Pelan Pemulihan Pelancongan bernilai RM200 juta yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2021, diharap dapat menggalakkan lagi perbelanjaan domestik dan dengan sendirinya meningkatkan ekonomi setempat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata secara keseluruhan, kementerian mendapat peruntukan RM1.14 bilion dengan peningkatan 2.75 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan pecahan Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan masing-masing berjumlah RM987 juta dan RM153 juta.
“Daripada jumlah keseluruhan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerima peruntukan RM200 juta bagi pelaksanaan pakej rangsangan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan bagi 2021. Pelan pemulihan pelancongan itu merangkumi baucar penginapan, diskaun destinasi pelancongan, diskaun percutian keluarga, penyemarakan seni budaya, kempen ‘Meet in Malaysia’, diskaun pakej petugas barisan hadapan, potongan diskaun beli-belah dan diskaun pengangkutan. Pada masa sama, kita masih mempunyai peruntukan pakej rangsangan yang belum digunakan dan dimanfaatkan untuk perbelanjaan domestik. Justeru, kita mencadangkan langkah segera bagaimana membolehkan pihak industri memulihkan ekonomi,” katanya.
Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara langkah itu ialah penganjuran beberapa program akan datang termasuk mengemukakan cadangan berkaitan gelembung perjalanan (green bubbles) iaitu destinasi hijau dalam kalangan 13 negeri di negara ini. Ia bertujuan mengetatkan pergerakan mereka yang berada di kawasan di zon merah supaya tidak keluar, demi memelihara prosedur operasi standard (SOP) di lokasi zon hijau.
Sehubungan itu, katanya, pakej rangsangan berjumlah RM200 juta untuk MOTAC pada tahun hadapan, akan digunakan sebaiknya. MOTAC berharap pakej terbabit dapat membantu penggiat industri meneruskan aktiviti masing-masing dan meneruskan kelangsungan walaupun dalam skala sederhana.
“Sebagai contoh, kita memberi subsidi tiket penerbangan, penebusan baucar untuk pemandu pelancong, kempen Meet in Malaysia dan banyak lagi untuk dinikmati rakyat. Dengan insentif itu, kita akan tahu bagaimana rakyat boleh mendapat faedahnya dan diharap dapat mendorong perbelanjaan domestik dan seterusnya meningkatkan ekonomi setempat,” katanya.
Mengenai gelembung perjalanan, Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan MOTAC sudah bersedia dengan pelbagai pakej dan hanya menunggu keputusan kerajaan dalam pembukaan sempadan negara. Keputusan pembukaan sempadan hanya boleh dibuat oleh Kementerian Luar namun MOTAC akan mengusulkan banyak idea misalnya mempromosikan pelancongan mengikut destinasi, pakej pulau dan pakej membabitkan kumpulan kecil dengan penekanan SOP yang ketat.
image via google & pexels.com | Sumber: Bernama