Pengunjung Lega, Taman Negara Pahang Dibenarkan Beroperasi Semula Bermula 23 Oktober 2020

Share

Taman Negara Kuala Tahan adalah satu nama tempat yang tak asing lagi bagi rakyat Malaysia kerana ianya adalah lokasi yang menyimpan seribu satu khazanah flora dan fauna alam semulajadi.




Taman Negara Kuala Tahan turut terkenal dalam kkalangan penyelidik atau saintis alam sekitar sebab hutan yang ada di sini dianggarkan sebagai hutan yang tertua di dunia berusia lebih kurang 130 juta tahun, menjangkaui usia hutan yang ada di Amazon.

Selepas ditutup kepada orang awam pada 6 Oktober 2020 lalu sebagai langkah berjaga-jaga ekoran peningkatan kes COVID-19, Taman Negara Pahang, Kuala Tahan, dibenarkan untuk kembali beroperasi hari ini bermula 23 Oktober 2020. Keputusan itu, adalah perkara yang wajar memandangkan Pahang tidak terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.




Kerajaan negeri berterima kasih kepada mereka yang terlibat yang dapat menerima permohonan kami supaya keputusan menutup sementara Taman Negara ditarik semula kerana kita sedang berusaha merancakkan semula sektor pelancongan negeri bagi membantu pengusaha resort dan pemandu pelancong. Jadi, keputusan baharu ini membolehkan orang ramai yang sudah membuat tempahan awal, bercuti seperti dirancang.

Pengusaha resort, pemandu pelancong serta pengunjung Taman Negara dinasihatkan untuk menghargai peluang itu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk menjaga aspek penjarakan fizikal. Untuk rekod, dilaporkan terdapat 170 pemandu pelancong, 38 pengusaha penginapan dan 17 agensi pelancongan di Taman Negara selain 78 pengusaha bot di Sungai Tahan dan 30 orang di Sungai Tembeling mencari makan dengan membawa masuk pelancong ke pusat rekreasi tersebut.

image via FB Taman Negara Pahang | Sumber: Bernama

Oleh
Husna