
Pelancong yang berkunjung ke Terengganu kini berpeluang merasai pengalaman berbeza jika menyertai program pemuliharaan tuntung di Kampung Temir, Hulu Terengganu.
Kampung Temir mempunyai daya tarikan pelancongan tersendiri berasaskan alam semulajadi, malah ia menjadi habitat tuntung yang pasti memberi pengalaman indah kepada pelancong.
Anda berpeluang melihat sendiri tuntung betina mendarat ke pesisir sungai di Kampung Temir untuk bertelur pada malam hari dan pengalaman pasti begitu mengujakan terutama bagi mereka yang pertama kali merasai pengalaman ini.
Kampung Temir, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Kuala Terengganu, memang terkenal dengan keindahan alam semulajadinya yang masih belum tercemar namun disebabkan kekurangan promosi dan lokasi yang agak terpencil, ia hanya dikunjungi oleh sebilangan kecil pelancong sahaja sebelum ini.
Nak tahu ada apa lagi di Kampung Temir? Jom cuti-cuti ke Terengganu.
Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rasmi Khemah Baru Di GreenStone Campsite, Perak. Dapat Port Tepi Sungai Setup Cantik Macam Hotel, Honeymoon Camping Terbaik!

Kesempatan hujung minggu yang panjang ketika cuti Tahun Baru Cina dimanfaatkan sebaiknya dengan percutian di tapak perkhemahan yang terletak di Padang Rengas, Perak.Paling best bila dapat port yang best kat tepi sungai dan dengan khemah yang baru. Perfect!
Meskipun perancangan asal untuk membawa anak-anak bersama, namun atas sebab tertentu akhirnya pasangan ini sahaja yang meneruskan percutian mereka di Green Stone Campsite.
Dari family camping bertukar menjadi honeymoon camping, pemilihan port camping kali ini cukup berbaloi, dapat pula port pacak khemah tepi sungai dengan setup khemah yang persis tinggal di hotel, memang berbaloi.
Teruja melihat perkongsian daripada Ku Norsiah Ku Saidin camping sepanjang tiga hari dua malam di campsite tersebut. Meskipun tanpa kehadiran anak-anak pasangan ini memanfaatkan sebaiknya masa bersama.
Turut berkongsi tentang campsite pilihan mereka kali ini, menurut wanita ini dia bakal kembali ke sana lagi untuk meneroka lebih banyak aktiviti yang ada termasuk ke air terjun dan menikmati sunset.
Camping 3H2M di Green Stone Campsite
Alhamdulillah rezeki CNY dapat tapak camping di GreenStone Campsite , Padang Rengas , Perak. Sehari sebelum bertolak dah siap prepare barang-barang untuk 1 family, last minute petang nak pi tu tetiba anak-anak cancel tak jadi ikut pulak..ha apalagi, family camping automatik bertukaq jadi honeymoon camping la pulak
Masa kami sampai kat campsite cuaca masih cerah, tapak S3 yang CO bagi betul-betul menghadap sungai yang cantik.Time tu jiran-jiran semua dah siap pacak khemah, kami ja baru nak mula… excited tak sangga la sebab first time nak rasmi tent baru Village L 2.0 by Payung.camp fuhh, tent ni senang pasang ampa, hat paling puas hati dia ada siap-siap extended awning …ha memang berbaloi la beli
Di pendekkan cerita elok kami siap pasang hujan pun turun ampa aii, cik Heri kata, ni kira majlis perasmian la kot noh hahahah
Tarikh : 21-23/1/23
Nama campsite : GreenStone Campsite
Caj tapak : Berbeza mengikut size tent dan lain-lain…macam khemah kak size L semalam RM 60, + caj flysheet RM 20 + pengurusan sampah RM 5
Toilet/bilik mandi : Bersih cuma bercampur penggunaan untuk lelaki & perempuan
Sinki : ada 2 bersebelahan tandas
Line Telco : u mobile langsung tak dak service ampa, so 3h2m kak hilang dari radar…ni salah satu sebab kak balik awai, Mula tu dah deal untuk 4h3m…cancell sehari sebab risau tak boleh berhubung dengan anak-anak kat rumah
Plug point : dekat khemah tak dak, malam-malam ada lampu solar sahaja di kawasan campsite
Surau : ada
Kantin/makanan : Available sebelah siang sampai pukul 7malam kalau x silap
Parking : yang bestnya boleh parking Kereta belakang khemah…tak penat angkut barang
Keselamatan : InshaAllah terkawal, cuma jaga-jaga dengan pacat saja…kami kena 2 kali na
Terima kasih CO & staff yang baik hati sudi melayan pertanyaan & permintaan kak, siap minta nak petik ulam pucuk Karapoley lagi InshaAllah pasti repeat lagi nanti sebab hari tu tak sempat nak explore pakej tambahan ke air terjun, railway lama & tengok sunset..hujan-hujan segan nak berjalan. Apa pun yang pasti sungai kat situ memang terbaikkk
Kredit: Ku Norsiah Ku Saidin
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Taman Negeri Rompin, Hutan Hujan Tropika Antara Tertua Di Dunia, Wow!

Taman Negeri Rompin, Pahang yang merupakan antara hutan hujan tropika tertua di dunia.
Taman Negeri Rompin yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Rompin sebelum ini pernah ditutup hampir empat tahun kembali menerima pelancong dan ‘kaki nature’ sejak 1 Oktober 2020 lalu. Penutupan destinasi alam ini adalah bagi kerja menaik taraf dan pembinaan infrastruktur yang menelan belanja sebanyak RM15 juta, seperti jambatan gantung, menara tinjau, dewan serba guna dan bilik makmal penyelidikan termasuk pembinaan log cabin chalet dan chalet atas pokok.
Taman Negeri Rompin yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Negeri Endau Rompin, kini dianggarkan berusia lebih 130 juta tahun serta mempunyai hutan yang dikelaskan sebagai hutan tropika tanah pamah malar hijau. Nama baharu Taman Negeri Rompin diluluskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang bagi mengelakkan kekeliruan dengan Taman Negara Endau-Rompin di Johor.
Taman negeri ini bukan hanya terkenal sebagai destinasi ekopelancongan dalam kalangan rakyat tempatan, malah turut popular dalam kalangan pelancong asing kerana ciri hutannya yang menarik dari segi flora dan fauna, geologi dan sejarah. Ia juga mempunyai keindahan semula jadi yang unik dan hutan asli yang sukar ditemui di kawasan lain, selain turut mempunyai Air Terjun Seri Mahkota yang mampu menarik kehadiran pengunjung ke sini.
Bagi memelihara kelestarian taman negeri itu, Jabatan Perhutanan Pahang telah melaksanakan polisi ‘Tiada Beg Plastik’ di taman tersebut. Bayaran masuk akan dikenakan:
- Antara RM10 dan RM30 kepada pelancong tempatan bergantung kepada kategori
- Warga asing dikenakan bayaran sekitar RM30 ke RM50
- Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) masuk percuma
Jom cuti-cuti di Pahang~
image via google & endaurompin.my | sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Poland Destinasi Percutian Hebat Di Eropah Timur. Layan Juga Poland Ni..

Isi Kandungan
ToggleBila sebut Eropah sahaja, asyik bercita-cita ke Paris sahaja! Why not pilih Eropah Timur sebagai lokasi percutian idaman pula kan?
Antaranya seperti Poland iaitu negara yang pernah menjadi blok komunis satu ketika dahulu antara 1940 sehingga 1945.
Bermula dari ibu negaranya iaitu Warsaw (disebut Warszawa), Gdansk sehingga ke kawasan semula jadinya, Murzasichle dan Gunung Tatra tetap menjadi tumpuan hampir sepanjang tahun sama ada dalam kalangan penduduk tempatan atau pelancong luar negara.
Lokasi wajib dikunjungi jika berpeluang ke Warsaw sudah tentu Kota Lama (Old Town) yang digelar masyarakat tempatan sebagai ‘Stare Miasto’. Ia adalah lokasi menempatkan banyak bangunan bersejarah bercirikan seni Renaissance, Baroque dan Gothic yang satu ketika dahulu pernah musnah akibat peperangan. Ia boleh diibaratkan kita berjalan di kawasan kota lama Eropah.
Masyarakat Poland juga sangat menghargai sejarah. Tidak hairanlah, muzium menjadi sesuatu yang sangat dihargai. Kawasan itu juga menempatkan dataran luas yang menjadi tempat berkumpul penduduk pada zaman dahulu.
Ramai pelukis dan pemuzik jalanan menjadikan kawasan itu sebagai tempat mereka mencari rezeki dengan mempamerkan hasil seni lukisan serta bermain alat muzik bagi menghiburkan pengunjung.
Selain itu, tempat bersejarah seperti muzium Auschwitz Birkenau yang pernah menjadi pusat tahanan semasa zaman pendudukan Nazi Jerman juga berjaya menarik pelancong dari seluruh dunia terutama dari Jepun dan China.
Kolam Renang Terdalam Di Dunia
Poland bakal membuka kolam renang paling dalam di dunia yang mempunyai kedalaman 45 meter di bandar Msxczonow, tahun ini. Kolam digelarkan sebagai DeepSpot itu memerlukan 8,000 meter kubik air untuk mengisinya dan jumlah itu bersamaan dengan memenuhi 27 kolam renang Olimpik.
Kolam itu akan terbuka untuk semua jenis peringkat perenang termasuk atlit dan penyelam profesional. Selain itu, DeepSpot turut dilengkapi dengan fasaliti lain seperti bilik persidangan, restoran, hotel dan terowong dalam air untuk pengunjung.
Di samping itu, Poland juga antara negara yang selamat untuk dikunjungi terutama kepada pengembara solo. Mungkin beberapa panduan ini boleh membantu anda yang mungkin bercadang mahu melancong ke Poland. Antaranya:
Bahasa
Tidak seperti Perancis penduduk di sini terutama golongan muda kebanyakan boleh berbahasa Inggeris kerana majoritinya pernah bekerja di United Kingdom, Ireland atau Belanda. Begitu juga golongan pertengahan umur yang tinggal di bandar. Bahasa mudah yang mungkin boleh dipelajari seperti ‘czecs’ (hai) dan ‘Djengkuye’ (terima kasih).
Agama
Secara keseluruhannya, 90 peratus daripada lebih 38 juta populasi penduduk Poland beragama Kristian Katolik manakala penduduk Islam dianggarkan hanya sekitar 30,000 orang. Walaupun jurang itu terlalu besar, namun tiada tekanan ke atas golongan minoriti di sana malah kerajaan Poland membenarkan setiap penduduknya mengamalkan ajaran masing-masing.
Matawang
Poland menggunakan nilai mata wang Zlotych.
Cuaca
Suhu pada musim sejuk boleh mencecah sehingga negatif. Tetapi kadang kala cuaca di sini turut berubah.
Kos
Ada beberapa barangan agak murah dan ada juga yang mahal. Sebagai contoh kebanyakan kos makanan untuk sehari ketika di sana antara 20 sehingga 40 Zlotych (mungkin lebih) jika anda makan di kedai. Begitu juga dengan penginapan iaitu antara 50 sehingga 150 Zlotych.
Makanan
Bagi pelancong beragama Islam, memasak merupakan pilihan terbaik. Walau bagaimanapun ada juga gerai yang menjual makanan halal seperti kebab.
Pengangkutan
Poland juga mempunyai sistem pengangkutan yang efisien walaupun ia bukanlah sebuah negara maju seperti Perancis atau Belanda. Begitu juga dengan segala kemudahan di sana yang serba lengkap. Cuma ada masa tertentu ketika cuti umum anda boleh melihat hampir semua kedai dan pusat membeli belah tutup.
Jom layan beberapa foto menarik di sekitar Poland.
Sumber: Destinasi Poland
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI