
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah ini adalah satu-satunya pusat konservasi gajah yang ada di Malaysia. Tempat perlindungan ini membantu mengesan, memindahkan dan menjaga gajah-gajah yang dipindahkan atau terperangkap dari seluruh Asia Tenggara.
Mengapa anda perlu pergi ke sini?
Gajah-gajah hutan di Asia adalah haiwan yang jarang ditemui serta sukar difahami dan Kuala Gandah adalah tempat terbaik untuk mendekati ‘abang long’ hutan ni.
Gajah-gajah itu boleh diberi makan menggunakan tangan oleh pelawat yang berani bahkan mereka boleh memandikan anak gajah di sungai sambil berhibur bersama anak-anak gajah yang comel.
Terdapat juga pusat pelawat yang menayangkan video pendidikan dan maklumat terperinci mengenai kerja pemuliharaan gajah yang dilakukan di situ. Pengenalan akan diberikan mengenai perilaku gajah, konservasi dan sejarah gajah di PKGK. Pelawat boleh memberi makan, menyentuh belalai dan bergambar bersama gajah sambil diberikan penerangan oleh kakitangan bertugas.
Tip
Sesiapa yang ingin bermain atau bermandi di sungai dengan gajah perlu ingat bahawa air bukan hanya coklat dengan lumpur – gajah juga menggunakan sungai sebagai tempat membuang najis mereka! Walau bagaimanapun, terdapat air pancut disediakan untuk membersihkan sebarang kotoran selepas keseronokan anda bersama anak gajah tadi berakhir.
Macam mana nak ke sana?
PKGK Kuala Gandah ini terletak di negeri Pahang berhampiran Lanchang, kira-kira dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur. Alamat lengkap ke sini adalah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Kuala Gandah, 28500 Lanchang, Pahang Darul Makmur, Malaysia. Jadual aktiviti pelawat adalah bermula seawal pukul 8 pagi hingga pukul 4 petang dari hari Isnin hingga Ahad.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
The Mango’s Park, Port Best Lepak Bercuti Di Port Dickson

Port Dickson sememangnya amat terkenal sebagai pantai peranginan yang menjadi pilihan ramai pengunjung sama ada di musim cuti atau hujung minggu. Bukan saja pantainya yang cantik, ada banyak penginapan tatkala bercuti di sini bermula dari RM100 semalam dan ke atas mengikut budget masing-masing.
Kalau ada cadangan nak bercuti panjang di Port Dickson sempena Cuti Tahun Baru Cina, antara yang boleh dicuba ialah The Mango’s Park Port Dickson yang terletak di Batu 3, Jalan Pantai Bagan Pinang.
Menawarkan tiga jenis penginapan bermula serendah RM100 ke atas, ada tiga pilihan penginapan boleh cuba di sini. Tak kisah sama ada style backpackers atau berkeluarga, pilihan boleh dibuat mengikut budget.
Tiga jenis pengipan disediakan di sini ialah Gegelung House Hotel, Backpackers Room dan A Frame House.
Apa yang best di sini?
Fasiliti di sini lengkap termasuk tempat makan (jalan kaki 10 minit dah sampai), jalan tak sampai 20 meter dan sampai pantai. Kalau berkereta pula dua minit dah sampai KFC dan stesen minyak selain dekat dengan Pantai Saujana, Pantai Cahaya Bulan dan Muzium Tentera Darat.
Di Mango’s Park, ada berbagai aktiviti boleh buat termasuk nak hiking, water rafting, berkayak, paint ball, buat hari keluarga serta team building dan lain-lain lagi yang mana pihak pengurusan boleh sediakan transport kalau untuk aktiviti-aktiviti ekstrem di sini.
Kolam mandi juga di sedikan termasuk tempat BBQ, surau, café. Paling best ada tiga café iaitu Lantak Kafe (ada live band setiap hari), Kaidz Café serta Raja Dulung untuk makan tengahari dan makan malam. Selain itu di sini ada kemudahan dewan, padang dan lain-lain lagi. Boleh makan-makan steamboat di sini dan paling penting buffet breakfast ada di sediakan.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
10 Info Menarik Buat Kaki Travel Bercadang Bercuti Ke Oxford

Perkongsian info percutian ke Oxford ini dikongsiakan oleh saudara Mohamad Idham Md Razak (Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin)
Peluang bercuti ke luar negara bersama sahabat baik merupakan impian setiap kaki kembara. Rezeki penulis mendapat peluang untuk membentangkan kertas penyelidikan bersama sahabat baik Dr. Hj. Abdul Rahim Ridzuan di Oxford, United Kingdom merupakan peluang keemasan yang sukar dilepaskan. Kenalan baik kami, Profesor Madya Dr. Mohammed Hariri Bakri yang menetap di St. Clement banyak membantu di sepanjang tempoh kami berada di sana. Beliau merupakan Fellow di Oxford Centre for Islamic Studies, University of Oxford. Kami juga berpeluang melihat fasiliti tempat beliau bertugas, peluang yang jarang-jarang diperolehi.
Berikut penulis kongsikan 10 info menarik buat kaki travel di Oxford:
1. Fakta Sejarah. Oxford ialah bandar raya dan bandar di Oxfordshire, England Tenggara. Mengambil masa sekitar 2 jam dari Lapangan Terbang Heathrow dengan menaiki bas. Bandar raya ini mempunyai jumlah penduduk sekitar 165,000 orang, dengan 151,000 orang tinggal di dalam sempadan daerah di mana Sungai Cherwell dan Sungai Thames mengalir merentasi Oxford dan bertemu di sebelah selatan pusat bandar raya. Bangunan di sekitar Oxford memiliki ciri seni bina British sejak ketibaan orang Saxon, termasuk bangunan Radcliffe Camera di pertengahan abad ke-18 yang ikonik.
2. University of Oxford. Terdapat 39 kolej di University of Oxford. Seperti kata teman penulis, Oxford adalah bandar dalam Universiti. Sepanjang berada di Oxford, kami berkesempatan untuk melakukan kembara ringkas di beberapa buah kolej yang popular di University of Oxford seperti All Souls, Magdalen, St. Cross, St. Edmun Hall. Sebagai peringatan untuk bakal pengunjung, kebanyakan masa lawatan yang dibuka kepada umum adalah pada jam 2.00 petang. Penulis juga berkesempatan melawat ke Said Business School, University of Oxford. Penulis berasa teruja kerana ini merupakan lawatan kali kedua penulis di sini.
3. Tarikan pelancong. Terdapat banyak tempat menarik untuk dilawati di sekitar Oxford. Di antara tempat – tempat menarik dan unik yang dicadangkan oleh penulis seperti University Church of St. Mary the Virgin, Christ Church Cathedral, Blackwell’s Bookshop, Bodleian Library dan Oxford Botanic Garden. Keindahan senibina dan lanskap pasti membuatkan gambar yang bakal dimuat naik di laman sosial kelihatan mengagumkan.
4. Makanan Halal. Buat bakal pengunjung, usah risau makan halal mudah didapati di sekitar Oxford kerana terdapat banyak restoran Timur Tengah di sini. Sekiranya anda berhajat untuk menikmati makanan segera, Restoran KFC dan Nandos di Cowley Road adalah Halal untuk dinikmati. Bagi penulis, bluberry muffin dan buah-buahan segar yang terdapat di stor Marks and Spencer cukup kena dengan selera penulis sebagai pengalas perut sebelum memulakan ekspedisi.
5. Syurga membeli belah. Selain keindahan senibina dan lanskap, di sepanjang jalan raya di sekitar Oxford terdapat banyak kedai cenderamata murah dan unik seperti The University of Oxford Shop dan Flaggs. Jangan lupa ke kedai Primark berdekatan dengan Pasaraya Westgate. Terdapat pelbagai koleksi seperti haruman, alat solek dan pakaian yang murah keluaran tempatan yang wajib dibeli untuk kegunaan sendiri atau diberi pada kenalan sebagai ole-ole.
6. Kemudahan pengangkutan. Kemudahan pengangkutan di bandar Oxford amat efisien dan selesa. Terdapat banyak perkhidmatan teksi yang disediakan dengan harga berpatutan. Sepanjang berada di Oxford, penulis lebih banyak berjalan kaki. Untuk ke kotaraya London, anda boleh menaiki bas Oxford Tube atau X90. Apa yang menarik ialah bas tersebut mempunyai kemudahan akses wifi percuma dan tempat mengecas gajet.
7. Penginapan. Terdapat banyak tempat penginapan menarik bergantung kepada bajet percutian dan citarasa. Beberapa tempat penginapan yang dicadangkan oleh penulis seperti, Old Bank Hotel, Vanbrugh House Hotel, Remont Oxford Hotel dan Premier Inn Oxford Hotel.
8. Cuaca dan Musim. Seperti kebanyakan bandar di sekitar United Kingdom, cuaca kadangkala tidak menentu. Justeru, adalah dinasihatkan untuk melihat ramalan cuaca sebelum memulakan perjalanan. Penulis mencadangkan untuk melawat bandar Oxford pada musim bunga sekitar Mac hingga Mei atau pada musim luruh sekitar September dan November.
9. Masyarakat sekitar. Masyarakat di sekitar Oxford sama seperti di kebanyakan bandar di sekitar United Kingdom, amat ramah dan murah dengan senyuman. Justeru, jangan berat mulut untuk bertanya sekiranya ingin meminta bantuan atau sebagai penunjuk arah.
10. Kemudahan solat. Untuk pengembara Muslim, jangan gusar banyak kemudahan solat yang terdapat di sini. Penulis dan rakan berkesempatan menunaikan solat Jumaat di OUISoc yang terletak di Bangunan Robert Hooke. Komuniti Muslim yang pelbagai di sini amat mesra terutama dengan pelancong luar.
Peluang explorasi di Oxford pastinya menjadikan kenangan yang terindah buat penulis dan rakan. Banyak lagi program kembara yang kami rencanakan di masa akan datang. Pesan penulis, dalam mencari sahabat sejati carilah yang boleh mengembara bersama, sibuk mencari ilmu dunia dan akhirat, sanggup berkongsi susah payah bersama, serta sentiasa mengingatkan kita kepada Allah swt. Edisi kembara kali ini adalah salah satu medium menghayati kebesaran dan keindahan ciptaan Allah swt serta meraikan persahabatan kami yang telah terjalin hampir 10 tahun lamanya.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sekali Seumur Hidup Anda Patut Singgah 11 Destinasi Percutian Ini

Isi Kandungan
ToggleUntuk perancangan cuti hujung tahun nanti, mungkin kebanyakan daripada kita sudah pun merancang tarikh percutian untuk sepanjang tahun ini lebih awal selalunya 6 bulan sebelum. Ada yang sudah menempah tiket percutian atau sekadar mencari-cari lokasi terbaru untuk diterokai bersama keluarga, sahabat handai mahupun insan tersayang.
Jika masih tertanya-tanya apakah lokasi terbaik untuk dikunjungi ke luar negara pada hujung tahun ini, Libur cadangkan destinasi percutian sepanjang hayat terbaik buat anda untuk dikunjungi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup sebelum menutup mata.
1. Fenomena Aurora Tasik Myvatn, Iceland
Bagi yang suka kepada alam sekitar, apa kata anda cuba kelainan percutian pada kali ini dengan berkunjung ke Tasik Myvatn, Iceland. Aurora merupakan fenomena alam yang terjadi di ruang atmosfera bumi di bahagian Kutub Utara. Ia terhasil daripada interaksi di antara medan magnetik bumi dengan partikel-partikel daripada pancaran matahari.
Cahaya yang biasa terhasil adalah bewarna hijau, merah, biru dan ungu. Jadikan kenangan melihat fenomena aurora sebagai yang terindah dalam hidup anda.
2. Penginapan Terapung, Maldives
Berkunjunglah ke Maldives yang terletak di Lautan Hindi, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup anda dan ianya pasti meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan. Maldives bukan hanya sebuah pulau tetapi terdiri daripada gugusan 1,192 kepulauan yang terbentuk hasil pergerakan muka bumi dan letusan gunung berapi sejak berjuta tahun lalu. Pulau-pulaunya mendatar, sama ada ditumbuhi pepohon pantai atau pulau pasir sahaja.
Terletak 700 kilometer di barat daya Sri Lanka dan 400 kilometer India, Maldives adalah republik berteras agama Islam sebagai agama rasmi. Ini bermakna mencari makanan halal tidak sukar. Dari lapangan terbang, semua penumpang dihubungkan dengan pengangkutan seperti feri, bot, kapal terbang kecil yang mendarat di atas air untuk membawa tetamu ke pulau dan resort pilihan. Di sebelah pulau ini ada pulau lain iaitu perkampungan nelayan, biarpun dekat, mereka tidak dibenarkan masuk ke pulau ini. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah snorkling tengah lautan, berenang di pantai, berkelah ke sebuah pulau lain atau memancing ikan.
3. Menaiki Belon Panas di Cappadocia, Turki
Turki merupakan sebuah negara yang terletak di dua benua. Sebahagian besar negara yang didiami 80 juta penduduk iaitu 97 peratus keluasannya terletak di benua Asia, selebihnya terletak di benua Eropah. Aktiviti mesti cuba ketika di Turki adalah menaiki belon panas. Seawal jam 6 pagi, anda dicadangkan ke tempat dikhaskan untuk aktiviti menerbangkan belon panas yang sangat popular di Cappadocia. Belon panas ini akan berlepas tepat jam 7 pagi. Mengikut pengusahanya, masa antara pukul 7 hingga 8 pagi paling sesuai untuk menerbangkan belon panas kerana angin tenang. Jika tiupan angin melebihi 17 kilometer sejam, belon panas tidak dibenarkan terbang oleh pihak berkuasa.
Belon panas yang digunakan datang dalam pelbagai saiz dan boleh menampung 8 hingga 28 penumpang dalam gondola atau bakul mengikut saiz tertentu. Pengalaman menaiki belon panas dan berdiri dalam gondola setinggi paras dada pasti amat mengujakan. Belon panas ini akan berlegar di langit Cappadocia sehingga paras maksimum 610 meter, kemudian turun di beberapa tempat hingga paras terendah 10 meter dari bumi bagi melihat bentuk muka bumi Cappadocia. Satu saranan untuk anda, cari pengendali belon panas yang berlesan untuk mengelakkan berlakunya beberapa perkara yang tidak diingini.
4. Berbasikal di New Zealand
Jika gemar aktiviti sukan berbasikal, apa kata cuba lakukan kayuhan berbasikal, sekurang-kurangnya untuk sekali seumur hidup ke luar negara seperti di New Zealand pada tahun ini. Laluan sepanjang 2500 kilometer Nga Haerenga Cycle Trail di New Zealand baru siap untuk digunakan pada akhir Januari lalu yang mempamerkan landskap, budaya dan warisan terbaik negara tersebut.
Rangkaian laluan itu terdiri daripada 23 laluan mencabar untuk mereka yang lasak serta gemar aktiviti berbasikal. Dalam pada itu, kerajaan New Zealand turut menyalurkan dana untuk menyiapkan binaan tersebut yang turut dilengkapi dengan kereta kabel bagi memudahkan pengunjung bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi berlainan.
5. Teroka Piramid Giza, Mesir
Keindahan kota tinggalan sejarah dan binaan agung menjadikan Mesir antara destinasi yang mesti dikunjungi pelancong. Kehebatan kota ini berjaya menarik berjuta pelancong setiap tahun. Selain itu, Mesir kerap menjadi pilihan pelancong ke sini kerana negara ini sangat kaya dengan tinggalan tamadun silam berharga dan artifak unik. Lebih menarik, negara berkenaan menyajikan lebih daripada apa yang dijangka.
Anda berpeluang menyelongkar khazanah misteri Mesir purba dengan mengunjungi piramid di Giza, Colossi of Memnon, Kuil Karnak, Kuil Kom Ombo, KUil Edfu dan Lembah Raja-Raja. Selain itu, jangan lupa untuk melawat beberapa tarikan menarik lain di sini termasuk ke Kubu Pertahanan Saladin, Istana Gawhara, Masjid Mohamed Ali Pasha, Saidina Hussein dan Imam Shafie.
6. Bersantai di Pantai Playas de Nosara, Costa Rica
Pada yang sukakan aktiviti pantai, boleh singgah ke pantai Playas de Nosara, Semenanjung Nicoya yang terletak di Costa Rica. Pantai ini sangat terkenal lebih-lebih lagi selepas pantai itu menerima anugerah Blue Flag. Ia merupakan sebuah anugerah khas pensijilan antarabangsa yang telah diberikan kepada pantai itu kerana menawarkan perkhidmatan pelancongan kualiti tinggi dan pengalaman mesra alam.
Pantai Playas de Nosara ini amat bersih dan kini merupakan salah satu daripada pantai terbaik di Amerika Latin.
7. Binaan Unik Taj Mahal, India
Semestinya kunjungan ke India tidak akan lengkap tanpa kunjungan ke ikon pelancongan India iaitu Taj Mahal. Tiada ungkapan yang dapat menggambarkan perasaan kecuali mereka yang pernah merasai sendiri pengalaman berdiri di depan binaan paling ajaib di dunia itu. Selain mahligai hadiah Shah Jehan kepada isterinya iaitu Mumtaz, pelancong ke India juga boleh melawat kehebatan Kota Pertahanan yang terletak di Agra di samping memerhatikan keunikan budaya masyarakatnya
8. Keajaiban Tembok Besar China
Memamng tidak lengkap percutian ke China jika tidak menjejakkan kaki ke Tembok Besar. Binaan yang telah diisytihar sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia merupakan tarikan utama pelancong ke negara itu sejak dulu lagi. Tembok ini mengunjur dari Shanhaiguan di bahagian timur hingga ke Lop Nur di barat. Kajian arkeologi telah mencatatkan bahawa panjang Tembok Besar China bersama cabang-cabangnya adalah 8,851.8 kilometer.
Keunikannya adalah bahagian dalam temboknya berisi tanah yang bercampur dengan batu-batan. Jika anda seorang kaki berjalan, Tembok Besar China merupakan destinasi yang perlu anda jejak dalam hayat ini. Sebagai tanda sudah sampai di sini, pengunjung yang melawat ke Tembok Besar China boleh mendapatkan sijil pendakian beserta gambar peribadi berlatarkan Tembok Besar itu dengan bayaran beberapa yuan sahaja. Pengunjung boleh mendapatkan sijil serta gambar kenangan sebaik sahaja pendakian selesai.
9. Selami Khazanah The Great Barrier Reef, Australia
Apa kata rancang percutian sepanjang hayat ke Australia, pulau negara benua terbesar yang terletak di hemisfera selatan. Australia menjanjikan tempat dan tarikan pelancongan menarik dengan pelbagai keistimewaan yang mungkin tidak dapat dirasai di tempat lain. Selain terkenal sebagai destinasi yang menjanjikan percutian dekat dengan hidupan liar, melancong ke Australia juga bererti merasai keindahan alam sekitar. Bagi yang sukakan aktiviti menyelam skuba atau snorkel boleh melihat keindahan batu karang dan ikan pelbagai warna di The Great Barrier Reef.
The Great Barrier Reef adalah salah satu destinasi yang wajib dikunjungi ketika melancong di Australia. Sepanjang 2300 kilometer dari Cairns ke Bundaberg, The Great Barrier Reff mengandungi 900 pulau menakjubkan dan terumbu karang. Di sini juga anda boleh melihat pemandangan indah pantai di Pulau Lady Elliot dengan terumbu karang yang berwarna warni. Pulau itu dianggap sebagai salah satu destinasi menyelam terbaik di dunia.
10. Menyusuri Terusan Venice, Itali
Sebut sahaja Itali, terbayang kehebatan bangunan bersejarah peninggalan tamadun Empayar Roman di mana ibu kota Itali, Rom telah berkurun dijadikan pusat peradaban politik dan agama. Begitu juga tempat menarik lain seperti Pisa dengan menara condong, Florence dengan Santa Maria del Fiore, Venice dengan terusannya dan Milan, kota fesyen terkenal dunia. Jangan lupa ambil peluang bersiar di lokasi menarik seperti Venice yang terletak di utara pantai timur Itali.
Anda akan tiba di Venice dengan melalui jambatan Ponte della Liberta yang menghubungkan tanah besar dengan bahagian utara Pulau Venice. Dari situ anda boleh berjalan ke Tronchetto Pier untuk menaiki teksi air (Venezia) ke Bandar Venice untuk tiba di jeti Piazza San Marco. Aktiviti yang mesti dilakukan adalah menaiki gondola menyusuri terusan bandar Venice. Alangkah indah dan romantik berada di atas gondola menyaksikan deretan bangunan lama di kiri kanan. Di antara terusan paling sibuk dan terkenal adalah Grand Canal.
11. Kejaiban Air Terjun Niagara, Amerika Syarikat & Kanada
Air Terjun Niagara terletak di kawasan sempadan antarabangsa di antara Amerika Syarikat (AS) dan Kanada. Kawasan air terjun di bahagian AS mempunyai ketinggian 55 meter dan 318 meter lebar. Sementara air terjun di Kanada atau dikenali sebagai Air Terjun Horseshoe pula mempunyai ketinggian 53 meter dan selebar 660 meter. Walaupun bukan air terjun tertinggi atau paling lebar di dunia, ia mampu menghasilkan aliran air untuk janakuasa elektrik.
Perjalanan untuk ke kawasan air terjun itu boleh dimulakan dari mana-mana bahagian iaitu sama ada dari pangkalan di Ontario atau New York. Di Ontario, terdapat tiga buah kapal besar dengan kapasiti 600 orang penumpang disediakan kepada para pengunjung sementara dua buah kapal yang boleh memuatkan 300 orang, setia menanti pengunjung di pangkalan New York.
Sepanjang pengembaraan itu, pengunjung pasti terpesona dengan pemandangan dua buah pulau besar iaitu Grand Island dan Goat Island yang terletak di AS. Lebih menarik lagi, terdapat empat buah jambatan yang merentasi kawasan air terjun tersebut seperti Jambatan Peace, Jambatan Rainbow dan Jambatan Whirpool. Jika melancong ke sini, jangan lepaskan peluang merasai pengalaman menarik ini di Air Terjun Niagara.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI