Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyeru semua penumpang tren elektrik (ETS) No. 9173 membuat saringan kesihatan di hospital berdekatan jika terdapat gejala berkaitan COVID-19.
Ini kerana salah seorang mangsa wabak itu telah menaiki tren tersebut dari Stesen Butterworth ke Stesen Kuala Lumpur Sentral pada 7 Mac lepas. Warganegara Malaysia berusia 70 tahun itu merupakan mangsa ke-11 yang diumumkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur.
Pihak KTMB telah menghentikan serta-merta perkhidmatan tren terbabit dan kerja-kerja disinfeksi sepenuhnya telah dilakukan ke atas tren tersebut serta semua tren ETS lain bagi keselamatan para penumpang dan kakitangan. Semua petugas syarikat yang berada di dalam tren serta stesen-stesen terlibat juga telah diarahkan untuk membuat ujian saringan kesihatan.
KTMB akan terus memantau pengoperasian tren-trennya dan sentiasa melaporkan perkembangan semasa tersebut kepada Kementerian Pengangkutan. Orang ramai disaran untuk mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman rasmi media sosial di Facebook (KTM Berhad), Twitter (@ktm_berhad), portal rasminya di www.ktmb.com.my atau menghubungi talian pusat panggilan di 03-22671200 bagi sebarang perkembangan terkini.