Pengalaman bermain ski di kawasan pergunungan dengan panorama indah dalam cuaca dingin sering menjadi impian buat sesiapa jua terutama buat pelancong dari rantau Asia Tenggara.
Selain daripada menikmati aktiviti ski ini, lokasi ski di perkampungan pergunungan juga mengujakan. Setiap lokasi ski mempunyai tarikan dengan pemandangan yang berbeza, pergaulan dengan warga tempatan dan pembangunan yang berkonsepkan bandar kecil.
Bermain ski bukanlah suatu perkara yang mudah. Aktiviti ini memerlukan skil atau kemahiran yang tinggi di mana tidak mungkin kita dapat menguasainya dalam tempoh yang singkat. Buat Siti Balqish Sabar, minat dalam aktiviti ski bermula semasa cuti musim sejuk pada zaman universiti di United Kingdom. Berada di situ selama setahun untuk melengkapkan ijazah beri peluang Balqish untuk mencuba aktiviti ini.
Selain selam skuba dan maraton,aktiviti ski menjadi aktiviti wajib tahunan. “kali pertama cuba ski terus minat sebab guna banyak skil hingga kini masih tidak habis lagi belajar. Ia sesuatu yang unik kerana setiap tempat ski, laluan dan halangannya berbeza,” akuinya.
Tidak dinafikan perasaan semasa itu sangat teruja sebab dirinya menyukai aktiviti ekstrem. “Bagi yang tidak pernah ski, di St. Anton diwajibkan untuk memasuki kelas ski begitu juga dengan saya. Dalam kelas ini instruktor akan ajar cara memakai peralatan ski dan skil asas.
Peralatan ski berbeza mengikut berat dan ketinggian pengguna. Helmet dan goggle juga perlu dipakai untuk keselamatan. Hari ketiga apabila skil yang intensif diajar, terasa hampir putus asa. Dengan suhu sekitar 10 selsius, sememangnya mental dan fizikal harus kuat. Kakak dan abang ipar menjadi penguat semangat.
Akhirnya hari keempat kami cuba ski sendiri. Memang licin susah untuk kawal diri. Jatuh berpuluh kali dan makan salji sudah jadi perkara biasa. Yang penting fokus, semangat dan berani untuk bangun dan ski lagi. Disebabkan kali pertama ski , tidak bersedia stamina, kaki kejang dan lenguh hingga tidak boleh berjalan. Tapi esoknya bangun dan semangat semula untuk ski,” cerita Balqish.
Minat yang mendalam akhirnya berjaya ski menuruni Gunung St. Anton secara solo melalui ‘blue piste’ iaitu laluan ski yang kurang halangan bagi pemain ski. Percubaan kedua ialah di pergunungan Gaschurn, Silvretta Montafon, Austria. Skil diasah lagi dengan menyertai kelas lebih intensif.
Tujuh hari di sini berjaya ski menuruni pergunungan melalui ‘red piste’ iaitu laluan ski yang lebih mencabar. Kepuasan dirasai apabila menuruni gunung dan laluan yang lebih curam dan ski dengan lebih laju. Walaupun ski di tempat yg curam langkah keselamatan perlu diutamakan.
Seterusnya aktiviti ski telah dilakukan di Zermatt Switzerland, Mount Yochi Hokkaido Japan, Meribel Mottaret France dan Grand Hirafu Hokkaido Japan. Zermatt, Switzerland ialah lokasi perkampungan ski serba lengkap. Bagi yang tidak ski tidak akan bosan kerana banyak tempat untuk membeli belah serta restoran. Laluan ski di situ juga banyak dan boleh ski di tempat yg berlainan. Begitu juga pilihan tempat tinggal di sini juga pelbagai.
Di Hokkaido menarik kerana struktur salji yang halus macam tepung. Jika jatuh tidak terlalu sakit kerana saljinya yang lembut.Pengalaman yang paling mencabar sepanjang melibatkan diri di dalam aktiviti ini adalah berhadapan dengan ribut salji di ketinggian 4,000 meter semasa di Zermatt.
Cuaca dalam berkeadaan baik di dasar gunung menyebabkannya mengambil keputusan untuk menaiki ‘cable car’ ke ketinggian 4,000 meter. Apabila sampai di puncak gunung, ribut salji dan suhu 18 selsius menyebabkan sukar untuk berjalan dan bernafas. Semangat ingin menawan gunung Matterhorn, akhirnya berjaya ski menuruni pergunungan Swiss Alps itu.
Nasihat dan Info:
*Pastikan membawa bekalan baju yang mencukupi dan sesuai untuk elakkan daripada rasa sejuk beku.
*Lakukan latihan kecergasan untuk kekalkan stamina. Ski memerlukan kaki yg kuat. Apabila stamina kurang, akan berasa cepat letih dan susah untuk sokong kaki ketika menuruni laluan yg curam. Ini kerana setiap pergunungan mempunyai cuaca yang tidak menentu dan halangan laluan ski yang berbeza.
*Bagi sesiapa yang bajet rendah, di setiap lokasi ski ada lokasi sewa peralatan,jadi tidak perlu beli sendiri.