Kepada anggota barisan hadapan negara yang terlibat secara langsung dengan usaha pemutusan rantaian penularan COVID-19, jasa kalian sangat dihargai. Pelbagai pihak tampil untuk memberi penghargaan kepada usaha besar mereka selama ini.
Terbaru, pengusaha hotel dan produk pelancongan di Langkawi bersetuju menawarkan pakej percutian menarik untuk petugas barisan hadapan COVID-19 di pulau peranginan itu selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beritahu khabar gembira ini kepada pada barisan hadapan kita!
Gabungan tersebut antaranya melibatkan hotel, pemandu pelancong, ejen pelancongan dan pengembaraan, pengusaha dobi dan pengusaha kapal layar yang membawa pelancong melihat pemandangan matahari terbenam.
Tawaran yang dibuka buat barisan hadapan di seluruh negara itu sebagai menghargai jasa doktor, jururawat, polis, tentera, bomba dan sebagainya yang bergadai nyawa membendung penularan pandemik COVID-19.
Selain penginapan percuma, petugas barisan hadapan yang bercuti ke Langkawi akan turut menikmati tawaran istimewa lain seperti tiket masuk percuma ke Langkawi SkyCab dan Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) serta menaiki kapal layar menelusuri gugusan kepulauan Langkawi ketika matahari terbenam.
Gabungan pemain industri terlibat akan mewujudkan satu laman Facebook khas memaparkan pakej yang ditawarkan kepada barisan hadapan sepanjang percutian mereka di pulau ini. Dijangka purata (barisan hadapan) akan bercuti selama tiga hari dua malam, jadi ada hotel tawarkan penginapan percuma untuk satu malam dan ada juga yang beri penginapan percuma untuk dua malam.
Tempahan boleh dibuat dengan mengemukakan bukti seperti kad identiti sebagai pekerja barisan hadapan, anggota polis dan tentera perlu kemukakan kad kuasa dan selain tawaran itu turut diberikan kepada pengamal media.
Sumber: Bernama