Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah ini adalah satu-satunya pusat konservasi gajah yang ada di Malaysia. Tempat perlindungan ini membantu mengesan, memindahkan dan menjaga gajah-gajah yang dipindahkan atau terperangkap dari seluruh Asia Tenggara.
Mengapa anda perlu pergi ke sini?
Gajah-gajah hutan di Asia adalah haiwan yang jarang ditemui serta sukar difahami dan Kuala Gandah adalah tempat terbaik untuk mendekati ‘abang long’ hutan ni.
Gajah-gajah itu boleh diberi makan menggunakan tangan oleh pelawat yang berani bahkan mereka boleh memandikan anak gajah di sungai sambil berhibur bersama anak-anak gajah yang comel.
Terdapat juga pusat pelawat yang menayangkan video pendidikan dan maklumat terperinci mengenai kerja pemuliharaan gajah yang dilakukan di situ. Pengenalan akan diberikan mengenai perilaku gajah, konservasi dan sejarah gajah di PKGK. Pelawat boleh memberi makan, menyentuh belalai dan bergambar bersama gajah sambil diberikan penerangan oleh kakitangan bertugas.
Tip
Sesiapa yang ingin bermain atau bermandi di sungai dengan gajah perlu ingat bahawa air bukan hanya coklat dengan lumpur – gajah juga menggunakan sungai sebagai tempat membuang najis mereka! Walau bagaimanapun, terdapat air pancut disediakan untuk membersihkan sebarang kotoran selepas keseronokan anda bersama anak gajah tadi berakhir.
Macam mana nak ke sana?
PKGK Kuala Gandah ini terletak di negeri Pahang berhampiran Lanchang, kira-kira dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur. Alamat lengkap ke sini adalah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Kuala Gandah, 28500 Lanchang, Pahang Darul Makmur, Malaysia. Jadual aktiviti pelawat adalah bermula seawal pukul 8 pagi hingga pukul 4 petang dari hari Isnin hingga Ahad.