Keputusan kerajaan membenarkan rentas negeri pada 10 Jun 2020 menyebabkan ramai rakyat Malaysia mula merancang percutian mereka dan menyasarkan lokasi-lokasi popular untuk bercuti.
Difahamkan, pengusaha pusat pelancongan seluruh Malaysia mula menerima banyak panggilan dan pertanyaan sebaik sahaja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perkara itu. Begitu juga dengan pengusaha pelancongan di Sabah, mereka turut mengharapkan pelancong dari Semenanjung Malaysia bercuti ke sana bagi membantu memulihkan semula sektor pelancongan di negeri Sabah.
"Setakat ini kita bergantung kepada pelancongan domestik, macam orang di Sabah sahaja. Memang tidak mencukupi. Memang baik kalau pada masa akan datang rakan-rakan kita dari Semenanjung Malaysia terutama sekali daripada negeri-negeri yang ada penerbangan terus seperti Kuala Lumpur, Johor, Kelantan dan Pulau Pinang. Kalau penerbangan terus akan bermula seperti sebelum COVID-19 memang lebih baik. Memang cuti-cuti Malaysia (percutian domestik) memang sangat diharapkan,” kata salah seorang pengusaha pelancongan di Sabah.
Masih tidak dapat lagi menjangka sambutan pelancong dari Semenanjung buat masa ini kerana mereka yang ingin masuk ke Sabah perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 yang mahal. Ini mungkin mengurangkan minat rakyat dari Semenanjung untuk datang ke sini. Sebaliknya, mereka akan pergi ke bercuti kawasan seperti Pulau Pinang, Langkawi dan Kuantan, yang dekat daripada datang ke Sabah. Selain itu kos penerbangan untuk ke Sabah juga agak tinggi ketika ini.
Sumber: astroawani