Tidak seperti rakyat negara lain yang terkandas di luar negara kerana COVID-19 kebanyakkannya memohon bantuan untuk di bawa pulang ke negara asal. Tetapi berbeza bagi dua pelancong dari Jerman ini yang tidak kisah tinggal di Malaysia selepas terkandas.
Pasangan ini telah mengembara ke beberapa buah negara di Asia menggunakan sebuah van, terpaksa tinggal dalam kenderaan itu sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.
Matthias Tischler dan pasangannya, Sonja, yang telah memulakan pengembaraan darat mereka dari Jerman dua tahun lepas, tiba di sini Disember lepas kini tinggal di dalam van yang diparkir di Taman Reservoir, sebuah kawasan rekreasi di tengah-tengah bandar raya Kuching, Sarawak.
Menurutnya, selepas tiba di sini mereka berdua telah meninggalkan van mereka di sini untuk mengembara beberapa minggu ke Australia dan Indonesia, sebelum kembali ke Kuching pada 14 Mac di mana PKP itu dikuatkuasakan empat hari kemudian.
“Kami hanya berharap keadaan virus itu dapat dibendung dalam beberapa minggu atau secepat mungkin agar semua orang boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan apabila kawasan sempadan untuk ke negara lain dibuka semula, barulah ia akan memudahkan kami untuk mengembara. Kami tersekat di sini (untuk sementara waktu) tetapi kami dapati tempat ini menarik, dikelilingi dengan masyarakat yang baik dan kami akan menunggu sehingga keadaan wabak menjadi bertambah baik,” kata Sonja.
Sonja berkata mereka tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan makanan sepanjang tempoh PKP ini dan van mereka juga dilengkapi peralatan dapur bagi membolehkan mereka memasak makanan sendiri.
Dia akan pergi ke pasar raya selang beberapa hari dan membeli sedikit sayur dan buah untuk memasak sendiri di sini. Kadangkala mereka akan berkunjung ke restoran untuk membeli makanan dan membawanya pulang tetapi tidak selalu. Menurut pasangan ini mereka tiada masalah untuk mendapatkan makanan dan masih mempunyai banyak stok makanan untuk beberapa minggu.
Berikutan penularan COVID-19 ini, pasangan ini juga belum lagi menghubungi Kedutaan Jerman di Malaysia untuk memaklumkan situasi mereka dan tidak berhasrat untuk memendekkan pengembaraan mereka untuk kembali ke negara asal. Selepas keadaan terkawal, mereka berhasrat untuk berkunjung ke bahagian lain Indonesia, tinggal di sana sekejap dan mengembara seterusnya atau balik ke Eropah.
Sumber: Bernama