Untunglah rakyat Pulau Pinang dan penduduk utara selepas ini, jika mahu ke negara Taiwan, sudah ada penerbangan terus ke sana tanpa perlu ke lapangan utama Malaysia di KLIA.
Pulau Pinang memulakan 'Experience Penang Year 2020' dengan memperkenalkan penerbangan terus baharu bagi laluan Pulau Pinang-Taiwan oleh Starlux Airlines bermula 23 Januari 2020 ini.
Penerbangan sulung syarikat penerbangan itu menggunakan pesawat Airbus A321neo dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan pada 23 Januari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira empat setengah jam selepas berlepas.
Pulau Pinang menjadi satu-satunya lokasi di Malaysia yang dipilih untuk penerbangan dari lapangan terbang di New Taipei City. Pulau Pinang berbangga menjadi salah satu daripada tiga bandar antarabangsa yang dipilih,selepas dua bandar raya lain, Macau (China) dan Da Nang (Vietnam).
Daripada sumber Benama, Wakil Starlux Airlines Co Ltd (Cawangan Malaysia) Chin-wen Hsu berkata sebelum keputusan untuk melaksanakan penerbangan Pulau Pinang-Taiwan itu, mereka telah meninjau persekitaran pelancongan di Pulau Pinang dan melihat potensi pasaran yang luas.
Melalui tinjauan tersebut mereka mendapati syarikat penerbangan lain yang mengendalikan penerbangan terus Pulau Pinang-Taiwan mempunyai kira-kira 80 peratus kapasiti penumpang setiap tahun pada 2017 dan 2018.