minit untuk ke jeti Queenscliff dan perjalanan di atas cruise selama 90 minit kami gunakan untuk melihat pemandangan indah Victoria. masa selama 45 minit perjalanan feri dari Queenscliff ke Sorrento, katanya kalau bernasib baik boleh nampak ikan lumba-lumba. Namun semuanya bergantung kepada nasib kerana mereka merupakan habitat liar dan bukan dipelihara. Walau apa pun pengalaman menaiki feri sememangnya cukup menarik sambil menikmati pemandangan indah Port Philip Bay.
MENYUSURI MILLIONAIRE’S WALK
Turun dari Cruise kami dibawa ke Sorrento. Kawasan elit yang menempatkan rumah-rumah serba mewah menghadap laut yang terkenal dengan nama Millionnaire’s Walk. Menyusuri laluan ‘Millionnaire’s Walk’ melalui kawasan belakang rumah-rumah mewah yang indah sambil melepaskan pandangan ke laut lepas memang melekakan. Bunga-bunga liar yang menghiasi laluan menjadikan suasanan sangat indah.
ARTHURS SEAT EAGLE (GONDOLA RIDE)
Sorrento dan rumah mewah kami tinggalkan untuk ke Arthurs Seat Eagle, salah satu lokasi perlancongan wajib datang di Melbourne. Menaiki gondola berkonsep terbuka memang lain daripada yang lain. Dari ketinggian gondola bermula, kita akan dapat melihat pemandangan indah Mornington Peninsula dan Port Philip. Oh ya dari gondola juga kita boleh nampak sayup jauh di sana bandar Melbourne. Jika membawa keluarga dan anak-anak, pastinya pengalaman akan menjadi antara memori terindah buat mereka.
MEMANJA DIRI DI PENINSULA HOT SPRINGS
Hot Spring, Kolam air panas mungkin akan memberikan gambaran pertama yang biasa-biasa bagi orang kita. Tetapi segalanya amat berbeza di sini. Dalam cuaca yang sejuk 11’C, kami dibawa untuk memanjakan diri di Peninsula Hot Spring . Bukan kolam air panas biasa. Bagi saya ia sangat istimewa. Dengan lanskap yang indah, sangat berbaloi dikunjungi apa lagi kolam air panas ini telah memenangi anugerah ‘ Best Natural Hot Spring and Spa’ .
Menyediakan lebih 50 kemudahan dan pengalaman spa, anda boleh pilih kemudahan mandi dari kolam air panas, reflexology walk, Turkish hamam, dan kolam di atas bukit dengan pemandangan 360′ darjah Mornington Peninsula. Bukan itu sahaja, ada juga kemudahan seperti geothermal pool, ice cave, sauna, kafe, pentas untuk majlis-majlis rasmi dan wellness centre.
Apa yang boleh saya katakan kawasan ini menjanjikan pengalaman paling istimwa dan kerana itulah walau hujan turun renyai-renyai, kami tetap tidak mahu melepaskan peluang menikmati pengalaman mandi di kolam air panas dan masuk ke gua ais. Jika berpeluang, anda juga patut mencuba kerana bakal menjanjikan pengalaman yang sangat best!
Penisular Hot Spring kami tinggalkan untuk ke penginapan seterusnya. Rye Hotel yang mengetengahkan konsep suites yang mengeliling kolam menyediakan bilik yang sangat luas dan selesa apa lagi bila perlu duduk sendirian. Selesai mandi, kami bersiap lagi untuk makan malam. Kali ini kami dibawa ke Intercontinental, Soreento.
MAKAN MALAM DI DI THE ATRIUM
Masuk ke ruang dalam The Atrium at Intercontinental, Sorrento. yang serba mewah sememangnya sangat menarik. Hiasan dalam yang moden memberikan mood yang lebih segar dan mengujakan.
Kami terus ke meja yang telah disediakan. Memilih menu dan makan dengan penuh khusyuk. Maklum sahaja kalau lepas berendam, perut pastilah menjerit kelaparan. Semua makanan sedap dan saya memilih hidangan ikan salmon. Segar dan sedap sekali. Selesai makan malam kembali ke hotel untuk berehat.
Malam itu kami tidur cepat kerana awal pagi kami perlu bertolak ke Melbourne. Esoknya kami bersarapan di hotel. Segar selepas menghirup secawan kopi dan bersarapan ala-barat. Kami kemudian bergerak kembali ke Kota Melbourne.
Apa aktiviti dan lokasi kami seterusnya? Jangan lupa ikuti catatan siri ke-3 menampilkan keseronokan menjelajah kota Melbourne. Menyaksikan teater Harry Porter di Princess Theatre Melbourne. Juga menyusuri sepanjangan jalan-jalan yang dihiasi bangunan cantik sehinggalah ke lorong-lorong seni yang menampilkan lukisan hebat dan luahan rasa anak-anak seni sehingga menjadi antara lokasi street art terbaik di dunia.
Catatan: Ida Abd Aziz
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangan Pandang Sebelah Mata. Kecil-Kecil Perlis Penuh Dengan ‘Kejutan’

Isi Kandungan
ToggleTenang dan memiliki bentuk muka bumi istimewa menjadi faktor tarikan utama dalam kalangan pengunjung tempatan mahupun pelancong luar untuk menerokai Perlis. Jolokan ‘Negeri Permai Lagi Mempesona’ sememangnya sangat sesuai dengan negeri Perlis yang aman dan indah.
Perlis merupakan negeri terkecil di utara Semenanjung, sering menjadi persinggahan sementara untuk pelancong ke Pulau Langkawi ataupun memasuki negara jiran, Thailand. Pelbagai tarikan pelancongan di Perlis pastinya memberikan pengalaman hebat dan menyeronokkan. Berikut antara tarikan istimewa negeri mangga harumanis:
KAWASAN EKO PELANCONGAN
Perlis menyimpan khazanah hutan yang amat berharga. Kawasan hutan di Perlis menjadi satu-satunya negeri di Malaysia mempunyai spesies Pokok Bogak terbanyak untuk dinikmati pencinta alam. Hutan Simpanan Kekal, Mata Ayer dan Hutan Simpan Kekal Wang Mu merupakan hutan simpan tertua di negara ini dengan sebahagian besar Banjaran Nakawan terdiri daripada formasi batu kapur berusia kira-kira 500 juta tahun.
Gua Kelam merupakan satu daripada gua batu kapur tertua di Malaysia terletak di Kaki Bukit. Gua ini dahulunya terkenal dengan lombong bijih besi selain menjadi laluan antara penduduk Wang Kelian dengan Kaki Bukit. Sejarah perlombongan di sini dianggarkan berusia kira-kira 100 tahun yang lampau dan Gua Kelam dikatakan merupakan satu-satunya aktiviti perlombongan dalam gua yang dijalankan.
- Gua Kelam 1
Gua Kelam 1 atau dikenali sebagai Taman Rekreasi Gua Kelam terkenal dengan laluan di dalam gua melalui jambatan kayu tergantung. Panorama di dalam perut gua ini begitu indah dibantu dengan sorotan lampu berwarna-warni menemani pengunjung sepanjang perjalanan. Gua Kelam 1 boleh dikatakan sebagai ‘bintang’ di Perlis, jika tidak sampai ke sini, umpama anda belum jejakkan kaki di Perlis. Pada hujung minggu, lokasi ini agak meriah dengan kehadiran penduduk setempat yang gemar melakukan aktiviti perkelahan dan mandi air sungai yang mengalir dari gua ini.
- Gua Kelam 2
Kini terdapat tarikan terbaru di Gua Kelam 2, orang ramai diberi peluang untuk menyusuri laluan dalam terowong bekas kerja-kerja perlombongan sejauh kira-kira 3.8 meter. Jujur penulis kata kan ini merupakan satu pengalaman menarik yang sukar dilupakan. Laluan ke dalam Gua Kelam 2 diterangi dengan sedikit cahaya lampu jingga yang malap, namun disepanjang perjalanan masih kelihatan jelas kesan tapak aktiviti pemindahan bijih besi masa lampau. Hampir semua kesan peninggalan aktiviti perlombongan dapat dilihat dalam keadaan baik kerana barangan yang terdapat di situ tidak mengalami proses pereputan. Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai formasi batuan, stalaktit serta stalagmit dalam bermacam rupa dan bentuk.
- Stesen Penyelidikan FRIM Perlis
Stesen Penyelidikan FRIM Perlis merupakan pusat penyelidikan perhutanan jati, yang memiliki landskap sesuai menikmati panorama flora hutan dan beriadah. Terletak di Hutan Simpan Mata Ayer, FRIM Canopy Walk sepanjang 100 meter dengan ketinggian 17 meter pada aras laut merupakan tarikan utama pengunjung singgah ke sini. Dari aras ketinggian ini anda boleh menikmati kehijauan semula jadi hutan hujan tropika dan mengenali secara lebih dekat flora hutan. Jika bernasib baik, terdapat juga beberapa haiwan yang bermain-main berhampiran kawasan ini seperti monyet, tupai dan burung.
IKON KUALA PERLIS
- Masjid Al Hussain
Kuala Perlis dikenali sebagai satu daripada pintu masuk utama ke Pulau Langkawi. Destinasi ini sentiasa sesak dengan kunjungan ramai tidak kira masa. Terdapat sebuah masjid ikonik menjadi ikon Kuala Perlis iaitu Masjid Al Hussaini juga digelar ‘masjid terapung’. Masjid ini tersergam indah dengan pandangan struktur jambatan berukuran 50 meter yang berfungsi menghubungkan masjid utama dibina di atas perairan Selat Melaka. Dibina pada tahun 2006 masjid terapung ini mula beroperasi pada 8 Oktober 2011. Disekeliling masjid ini juga seringkali menjadi ‘port’ menarik untuk orang ramai bergambar sambil melihat view matahari terbenam.
- Jambatan Tuanku Syed Putra
Jambatan ini adalah jambatan yang menghubungkan dua kampung iaitu Kampung Seberang Tuk Pi dan Kampung Seberang Ramai. Pemandangan di atas jambatan ini sangat memukau.
Berhampiran dengan jambatan ini terdapat sebuah premis menjual produk tempatan dan luar. Antara barang yang wajib dibeli seperti belacan Perlis, ikan masin, ikan pekasam, dan kuah rojak dengan harga yang sangat berpatutan.
MAKAN-MAKAN
Di Perlis terdapat banyak destinasi makanan yang menarik menyajikan pelbagai jenis hidangan yang menggamit selera. Bukan sahaja warung dan kafe hipstur yang bercambah di sana sini menyediakan pilihan sajian tradisi juga moden malah restoran besar yang terdapat di sekitar negeri Perlis juga menghidangkan pilihan menu yang aneka rupa dan rasa.
- Restoran Kak Su Laksa Beras Asli & Segar
Perlis sendiri tidak ketinggalan untuk mempunyai resepi dan hidangan laksa negeri yang tersendiri. Dari jauh, aroma kuah laksa ikan sudah menusuk ke rongga hidung. Sebaik melangkah ke ruang dalam Restoran Kak Su Laksa Beras Asli & Segar, aromanya terus meningkatkan darjah nafsu yang mula membuak-buak. Fokus semakin terganggu apabila berterusan menghirup wangi aroma kuah laksa dan isinya. Restoran Kak Su Laksa sudah terkenal dan beroperasi di Kuala Perlis sejak tahun 2002 lagi. Istimewanya Laksa di sini dihasilkan dan diproses sendiri dari A ke Z bermula dengan menguli tepung untuk menghasilkan laksa hingga ke kuah.
Ada yang lebih istimewa, hidangan laksa ini dicadangkan untuk dimakan bersama kuih ‘spera’ dan pulut panggan. Terasa aneh pada awalnya, tetapi setelah mencuba pasti anda jatuh cinta!
- Restoran Asputra Seafood
Kuala Perlis sudah sinonim menjadi pilihan penduduk tempatan sebagai destinasi yang ideal untuk bersantai pada hujung minggu dek keadaan pantai yang nyaman. Selain dikenali sebagai tempat beriadah, ikan bakar dan makanan laut yang segar juga merupakan daya tarikan utama Kuala Perlis. Seperti menu lain, masakan berasaskan makanan laut mempunyai penggemar dan pengikutnya sendiri.
Oleh itu, semakin banyak restoran berkonsep santai yang menghidangkan menu makanan laut dibuka terutama di sekitar ini. Bagi penggemar makanan laut, apa kata mencuba makanan laut di Restoran Asputra Seafood. Yang pasti, segala jenis masakan yang dihidangkan akan membangkitkan selera pengunjung. Soal harga usah dipertikaikan kerana ia sememangnya berbaloi dan berpatutan.
MEMBELI-BELAH
- Arked Niaga Padang Besar
Padang Besar tidak perlu lagi diperkenalkan, destinasi ‘shopping’ wajib dikunjungi jika sampai Perlis. Dikenali juga sebagai ‘Pekan Siam’ kerana kedudukan geografinya berdekatan sempadan wilayah Selatan Thailand. Arked Niaga Padang Besar sering menjadi tumpuan pada hujung minggu dan musim cuti panjang. Paling menyeronokkan jika anda hebat dalam kuasa tawar-menawar anda bakal menjadi ‘pembeli yang menang’ mendapatkan variasi produk dari negara jiran terutama kraf tangan, makanan, pakaian, aksesori wanita, mainan kanak-kanak, beg, peralatan dapur dan set bilik tidur pada harga berpatutan. Waktu operasi perniagaan di Padang Besar, Perlis adalah sekitar pukul 10 pagi hingga pukul 6 petang.
PENGINAPAN
Percutian ke Perlis, bakal memberikan pengalaman yang berlainan buat anda yang jarang berkunjung di negeri paling Utara Semenanjung Malaysia lebih-lebih lagi dapat menginap di Homestay Felda Mata Air. Tersergam indah, sebuah perkampungan dengan pemandangan gaya tropika yang amat sesuai bagi mereka yang cintakan keindahan alam. Penanaman getah merupakan kegiatan ekonomi sebahagian besar penduduknya yang peramah, murah senyuman serta ‘hemoi’ ini. Lokasinya berhampiran dengan Padang Besar, tetapi dipisahkan oleh bukit-bukit yang menjadikannya lebih tenteram serta dingin.
Pelbagai aktiviti menarik akan disajikan kepada tetamu, antaranya seperti persembahan hiburan, berzanji, pembuatan produk tradisional dan pembuatan ikan serta daging pekasam. Jika datang pada musim mempelam harumanis, tetamu berpeluang untuk merasai kelazatan buah ini yang banyak ditanam di sekitar kawasan Homestay Felda Mata Air. Seperkara lagi yang terpahat di ingatan tetamu ialah layanan tuan rumah serta orang kampung yang terlibat melayan tetamu tak ubah seperti sanak saudara sendiri.
PENGANGKUTAN
- Stesen KTM Arau, Bukit Keteri & Padang Besar
Kereta, bas atau motosikal sering menjadi pengangkutan utama penumpang untuk travel dari satu tempat ke negeri Perlis. Namun, kereta api juga menjadi satu pengangkutan wajib bagi sesetengah daripada mereka kerana dikatakan lebih praktikal. Perjalanan menaiki kereta api sering menjadi pilihan kerana ia pengangkutan darat yang lebih selamat, cepat dan selesa untuk digunakan terutama untuk jarak jauh. Jika anda ingin ke Perlis, dicadangkan untuk menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terus ke stesen Arau, Bukit Keteri atau Padang Besar.
Tatkala menggunakan khidmat kereta api, penumpang bakal menikmati pengalaman yang menarik kerana ‘dihidangkan’ dengan pemandangan indah nan luas menyusuri celah-celah hutan, bukit bukau, sawah padi dan sungai. KTMB juga menyediakan kemudahan tandas, kantin, ruang solat, selain katil di koc kereta api terpilih untuk keselesaaan pengguna.
Jom pakat mai Perlis!
Terima kasih: Tourism Malaysia Wilayah Utara, Tourism Malaysia Perlis, Tourism Malaysia Wilayah Tengah & KTMB
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI