Berita

Pelancong Asing Akan Dikenakan Cukai RM41 Ke Bali Tak Lama Lagi

Share

Semua orang tahu Bali adalah satu destinasi pelancongan yang popular di dunia tak kira untuk bersiar-siar bersama keluarga atau sahabat handai ataupun untuk berbulan madu. Saban tahun, Bali mencatatkan kehadiran pelancong yang tinggi dan industri pelancongan adalah satu daripada industri yang menjana ekonomi di sana.

Tapi disebabkan kehadiran pelancong yang tinggi, pihak berkuasa tempatan akan mengenakan cukai sebanyak USD10 atau RM41 kepada setiap pelancong yang datang ke pulau itu untuk membiayai kos pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dan budaya masyarakat Bali.

Lapor The Straits Times, kepulauan itu menerima kunjungan pelancong seramai 5.7 juta pada 2017 dan 6 juta pada 2018 selain menjadi tuan rumah kepada beberapa acara besar antarabangsa seperti Mesyuarat Agung Tahunan IMF-World Bank.

Ketika ini, kepulauan Bali sedang berusaha untuk mengurangkan pencemaran plastik di pantai dan perairan berkenaan. Dianggarkan sebanyak 3,500 tan sampah dihasilkan setiap hari dan hanya 60% sahaja yang dilupuskan di kawasan pelupusan sampah.

Pihak berkuasa Bali mengharapkan sasaran penurunan penggunaan plastik sampah sebanyak 70% dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun ini dan akan datang malah Bali turut mengharamkan penggunaan plastik dan penyedut minuman sejak Januari lalu.

 

 

Oleh
Epul