Peminat Di Barcelona Saksikan Konsert Tanpa Penjarakan Sosial Selepas Buat Ujian Calitan Ekspres

Share

Di Barcelona, Sepanyol lebih lima ribu orang peminat muzik telah mengambil langkah yang cukup drastik semata-mata ingin bersama-sama menyaksikan sebuah konsert.

Mereka selaku pengunjung menghadiri acara konsert muzik yang berlangsung tanpa sebarang penjarakan sosial. Namun difahamkan kesemua daripada mereka telah menjalani ujian calitan COVID-19 dan didapati negatif menerusi ujian antigen hari yang sama.

Peminat muzik tersebut membanjiri Palau San Jordi untuk menyaksikan persembahan beberapa buah band indie. Persembahan yang mendapat kelulusan khas daripada badan kesihatan negara tersebut merupakan antara percubaan yang dilakukan dengan melakukan ujian pantas untuk acara seperti konsert.

Mereka mahu melihat sama ada sistem ujian pantas begini boleh mengelak penularan virus pada masa akan datang. Namun sepanjang konsert berlangsung, setiap penonton diwajibkan memakai pelitup muka bagi tujuan keselamatan.

Kesemua penonton menjalani ujian di tiga lokasi berbeza di Barcelona sebelum diberikan kebenaran untuk menghadiri konsert tersebut. Seramai 80 orang petugas kesihatan telah ditugaskan untuk menjalankan ujian calitan.

Sepanjang ujian tersebut mereka mendapati tiga orang positif dan seorang dikenali pasti sebagai kontak rapat. Sekali gus tidak dibenarkan untuk menghadiri konsert tersebut.

Eksperimen ini juga dilihat sebagai salah satu cara untuk merancakkan semula ekonomi terutamanya di dalam sektor muzik dan persembahan secara langsung.

Adakah langkah ini benar-benar selamat untuk dilakukan? Pakar dan juga warganet pastinya mempunyai pandangan masing-masing.

Oleh
mohd farizul Ibrahim