Berita

Pengguna Yang Nak Balik Kampung Guna Lebuhraya WCE Yang Baru Belum Lagi Dibuka Raya Ini Tau

Share

Jajaran Seksyen 8 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) iaitu antara Hutan Melintang dan Teluk Intan dikatakan sedia dibuka kepada lalu lintas pada satu tarikh yang akan diumumkan kerajaan dalam tempoh terdekat selepas ia diwartakan.

Ini bermakna jika anda dari Banting dan ingin ke Taiping, tidak perlu lagi keluar ke Lebuhraya Utara Selatan sebaliknya gunakan sahaja Lebuhraya WCE yang pastinya lebih menjimatkan masa perjalanan anda sampai ke destinasi. Lebuhraya ini juga dikatakan dapat mengurangkan kadar kesesakan untuk ke Selangor dari Perak atau ke Perak dari Selangor.

Sumber Foto: Bernama

Pada Februari lalu, Pengarah Urusan WCE Sdn Bhd, Datuk Neoh Soon Hiong dilaporkan berkata lima pakej WCE dijangka dibuka sebelum sambutan Aidilfitri, bagi memudahkan pengguna jalan raya pulang ke destinasi masing-masing.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah LLM, Datuk Aziz Abdullah, ia mungkin tidak dapat dilaksanakan berikutan masih ada kerja-kerja di lebuh raya itu yang masih perlu dilaksanakan bagi memastikan ia benar-benar selamat.

WCE berkata pemeriksaan fizikal dan keselamatan di tapak jajaran itu menunjukkan ia mematuhi keperluan yang ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Terdahulu, tiga seksyen bagi jajaran di Perak iaitu Seksyen 8, 9 dan 10 dilaporkan berada dalam peringkat akhir penyiapan dan dijangka dibuka secara berperingkat seawal Jun 2019 dan seksyen lainnya dibuka apabila siap kelak.

Jajaran Lebuhraya WCE merentasi Selangor dan Perak sepanjang 233km dengan di Selangor bermula dari Jalan Banting – KLIA (B18) hingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 93.8km manakala di Perak bermula dari Jalan Persekutuan (FR5) di Hutan Melintang ke Plaza Tol Changkat Jering sepanjang 139.2km.

Lebuhraya WCE mempunyai 21 persimpangan bertingkat dengan 20 plaza tol selain turut dihubungkan dengan lebuhraya sedia ada seperti PLUS, SKVE, NKVE, NNKSB, LATAR, KESAS demi memenuhi keperluan trafik di laluan utama.

Jajaran Lebuhraya WCE di Perak mempunyai empat seksyen iaitu Seksyen 8 (persimpangan Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (persimpangan Lekir-Changkat Cermin), Seksyen 10 (persimpangan Changkat Cermin-Beruas) dan Seksyen 11 (persimpangan Beruas-Taiping Selatan)

Sumber: Bernama 

Oleh
Husna