Semua orang tahu Alaska negeri paling utara di Amerika Syarikat terkenal dengan suhu sejuk di bawah paras beku, pemandangan gunung Alp bersalji dan pemandangan Aurora ketika malam. Tahap kesejukan Alaska jelas dapat dilihat apabila air tasik dan air tepian pantai beku dan boleh menjadi laluan kenderaan juga penduduk tempatan bermain papan luncur.
Namun ada berita mendukakan penghujung tahun 2019 ini, apabila Alaska dikatakan telah merekodkan suhu tinggi purata paling panas selepas setahun berdepan dengan cuaca ekstrem yang berubah-ubah. Zon di pesisiran barat Amerika Syarikat dan di sebelah Selat Bering itu telahpun berdepan musim panas yang teruk hinggalah boleh terjadi insiden kebakaran hutan yang dahsyat. Tidak ketinggalan isu kehilangan dataran ais di laut hinggalah hujan lebat pada musim sejuk sedangkan sebelum ini cuma mendapat salji.
Hidupan liar juga menderita akibat cuaca yang huru-hara. Burung-burung laut mati dalam jumlah yang banyak manakala mamalia marin juga tidak lagi hidup dengan selesa. Saintis percaya semua ini terjadi akibat daripada corak pemanasan berterusan. Alaska yang berdekatan dengan Artik menerima impak melampau berikutan kenaikan suhu dua kali ganda kadarnya berbanding keseluruhan planet Bumi, menurut para penyelidik.
"Walaupun dengan kehadiran cuaca sejuk secara tiba-tiba baru-baru ini, saya tidak dapat nafikan tahun 2019 tetap menjadi tahun yang paling panas dalam rekod,” ujar pakar klimatologi University of Alaska, Brian Brettschneider.