Pengalaman Luar Biasa, Enjoy Sangat. Selangor Fruits Valley Port Percutian Menarik Seisi Keluarga

Share

Selangor Fruits Valley. Pernah dengar tapi tak pernah pergi?.

Bagi yang mungkin pernah dengar tempat nie tapi belum pernah sampai, Selangor Fruit Valley ini terletak di KM7 Bestari Jaya, Batu Arang, Rawang (dahulu dikenali sebagai Batang Berjuntai). Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa sejam suku sahaja.

Penat memandu takkan terasa langsung saat memasuki ladang buah-buahan tropika berkeluasan 946 hektar ini. Malah korang akan merasai satu pengalaman luar biasa hebat kerana ada banyak kesenokan dapat diterokai. Bahkan anak-anak pasti cukup seronok meneroka tempat ini.

Untuk meneroka ladang luas ini, ada tram disediakan. Tiket untuk orang dewasa hanya RM15 sementara kanak-kanak dan warga emas hanya RM10 sahaja.
Disapa angin bukit yang dingin dan pemandangan luar biasa indah kerana dipenuhi pelbagai jenis pokok-pokok buah-buahan seperti durian, cempedak, manggis, dokong, mata kucing, kelapa, jambu batu, anggur dan banyak lagi yang ditanam secara berkelompok pasti membuatkan korang berasa teruja untuk berhenti di setiap stesen.

Sebelum menaiki tram, antara aktiviti boleh diteroka ialah memasuki laman herba. Di sini, korang tanyalah apa jenis pokok herba apa pun, semuanya ada termasuk pokok mentega. Buahnya seakan manggis tapi ia berminyak saat kita menggosoknya.

Tram disediakan untuk meneroka kawasan menarik ini
Laman budaya yang menempatkan pelbagai aktiviti termasuk tarian kebudayaan dan magic show. Di sini juga ada Laman Herba

Habis pusing di taman herba yang menempatkan tanaman hidroponik serta laman budaya untuk pelbagai aktitiviti, korang boleh teruskan dengan menaiki tram.

Antara spot perhentian ialah Taman Rusa. Di sini, kita berpeluang memberi rusa jinak ini makan kacang panjang fresh yang menjadi menu utama binatang ini. Nak lebih rare, kalau selalu guna tangan, korang boleh try guna mulut dan pastinya tak menjerit bila mulut rusa semakin dekat dengan muka korang. So memang best sangat.

Bagi makan rusa jinak
Taman Arnab yang menarik
Inilah anak arnab berusia sehari. Macam anak tikus dan belakang berusia seminggu, sudah tumbuh bulu

Habis di situ, perjalanan diteruskan di Taman Arnab. Korang boleh bergambar di sini dengan haiwan comel ini dan bermanja-manja dengan mereka. Dan ia satu pendedahan yang baik untuk anak-anak untuk kenal haiwan jinak ini. Di Taman Arnab, boleh juga tangkap ikan guna tangguk. Nampak senang tapi bukan mudah.

Selesai lawatan di sini, perjalanan diteruskan ke Laman Itik pula. Bestnya di sini korang boleh belajar buat telur asin di mana campuran tanah liat dan sekam padi bakar digunakan untuk membalut telur itik dan disimpan 10 hari sebelum boleh dimakan. Dan kalau teruja nak kejar itik dan menangkapnya (sekadar suka-suka) juga dibenarkan. Cuma tak boleh bawa baliklah.

Di Laman Itik boleh belajar cara proses telur asin. Memang sesuai untuk anak-anak belajar
Inilah Rumah Kampung, memang best
Boleh minum air kelapa pandan dan makan nangcem, memang sedap tak ingat
Banyaknya buah kepala pandan
Menyelerakan sungguh cempedaknya
Ladang jambu dan korang boleh petik buahnya dengan kadar bayaran cukup murah

Perjalanan tram diteruskan ke Rumah Kampung. Tapi sebelum sampai, ada tasik yang sangat luas dan paling best pemandangannya menghijau. Serius memang best sangat. Di Rumah Kampung, korang boleh try minum air kelapa pandan yang sangat manis selain makan Nangcem (produk hybrid campuran Nangka dan cempedak yang dilakukan SFV sendiri. Serius sedap. Rumah kampung ini juga sangat cantik dan ia bercirikan tradisional. Tidak hanya itu, perjalanan diteruskan untuk melihat tanaman hi tech yang seluas mata memandang. Paling best korang boleh merasai pengalaman memetik buah-buahan dan ada bayaran sedikit dikenakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr Mohamad Khairul dua dari kanan.

Dalam sidang akhbar ketika meraikan wartawan dan pihak tourism di sini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr Mohamad Khairul memaklumkan, ladang buahan terbesar ini sedang merancang tapak glamping di sini.

“Ia ada dalam perancangan dan tapak sudah dikenal pasti berdekatan tasik,” katanya memaklumkan aktiviti terbaru bole diteroka ialah aktiviti berbasikal di trek kawasan ladang sejauh enam kilometer.

“Dalam masa terdekat, sukan lasak seperti All Terrain Vehicle (ATV), memancing dan aktiviti sukan air akan dibuka kepada orang ramai,” katanya memaklumkan SFV pernah menerima kunjungan pengunjung paling ramai iaitu 1227 orang untuk merasai keseronokan di sini.

Tak perlu risau bab makan atau minuman kerana SFV memberi peluang ekonomi kepada penduduk sekitar ladang berniaga di lokasi ini dan ada banyak pilihan makanan kalau datang ke sini.

Dibuka dari jam 9 pagi hingga 4 petang setiap hari dan ditutup pada hari Jumaat sahaja.

Oleh
almaswa Haji Che Ros