Singapura melaporkan jumlah keseluruhan kes COVID-19 melebihi 3,000 (14 April) memutuskan untuk mengambil langkah lebih tegas dengan mewajibkan semua orang di republik itu memakai penutup mulut dan hidung apabila keluar rumah.
Ia diumumkan Menteri Pembangunan Negara republik itu, Lawrence Wong pada taklimat teknikal secara maya dan sidang media.
“Ia berkuat kuasa serta-merta,” katanya
Dengan langkah baharu itu, orang ramai masih dinasihatkan duduk di rumah dan mengelak daripada keluar semasa langkah pemutus litar selama sebulan dilaksanakan untuk mengekang penularan COVID-19.
Pemakaian penutup hidung dan mulut adalah langkah pencegahan penting terutama pada orang yang dijangkiti yang mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala.
Singapura selesai mengedarkan penutup hidung dan mulut yang boleh diguna semula pada Ahad (12 April), iaitu peringkat kedua yang bermula pada 5 April manakala peringkat pertama dijalankan di negara kota itu dari 1 hingga 9 Feb.
Pesalah kali pertama akan dikenakan kompaun S$300, pesalah berulang akan dikenakan denda lebih tinggi atau didakwa di mahkamah bagi kes yang lebih berat.
Sumber: Bernama