Malaysia Airports dan Tourism Malaysia telah mengumumkan Condor Airlines dari Jerman, akan memulakan laluan Frankfurt-Kuala Lumpur semasa musim sejuk pada 2018.
Tourism Malaysia telah menandatangani Memorandum Kerjasama Pemasaran (MoMC) bersama Condor Airlines dan ia permulaan inisiatif pemasaran bersama dengan Condor Airlines menggunakan dana promosi yang ditubuhkan antara Tourism Malaysia dan Malaysia Airports.
Perjanjian ditandatangani Datuk Seri Abdul Khani Daud, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Condor Airlines,Ralf Teckentrup serta disaksikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
“Ini adalah satu kejayaan besar bagi Tourism Malaysia, yang telah berjaya melabur dengan Condor Airlines dan bekerjasama dengan Malaysia Airports. Saya berharap usaha ini dapat meningkatkan bilangan pelawat Eropah ke Malaysia, terutamanya sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 yang akan datang, ” kata Datuk Seri Mohamed Nazri.
Syarikat penerbangan Condor Airlines akan memulakan perkhidmatan tiga kali seminggu pada November 2018, menggunakan pesawat A330-200.
“Kami gembira kerana dapat mengembangkan hubungan kami ke Eropah. Malaysia Airports akan menyokong Condor Airlines dalam semua perkara operasi di lapangan terbang. Kami juga bangga bahawa kerjasama yang telah ditubuhkan baru-baru ini oleh Malaysia Airports and Tourism Malaysia adalah penting untuk membantu syarikat penerbangan seperti Condor Airlines untuk memulakan operasinya ke Malaysia, ” jelas Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Badlisham Ghazali.
Kehadiran pelancong Eropah, khususnya dari Jerman, diharap akan meningkat. Pada masa ini, tiada penerbangan terus antara Jerman dan Kuala Lumpur sejak penarikan semula perkhidmatan oleh Malaysia Airlines dan Lufthansa.
Sebelum ini, Malaysia Airports and Tourism Malaysia telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU), dengan tujuan untuk mempromosikan, mengembangkan dan meningkatkan pelancongan dalam negara di seluruh dunia terutamanya dari India, China dan Eropah. Inisiatif pemasaran bersama ini memerlukan kedua-dua pihak membentuk dana promosi, yang akan digunakan untuk menyokong kempen pemasaran oleh syarikat penerbangan dan rakan industri pelancongan. Penubuhan inisiatif ini adalah tepat pada masanya kerana ia adalah baik untuk syarikat penerbangan baru seperti Condor Airlines.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI