Pagi kita minum kopi Ipoh, petang kita makan mee tarik dekat Guang Zhou pula, malam kita balik semula ke Ipoh pekena nasi ganja. Fuh, kalau betul boleh macam tu, Libur nak jadi orang pertama yang pecah rekod. Terdengar hebat dan hyperbola kan?
Tapi tak mustahil sebenarnya sebab ada satu berita baik terutamanya untuk orang yang berada di negeri Perak dan sekitarnya apabila syarikat penerbangan Scanda Sky dah menandatangani perjanjian bersama Malaysia Airlines Berhad untuk mewujudkan penerbangan dari KL – Ipoh – Guang Zhou di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).
Perjanjian diantara dua syarikat itu disaksikan sendiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan menurut laporan daripada Berita Harian, perjanjian itu kena pada masanya untuk melonjakkan lagi sektor pelancongan negeri Perak dan meningkatkan hubungan dua hala antara Perak dan Guang Zhou.
Penerbangan pertama untuk laluan Ipoh – Guang Zhou itu dijangka pada awal Oktober depan dengan jangkaan tiga penerbangan seminggu dan Ahmad Faisal berkata yang dia percaya laluan ini akan menjadi popular seperti laluan udara dari Ipoh ke Singapura.
Dalam pada itu, untuk menggalakkan lagi industri pelancongan negeri sempena pembukaan laluan udara baharu ini, kerajaan negeri Perak akan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi pelancongan Perak dan beberapa pemain industri pelancongan seperti Movie Animation Park Studios, Loas World of Tambun, perhotelan dan sebagainya.
Usahasama antara semua agensi dan pemain industri pelancongan itu akan meningkatkan ekonomi tempatan di negeri Perak dan Ahmad Faisal juga berkata kerejaan negeri akan berusaha mendapatkan lebih banyak penerbangan terus sama ada domestik atau antarabangsa bagi merealisasikan impian menjadikan Ipoh sebagai hub pelancongan dan pintu masuk pelancong ke negara ini.
Jadi kepada anda yang berada di Ipoh, ini satu peluang yang baik untuk anda rebutkan sebab ada ramai pelancong-pelancong yang akan datang ke negeri Perak nanti. Kalau nak mula business pelancongan tu, dah boleh mulakan dari sekarang sebab Libur jangka Perak akan jadi ‘lubuk emas’ industri pelancongan tak lama lagi.